Pembelian 35 juta unit saham pada harga RM6.65 juta menerusi syarikat Opulance Asia Sdn. Bhd. milik Abd. Aziz itu, menjadikan beliau sebagai pemegang saham terbesar syarikat.

Data Bursa Malaysia menun­jukkan Abd. Aziz membeli seca­ra blok saham pada harga 19 sen seunit, atau 7.5 sen lebih tinggi (65.2 peratus) berbanding harga saham Utusan ditutup 11.5 sen sesaham.

Sebelum pengambilalihan, UMNO merupakan pemegang saham terbesar di Utusan iaitu 49.77 peratus atau 55.11 juta saham. Kini UMNO memegang kira-kira 18.17 peratus ekuiti menjadikannya pemegang saham kedua terbesar, disusuli Nilam Setar (M) Sdn. Bhd. sebanyak 14.76 peratus atau 16.34 juta saham milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Perubahan pegangan saham Jumaat lalu, melakar sejarah tersendiri kerana Utusan yang diasaskan oleh Yusof Ishak pada 1938 dengan penerbitan akhbar pertama pada 1939, telah diambil alih oleh UMNO pada 1959 dan kini pada 2019, Aziz muncul sebagai pemegang saham terbesar.

Berdasarkan reaksi pembaca dan pertanyaan langsung daripada rakan-taulan di WhatsApp dan Facebook, berikut dihuraikan beberapa persoalan yang dibentangkan mengikut kaedah Merrepak:

1 Apakah maknanya kepada UMNO?

Ada yang meneka dalam kesamaran bahawa Utusan akan menjadi seteru kepada UMNO selepas ini. Ada juga yang main hentam buta tuli kaitkan dengan Pakatan Harapan menguasai akhbar ini.

Secara teknikalnya, UMNO masih ada 18.17 peratus saham bermakna parti akan ada wakil dalam Lembaga Pengarah. Bezanya sekarang, daripada segi pemberitaan Jabatan Pengarang akan memiliki lebih banyak suara menentukan apa yang hendak disiarkan, berdasarkan prinsip berita itu hendaklah ada nilai berita, memiliki kepentingan dan kehendak semasa, bukan kepartian semata-mata.

Ahli UMNO tidak perlu gusar. Jika parti dipimpin dengan teratur, tidak bongkak seperti dinyatakan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, insya-Allah macam biasa.

2 Apa pandangan penganalisis?

Penganalisis politik, Abdul Jalil Backer yang juga sahabat lama pada asasnya mempersoalkan kewajaran ‘penjualan saham secara blok’ UMNO kepada Abd. Aziz. Jawapannya ada di atas. Abd. Aziz membayar premium 65.2 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.

Diskusi hingga larut malam kami yang agak meletihkan jari (menerusi WhatsApp), akhirnya dapat mengurangkan skeptikal Abdul Jalil.

Tidak tahulah apa yang beliau hendak tulis lepas ini tetapi kepada saya dia menulis: “Ini akan menjadikan Utusan bebas daripada persepsi ia dikuasai ideologi politik parti. Sekarang Utusan boleh fokus menjadi suara hati rakyat, terutama orang Melayu dan Islam. Semoga penjualan ini bukan sekadar menyelesaikan masalah kewangan Utusan tetapi juga memulihkan imej akhbar yang penuh sejarah perjuangan ini.”

3 Apa pendirian Jabatan Pengarang?

Sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018, memang benar Utusan bertarung nyawa, malah sehing­ga sekarang. Apatah lagi pelaksanaan skim pemisa­han sukarela (VSS) pada 30 November 2018, Utusan kehila­ngan 50 peratus rakan sekerja dan kini, ada yang menjadi pesaing di media lain. Ini se­suatu yang rumit dihadapi tetapi hidup mesti dite­ruskan dan syarikat memerlukan seorang pemim­pin untuk mengeluarkan Utusan daripada keme­lut. Pemim­pin itu sudah ditemui dan warga Utusan akan bersama-samanya men­capai matla­mat yang disasarkan dalam pelan pemulihan syarikat.

4 Siapa Abd. Aziz?

Ramai tahu latar bela­kang Abd. Aziz. Beliau adalah ahli politik UMNO. Pernah men­jadi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Ramai juga tahu bahawa beliau adalah seorang ahli korporat, satu kualiti yang memberi markah tambahan keyakinan kepada warga Utusan.

Beliau dilantik sebagai Penge­rusi Eksekutif selepas jatuhnya BN pada Jun 2018, dan berhenti ‘sekejap’ pada Disember lalu, dalam insiden yang kini ramai lihat sebagai ‘campur tangan terlampau’ parti dalam urusan Utusan. Semoga gangguan sebegitu, tidak lagi berulang kerana kesannya begi­tu perit bukan sahaja kepada warga Utusan tetapi juga sahabat yang mengambil VSS.

Keyakinan warga Utusan terhadap Abd. Aziz terbentuk daripada keupayaannya mem­buat keputusan, melaksanakan perancangan dan faham selok-belok korporat. Abd. Aziz memberi kebebasan kepada Jabatan Pengarang, sementara beliau fokus kepada urusan korporat Utusan.

5 Pertama sahut seruan kerajaan PH

Transaksi Jumaat lalu, mengesahkan Utusan sebagai akhbar pertama yang menyahut seruan kerajaan Pakatan Harapan agar akhbar tidak dikuasai oleh parti politik.

Dan langkah ini, bukan suatu propaganda politik. Seluruh warga Jabatan Penga­rang berazam menggu­nakan sepenuhnya peleraian kuasa ini, agar akhbar ini kembali menjadi suara keramat rakyat dan pengantara kepada kera­jaan yang lantang, berani dan disegani sebagaimana Utusan dibina oleh bapa-bapa pengasas Utusan kira-kira 80 tahun dahulu.