Ahmad Atory Hussain dalam buku Dimensi Politik Melayu 1980-1990: Antara Kepentingan dan Wawasan Bangsa (1997) menyatakan, suatu perkara yang berlaku di luar jangkaan sama sekali ialah apabila Dr. Mahathir memecahkan tradisi ke­pemimpinan terdahulu de­ngan tidak me­lantik Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981.

Persoalannya ialah mengapa Dr. Mahathir tidak bertindak dengan cepat untuk melantik Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja beliau memegang tampuk pemerintahan negara seperti amalan pemim­pin terdahulu sebaliknya me­nunggu sehingga selesai pertandingan merebut jawatan Timbalan Pre­siden UMNO antara Tun Musa Hitam de­ngan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Menurut penulis, ji­ka sejak dari awal lagi Dr. Mahathir mengu­mumkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu, tentu ahli UMNO secara tradi­sinya tidak berlumba berkempen mencalonkan Musa Hitam atau Tengku Razaleigh kerana mereka akan bersetuju dengan siapa sahaja yang menjadi pilihan Perdana Menteri sama ada Musa Hitam atau Tengku Razaleigh.

“Selepas kemena­ngan Musa Hitam merebut jawatan Timbalan Presi­den UMNO, Dr. Mahathir melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pelantikan ini ba­nyak meninggalkan kesan pahit bagi Tengku Raza­leigh ke­rana Musa berkedudukan nombor tiga dalam barisan Naib Pre­siden sama seperti ketika Dr. Mahathir dilantik menjadi Naib Presiden oleh Hussein Onn dahulu” (Ahmad Atory Hussain 1997: 23-24).

Menurut Ahmad Atory lagi, semasa Hussein Onn mula-mula mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada mulanya beliau ingin melantik Tan Sri Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukannya Dr. Mahathir.

“Ada berita mengatakan bahawa pada mulanya Hussein Onn mahu memilih Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri se­masa beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri tetapi Tengku Razaleigh Hamzah memberikan pendapat yang positif terhadap Dr. Mahathir. Ketika Hussein Onn meletakkan jawatan, beliau mengharapkan Dr. Mahathir melantik Tengku Razaleigh menjadi orang nombor dua.

“Namun, hal ini tidak berlaku seperti diharapkan. Kejadian ini merupakan peristiwa yang sungguh malang bagi Tengku Razaleigh, seorang yang dikatakan paling berjasa dalam ekonomi negara (Ahmad Atory Hussain 1997: 22).

Tindakan Dr. Mahathir yang sukar dibaca kawan dan lawan bermula daripada penyebaran Surat Terbuka Kepada Tunku Abdul Rahman selepas Tragedi 13 Mei, diikuti penerbitan buku ‘The Malay Dilemma’ (1970) yang diharam­kan oleh kerajaan dan membuka ge­langgang pertaru­ngan me­rebut jawatan Presi­den dan Timbalan Presiden UMNO sehingga menyebabkan tersungkurnya ke­semua tokoh yang i­ngin menentangnya.

Rosnah Majid dalam bukunya Koleksi Temuramah Khas Tokoh-Tokoh (1985) yang me­nemuramah Dr. Mahathir yang ketika itu berusia 56 tahun semasa 100 hari menjadi Perdana Menteri dan disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Utusan Melayu pada 27 Oktober 1981 menya­takan, setelah melalui 100 hari sebagai Perdana Menteri keempat, cara blunt beliau tetap bersamanya, baik semasa beliau berhadapan dengan kawan mahupun lawan politik.

“Sama ada di luar mahupun di dalam kerajaan, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tetap melalui cara kontroversial. Kalau semasa menjadi ‘go­vernment backbencher’ di tahun 60-an dahulu beliau se­ring membangkitkan pendapat yang boleh membangkitkan polemik yang panjang, maka setelah me­nyertai kerajaan, cara beliau tetap tidak banyak berubah” (Rosnah Majid 1985: 102).

Mengimbas kembali nasib Dr. Mahathir dalam politik negara sehingga berjaya mendaki ke puncak kuasa sebenarnya ba­nyak ditentukan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Hussein yang telah memberi ‘tongkat sakti’ sehingga beliau menang tanpa bertan­ding jawatan Timbalan Pre­siden UMNO dalam pemilihan parti 1978.

Tindakan luar jangkaan dapat dilihat apabila Dr. Mahathir menulis Surat Terbuka Kepada Bapa Kemerdekaan negara yang meminta Tunku berundur daripada politik dan jawatan Perdana Menteri.

Surat terbuka itu menimbulkan kemarahan Tunku kerana ditulis dengan bahasa yang kesat dan me­nyalahkan Tunku yang hanya ingin mahu dikenali sebagai “The Happy Prime Minister” (Perdana Menteri paling berbahagia).

Menurut P. Sivamurugan dalam buku Legasi Mahathir (2005) Tunku Abdul Rahman menjadi seteru Dr. Mahathir apabila beliau menulis surat terbuka bertarikh 17 Jun 1969 selepas Tragedi 13 Mei yang mengkritik kepimpinan Tunku mengendalikan tragedi itu.

Dr. Mahathir mendesak Tunku bersara dengan kata-kata: “Patik ingin sampaikan kepada Tunku fikiran rakyat yang sebenar, iaitu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi Perdana Menteri dan Ketua UMNO” (P. Sivamurugan 2005: 409).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

MOMEN 
& MEMORI