Dalam bahagian kedua, wawancara selama dua jam yang berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 10 Januari lalu dan turut disertai jurufoto, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, MOHD. FIKRI PADIL, Sultan Salehuddin memberi pandangan baginda  berhubung institusi beraja, keprihatinan kepada kehidupan rakyat dan harapan baginda terhadap masa depan Kedah.

SABAR HADAPI SERANGAN DALAM MEDIA SOSIAL

UTUSAN : Bagaimana institusi beraja penting untuk penyatuan rakyat keseluruhannya?

SULTAN SALLEHUDDIN: Bagi Kedah tiada masalah. Kalau tiada campur tangan yang pelik-pelik seperti politik dan kacau bilau, raja-raja tiada apa masalah. Negeri lain saya tidak tahu. Di Kelantan juga kuat macam kita, hubungan rakyat dan istana.

Pihak istana dan saya terlebih dahulu perlu mengurus diri. Jangan buat benda yang tidak sepatutnya dan menyinggung perasaan rakyat.

Bagaimana Tuanku melihat trend masyarakat yang mengkritik istana secara terbuka dalam media sosial?

SULTAN SALEHUDDIN: Zaman media sosial ini tidak boleh kata apalah. Depa (netizen) kata kat saya, tuduh saya macam-macam tapi saya biarkan sahaja. Saya tidak pakai telefon (bimbit) langsung. Depa hendak kata apapun katalah. Betul atau tidak, hanya Allah yang tahu.

Hendak buat macam mana, kena bersabarlah kerana hendak balas (jawab) pun tidak guna. Banyak orang kita (Melayu) juga yang buat, kritik bukan-bukan. Saya sudah 77 tahun, berapa tahun lagi saya hendak hidup pun tidak tahu.

Apakah impian Tuanku terhadap Kedah dan rakyatnya, khususnya dalam hubungan istana dan rakyat pada masa depan?.

SULTAN SALLEHUDDIN: Saya mahu lebih banyak melawat tempat yang pedalaman dan terpencil kerana saya suka. Kadang-kadang saya pergi sendiri solat Jumaat di masjid (terpencil).

Selalunya perayaan dalam Islam, kita adakan jamuan di masjid-masjid besar tetapi jarang di kampung-kampung. Saya ingat hendak suruh depa (pihak berkuasa) buat (majlis) di masjid-masjid yang terpencil sedikit.

TINJAU SENDIRI KEHIDUPAN RAKYAT SUSAH

Bagaimana Tuanku melihat segelintir nasib dan kesusahan penduduk Kedah di kampung-kampung?

SULTAN SALLEHUDDIN: Zaman saya, saya mahu perubahan agar rakyat tidak susah lagi. Sekarang musim hujan, ada rakyat yang hidup susah.

Orang laut (nelayan) mungkin boleh hidup, begitu juga orang bendang (pesawah) sebab ada empangan tetapi penduduk di Naka, mereka hidup susah kerana mengharapkan hasil getah. Waktu hujan tidak boleh menoreh.

Masih ada rakyat (penoreh) yang hasil pencarian mereka tidak mencukupi untuk anak-anak sehingga hendak beli beras pun kurang mampu. Bagaimana kita hendak menyelesaikan perkara-perkara ini dan menaik taraf hidup golongan ini (penoreh getah).

Saya beritahu beberapa kali kepada Menteri Besar supaya pergi tengok, orang politik ini, depa (mereka) kena melihat kehidupan rakyat. Saya apabila teringat hendak pergi, saya tak habaq (maklum) sesiapa dan pergi tengok.

ORANG MELAYU RAJIN

Apa pandangan Tuanku berkaitan pembangunan di Kedah sekarang? Adakah dalam momentum sesuai?

SULTAN SALLEHUDDIN: Saya ingat lambat sikit. Tak tahu pasal apa, kewangankah, sikap atau polisi kerajaan negeri. Kita diperkenalkan sebagai negeri pertanian daripada dahulu tanam padi, daripada dua kali dan sekarang tiga kali setahun. Apabila buat perbandingan dengan China, Jepun dan Thailand, petani mereka dapat menghasilkan tanaman yang cukup untuk rakyat dan sumber pendapatan. Sedangkan mereka tiada subsidi seperti baja dan racun berbanding kita yang banyak kerajaan bantu.

