“Ya, yang tidak membenarkan dalam kalangan mereka untuk ‘naik ke atas’ dan berjaya. 

“Kita (UMNO di Pahang) juga tidaklah teruja sangat untuk dikenali sebagai kubu kuat UMNO. Yang penting, kita perlu sentiasa pelihara kekuatan ini menerusi kedua-dua kesepakatan dan kesetiakawanan (kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti) ini. 

“Kata kuncinya di sini ialah – kesepakatan (unity) dan bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga serta kesetiakawanan (comradeship),” kata beliau.

Dalam pertemuan sejam di Kuantan itu, Wan Rosdy banyak ditanya mengenai rahsia kemenangan BN dalam PRK Parlimen Cameron Highlands tempoh hari dan kerjasama UMNO-Pas yang menukilkan kejayaan itu.

UTUSAN: Selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tempoh hari, apa yang dapat dikongsi hasil kerjasama UMNO-Pas dalam memastikan kemenangan calon BN?

WAN ROSDY: Sebelum bercakap tentang kerjasama UMNO-Pas ini, sukacita saya katakan terlebih dahulu mengenai hubungan mesra antara UMNO dengan Pas di Pahang yang telah lama terjalin dan menjadi bertambah mesra lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dengan mengambil pedoman daripada hubungan mesra antara UMNO-Pas di peringkat kepemimpinan pusat yang ketika itu UMNO diketuai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya sendiri telah mengambil inisiatif agar hubungan mesra UMNO-Pas di Pahang diperkukuhkan lagi.

Ekoran itulah, beberapa siri perjumpaan formal dan tidak formal antara saya dengan kepemimpinan Pas peringkat negeri diketuai Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar yang juga wakil rakyat Tanjung Lumpur.

Daripada siri-siri perjumpaan inilah telah wujud seperti keserasian antara kedua-duanya sehinggakan apabila saya melawat kawasan dilanda banjir di Beserah tahun lepas, telah turut diiringi oleh wakil rakyat di situ yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu.

Momentum hubungan mesra ini yang tentunya berasaskan kejujuran, terus kekal hinggalah ketika mana PRK Parlimen Cameron Highlands perlu diadakan, yang dengan itu, bak kata orang – ‘ibarat orang mengantuk disorongkan bantal’.

Maka hubungan mesra ini pun diterjemahkan pula kepada bentuk kerjasama, yang dengan itulah Pas membuat keputusan untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada PRK ini. Dan yang lebih penting lagi, undi lebih 3,000 undi yang diperoleh calonnya pada PRU lepas telah diberikan kepada calon UMNO/BN pada PRK itu.

Pemberian undi yang besar ini saya harus akui, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, yakni setelah lebih 60 tahun UMNO/BN dianggap musuh seperti mana saudara Wan Mahadir Wan Mahmud, iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Cameron Highlands katakan.

Namun oleh sebab walak mereka terhadap arahan pemimpin parti dan saya percaya, ia turut ada kena-mengena dengan kepercayaan mereka kepada kejujuran oleh kepemimpinan UMNO negeri sendiri, maka undi merekapun diberikan.

Apakah tahap hubungan UMNO-Pas ini?
Saya sendiri dapat merasai bahawa kerjasama UMNO-Pas ini adalah sesuatu yang real tatkala saya tiba awal pagi Sabtu, 26 Januari lalu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, Lipis untuk mengundi.

Dalam perjalanan pulang, saya didatangi penyokong/pengundi Pas yang sudi bersalaman dan berpelukan dengan saya, yang tentunya menandakan sesuatu yang positif sedangkan ini tidak pernah berlaku pada pilihan raya-pilihan raya sebelumnya.

Malahan, ketika pengumuman dibuat (pada malam Sabtu, 26 Januari dalam Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata), penyokong-penyokong Pas tetap setia berada dalam dewan serta datang kepada saya mengucapkan tahniah, termasuklah Wan Mahadir. Takbir dilaungkan pula ketika saya hendak meninggalkan dewan.

 

Kelihatan segala percaturan calon DAP/PH yang dibuat sepanjang kempen 14 hari itu tidak menjadi. Apa yang dapat dikongsi Datuk Seri akan hal ini?

