Pertandingan membabitkan 77 peserta daripada 12 negara menggambarkan betapa pelajar Malaysia juga memiliki kua­liti tersendiri. Sebelum ini pasukan MRSM Kubang Pasu telah menjadi johan keseluruhan dalam Kejohanan Roket Kebangsaan 2018 yang diadakan di Universiti Malaya bulan lalu.

Syabas buat pelajar berkenaan, MRSM Kubang Pasu dan pihak MARA atas kemenangan di Singapura tersebut.

Begitu juga, masih belum terlambat buat penulis untuk ucapkan tahniah pada pasukan Perak yang menjadi juara Piala Malaysia 2018. Ramai akui perlawanan akhir Piala Malaysia tersebut antara paling dramatik dalam sejarah Piala Malaysia.

Manakan tidak, pasukan Perak dan Terengganu masing-masing tidak mahu mengaku kalah sepanjang perlawanan tersebut. Daya juang kental yang ditonjolkan sehingga di saat-saat akhir perlawanan menunjukkan betapa pemain tidak pernah berputus asa untuk mengecapi kejayaan. Le­bih-lebih lagi bagi pasukan Perak yang sering kali ke­tinggalan gol, namun tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk berjuang sehingga ke titisan peluh yang terakhir.

Inilah yang wajar dipaparkan oleh para pemain bola sepak buat rakyat Malaysia. Kalah menang adat perlawanan, namun pengisian yang paling utama perlu me­nyerlahkan daya juang kental sepanjang pertandingan.

Dalam hidup ini, mereka yang memiliki daya juang yang kental sering kali mengecapi kejayaan. Tidak mudah berputus asa atau patah semangat hanya kerana pelbagai masalah mendatang. Masalah dan cabaran sewajarnya menjadi pemangkin untuk menjadi lebih kuat dalam menuju kejayaan.

Dalam hal ini, kita boleh lihat bagaimana seseorang itu mengecapi kejayaan. Misalnya, ketika ini banyak universiti telah dan akan mengadakan sesi konvokesyen untuk meraikan kejayaan para pelajar menamatkan pengajian. Ada antara mereka yang berjaya menggenggam segulung diploma dan ijiazah muda. Ada juga yang berupaya mencapai impian memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran.

Bagi mereka yang telah berjaya, itu bukti daya juang kental anda dalam mencapai impian. Mustahil mereka memperoleh kejayaan tanpa menempuh pelbagai liku yang boleh mematahkan semangat untuk meneruskan pengajian.

Tahniah juga buat dua rakan baik penulis yang melalui sesi viva Phd mereka dengan jayanya di universiti masing-ma­sing di United Kingdom. Hanya mereka yang pernah melalui proses pembelajaran dalam PhD sahajalah tahu betapa bukan mudah untuk mendapatkan segulung ijazah kedoktoran.

Memiliki segulung ijazah kedoktoran bukanlah penamat untuk berhenti belajar. Daya juang kental perlu diteruskan untuk memperoleh sebanyak mungkin ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Bagi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, ­terapkan daya juang kental untuk menduduki peperiksaan tersebut. Selamat maju jaya.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).