Di Kedah, kita mempunyai kira-kira 640,000 hektar tanah yang ditanam padi. Boleh jadi kini kurang, sebab ada tanah-tanah Lembaga Pertanian Muda (MADA) yang telah diambil buat perumahan. Orang-orang kampung yang mengusahakan padi pun dah semakin kurang (kerana tidak boleh bertahan).

Kita lebih kepada penggunaan jentera seperti potong padi dan sebagainya. Saya ada bercakap dengan Tun Mahathir (Mohamad) dan beliau juga hairan kerana kerajaan sudah beri macam-macam. Nak kata sikap, orang Melayu kita rajin-rajin.

Dulu tok nenek kita ke bendang dari pagi sehinggalah ke petang. Dok tengah bendang, tengah panas, enam hingga tujuh jam setiap hari. Makan pulut dengan ikan masin sahaja. Di samping itu, saya rasa Kedah (kerajaan negeri) patut mengusahakan tanah-tanah pertanian yang dibiarkan begitu sahaja.

Baru-baru ini, saya ke satu tempat iaitu Gajah Mati, Naka, untuk tengok perusahaan pertanian tetapi terkejut kerana tiada apa yang tinggal. Hanya hutan dan tanah di situ terbiar. Pegawai pertanian ada. Pada 1950-an saya ada pergi ke sana kerana Almarhum ayahanda saya mempunyai lebih 50 ekar tanah yang ditanam dengan banyak pokok buah seperti rambutan.

Hasil tanaman dipajak kepada orang. Kini tiada lagi kerana tanah itu pun telah dijual tetapi sedihlah sikit kerana kini terbiar. Saya percaya di situ, ada juga tanah milik kerajaan negeri.

Saya ingat dalam hal ini, kerajaan patut ambil peranan terhadap tanah-tanah terbiar seperti ini. Usahakan seperti pokok buah. Kalau tanah milik orang Melayu, bagilah pengusaha lain dan setidak-tidaknya anak kampung boleh tumpang (bekerja).

Semasa saya melawat, tiada lagi sungai, tetapi MADA boleh bantu (perairan) kalau ada strategi yang baik. Hasil buah-buahan ini boleh menambah pendapatan dengan dijual di pasar raya-pasar raya. Pada masa ini, ramai tanam buah durian sehingga ratusan hektar. Sebab apa, kerana pasarannya ada.

Jika di Perlis ada harumanis, di Kedah banyak ditanam dengan mempelam Chokanan. Di Sik ada tanam. Buah anggur adalah ditanam dahulu tetapi tak menjadi kerana penyakit. Sekarang saya pun tak tahu ada tanam buah apa sebagai komersial.

MAHU KUALA KEDAH JADI TARIKAN PELANCONG

Kedah mempunyai banyak khazanah orang Melayu. Boleh Tuanku ceritakan kisah sejarah ini?

SULTAN SALLEHUDDIN: Saya ada meminta seorang penulis buku, Datuk Haji Abd. Halim untuk menceritakan berkenaan sejarah Kuala Kedah yang ramai tidak tahu. Kuala Kedah adalah satu-satunya pelabuhan yang dibina oleh orang Melayu di Malaya pada masa itu. Tidak seperti A Famosa, ia dibina oleh Portugis.

Pada 1821, Siam menyerang Kedah dan kita kehilangan 1,600 orang yang mati dibunuh dan jenazah mereka dikebumikan di bawah Masjid Zahir Alor Setar. Mereka yang mati syahid ini disimpan (dikebumikan) di situ termasuk orang bergelar seperti temenggung dan bendahara.

Orang Siam tidak sempat membunuh Sultan Kedah ketika itu kerana baginda melarikan diri ke Pulau Tiga di Tanjung Dawai. Baginda kemudian melarikan diri ke Pulau Pinang. Disebabkan Francis Light (pengasas Pulau Pinang) enggan melindungi Sultan Kedah, baginda melarikan diri ke Melaka.