Dalam menjawab soalan ini, saya teringatkan kata-kata Ramli Mohd. Nor (calon BN) sendiri yang ditanyakan wartawan tentang keengganannya untuk lebih banyak bersuara atau bercakap dengan pihak media, tidak seperti mana lawannya dari DAP (M. Manogaran) itu.

Kemudian Ramli menjawab yang beliau tidak boleh berbuat demikian kerana bimbangkan apa yang dicakapkanya itu mungkin tersilap, hingga menimbulkan kontroversi.

Dan itulah yang terjadi, calon DAP yang ‘kerana pulut, santan binasa, kerana mulutlah badan binasa’. Lihat sahaja kontroversi yang diakibatkannya apabila menyentuh tentang kononnya ‘kuih’ yang Orang Asli jual tak akan dibeli oleh orang Melayu.

Begitu jugalah apabila calon DAP itu mempertikaikan tentang pelbagai perkara termasuk kononnya saya sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, tidak berbuat apa-apa untuk membina jalan raya di kawasan saya.

Sedangkan, jalan raya Tanah Tinggi Ringlet-Sungai Koyan sejauh 79.1 kilometer yang dilaluinya dari Tanah Rata untuk sampai berkempen ke kawasan Jelai adalah jalan raya yang dibina oleh kerajaan BN yang siap semasa saya berada dalam penggal kedua sebagai wakil rakyat di situ.

Jadi, bila kita menjawab balik dengan fakta-fakta dan pengundi pula lebih memahaminya, ia sudah jadi satu backlash yang teruk juga terhadap kempen pilihan rayanya (Manogaran).

Saya pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam kerajaan negeri mahupun rakan-rakan politik betapa, jika pun kita perlukan publisiti, biarlah ia yang membawa kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung tergadai’.

Ternyata sekali, saudara Ramli dalam tempoh 14 hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya terutamanya daripada DAP itu.

Biarpun Pakatan Harapan menurunkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, waima Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekali pun, apa yang cuba ‘dijual’ oleh mereka kepada masyarakat di Cameron Highlands tidak ‘dimakan’ oleh pengundi. Mengapa?
Sebabnya, seperti mana saya pernah sebut sebelum ini lagi, mereka gemar ‘memutarkan semula piring hitam lama’ kepada pengundi di situ yang sudah pun terlebih maklum mengenainya.

Oleh sebab itulah, apabila Perdana Menteri sendiri yang turun ke Sungai Koyan sehari sebelum hari mengundi dan membangkitkan hal-hal berkaitan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia langsung tidak dapat mempengaruhi pengundi.

Begitu juga apabila Menteri Kewangan berceramah, mempertikaikan kedudukan kewangan kerajaan negeri pimpinan saya yang kononnya tidak mungkin dapat mentadbir negeri dengan baik kerana hutang besar kami kepada Kerajaan Persekutuan.

Ini pun tidak dipedulikan oleh pengundi dan penduduk setempat. Kenapa? Sebab ini bukan perkara baharu. Dalam persidangan DUN sebelum ini pun telah dijelaskan khususnya apabila hutang-hutang ini adalah berkaitan keperluan asas berkenaan sistem bekalan air.

Selepas itu, menteri yang sama juga ada tendency of shifting the goalpost. Apabila soal hutang tidak ambil kisah, dituduhnya pula kerajaan negeri mengalami defisit bajet terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat tahun (2014–2017), kononnya, tidak memungkinkan kerajaan negeri ini mentadbir dengan baik.

Dalam mengatakan soal itu, beliau mungkin ingat rakyat tidak tahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta, manakala defisit 2018 ketika mana menteri itu jadi Ketua Menteri, ialah kira-kira RM748.5 juta!

Dari segi itu sahaja pun, pengundi sendiri tahu betapa menteri berkenaan rupa-rupanya ‘dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih’! Makanya, apa juga yang di‘jual’nya tidak ‘dibeli’ atau ‘ditelan’ orang di Cameron Highands khususnya di DUN Jelai.