Selama 20 tahun, Kedah tidak mempunyai Sultan dan terputuslah keturunan Sultan. Orang Melayu Kedah kemudian memberontak dan menghalau orang Siam yang memerintah di Bukit Pinang. Rakyat Kedah kemudian mengambil Sultan mereka dari Melaka dan membawa pulang. Begitulah betapa tinggi semangat orang Melayu ketika itu.

Enam bulan lalu, saya ada melawat Kuala Kedah. Ada lima ekar tanah. Ada sekolah Melayu. Tanah tidak elok kerana apabila musim hujan, air laut selalu naik. Tapi pelabuhan Kuala Kedah masih elok, cuma terbiar.

‘Ditinggalkan’ walaupun 200,000 orang pelancong datang ke situ setiap tahun. Kita juga menyimpan meriam-meriam yang dibina orang Melayu ketika itu. Ada seorang Profesor dari Adelaide University datang jumpa saya. Dia tahu saya meminati sejarah. Katanya Francis Light mempunyai isteri berketurunan Portugis Urasian berasal dari Phuket (Thailand).

Perempuan ini dikatakan anak angkat Sultan Kedah ketika itu. Nama Melayu (wanita itu) ialah Siti manakala nama Inggeris pula, Martinha Rozells.

Dia tidak letak nama tengku kerana merupakan anak angkat. Siti kemudian melahirkan anak iaitu William Light di Kuala Kedah. William pergi (merantau) dan membuka bandar Adelaide (Australia). Ini bermakna pengasas bandar Adelaide adalah kelahiran Kuala Kedah. Jika berkesempatan, saya hendak pergi ke Adelaide University untuk melihat sekiranya ada maklumat lain. Dia bagi satu dua buku.

Saya cadangkan supaya buat living museum (mewujudkan satu kawasan dengan suasana persekitaran bersejarah untuk merasai sejarah lampau) seperti di Belgium dan Perancis. Depa (mereka) buat cantik dan menarik ramai pelancong.

Kita boleh buat benda yang sama di Kuala Kedah yang seluas lima ekar. Kita boleh buat sekali dengan seni mak yong dan mek mulung. Kedah juga terkenal dengan sejarah silat. Boleh memperhidupkan Kuala Kedah dengan cara silat orang Melayu.

Banyak lagi kesan sejarah lain yang boleh dijadikan tarikan pelancong, contohnya baru-baru ini, kita menemukan makam Almarhum Sultan Muhyidin Mansor Shah, Sultan Kedah Ke-14 di Kampung Chegar, Mukim Jeram, Kubang Pasu.

Makam dijumpai di tepi dapur rumah penduduk di kawasan Felda. Penduduk menjumpai batu nisan yang berasal dari Aceh, Indonesia dan tertera nama Sultan Mahayudin. Kedah juga terkenal dengan sejarah sekolah pondok kerana kedatangan Islam paling awal iaitu pada1936.

BIMBANG PULAU DITUNTUT ORANG

Bagaimana Tuanku melihat potensi pelancongan di Kedah?

SULTAN SALLEHUDDIN: Bulan lalu, saya pergi ke Tanjung Dawai, Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) ada sama. Tanjung Dawai merupakan tempat pelancongan yang baik tetapi kita tidak teroka. Kita boleh tarik pelancong dari Pulau Pinang. Kena libatkan pihak swasta.

Di tepi laut di Kuala Muda, kawasan berlakunya tsunami, kita boleh nampak bangunan Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak). Di situ ada teluk yang cantik. Kita boleh menaiki bot seperti di Port Dickson (Negeri Sembilan). Kita juga ada empat hingga lima buah pulau yang cantik dengan pantainya yang putih bersih. Saya pergi tengok.

Nelayan dok guna sebagai tempat perlindungan. Anak-anak muda juga berkelah di situ. Kena jaga, takut nanti ada yang menuntut. Kedah pernah hilang tanah. Bot-bot dari Pulau Pinang banyak datang ke situ. Saya beritahu kerajaan negeri supaya gazet segera takut orang lain tuntut sebagai pulau mereka. Kawasan itu di dalam Yan.

Tanjung Dawai merupakan tempat bersejarah bagi saya kerana Almarhum Sultan Badlishah sering bercuti di sana. Dulu ada dua buah rumah kayu di situ untuk berehat. Kemudahan air pun tiada dan terpaksalah beli tong-tong air selain menggunakan lampu gasolin pada waktu malam.

HARAPAN KEPADA KEDAH

Kedah dikenali sebagai negeri pertanian, rangkaian keselamatan negara. Apa harapan Tuanku terhadap Kedah?

SULTAN SALLEHUDDIN: Kedah dikenali sebagai tanaman padi sahaja, (tanaman) pulut tak menjadi. Saya berharap pihak terlibat seperti MADA perlu menjalankan kajian mendalam berkenaan pertanian. Mungkinkah cara kita sudah tidak sesuai kerana terlalu lama.

Jika dahulu di Anak Bukit, kita mempunyai puluhan gudang simpanan beras. Sekarang saya tidak tahu di mana beras-beras disimpan pihak Bernas (Padiberas Nasional Berhad). Pengeluaran kita tidak mencukupi untuk semua rakyat.

Di Jepun, beras merupakan komoditi bernilai. Mereka mengeluarkan beras yang cukup untuk rakyat. Macam mana ini dilakukan saya pun tak tahu. Begitu juga di China.

Saya mengetahui tentang pengeluaran padi kerana pernah membekalkan tujuh buah jentera kepada Pernas (kini Bernas) untuk kilang mereka di Sekinchan, Selangor. Kemudian hasil sampingan serkam dieksport menggunakan kontena ke Jepun untuk keperluan kilang besi.

Sebagai contoh, bagaimana hendak menghasilkan beras berkualiti seperti beras Sekinchan. Kalau di pusat bandar, beras itu cepat habis dan mendapat permintaan tinggi.

Selain itu, kena juga ambil perhatian dalam soal penggunaan racun. Mengapakah lagi banyak racun(digunakan), lebih banyak siput (siput gondang). Kalau lihat, banyak burung-burung bangau di bendang, ia menunjukkan betapa banyak siput.

BANGGA KEJAYAAN 
ANAK MELAYU

Bagaimana Tuanku melihat pembangunan industri di Kedah?

SULTAN SALLEHUDDIN: Kita kini melalui pertukaran zaman. Anak-anak muda kini tidak berminat bekerja di bendang.

Saya melihat Kulim Hi Tech Park (Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim - KHTP), ini bagus. Saya melawat sebanyak dua kali. Saya perhati anak-anak muda menunjukkan minat. Sepatutnya Menteri Besar usahakan lebih lagi, cakap dengan Perdana Menteri, perbesarkan lagi dan bawa lebih banyak teknologi baharu ke Kulim (KTHP). Saya tengok mekanik BMW (kereta mewah) di situ adalah anak-anak Melayu Kedah dan Perak. Mereka minat terhadap industri berkemahiran tinggi. Sebahagiannya ada diploma dalam kejuruteraan, mereka pandai dan belajar di universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Saya terkejut juga. Mereka dibayar dengan gaji yang baik. Cubalah melawat kilang pemasangan kereta BMW di Kulim di bawah Inokom (dan Sime Darby Motors), yang di atas itu (pengurusan tertinggi) orang asinglah tetapi di bawah (jurutera, mekanik), anak-anak muda kita dari kampung yang berkelulusan seperti vokasional dan TVET (Pendidikan, Teknikal dan Latihan Vokasional).

Saya melihat dengan cara meningkatkan industri di Kulim (KTHP), dapat mengurangkan migrasi anak-anak muda ke Selangor. Pada masa ini, kira-kira 30 peratus anak-anak muda kita ke Selangor kerana adanya industri (peluang pekerjaan). Kalau bekerja di Kulim, bukan sahaja boleh hidup mewah kerana dibayar gaji yang tinggi tetapi keluarga pun dekat, boleh tengok ibu bapa di kampung. Kita masih jauh berbanding Jepun. Saya pergi Hiroshima, mereka keluarkan sebuah kereta pada setiap minit. Mereka mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran.