Begitu jua di Malaysia, teka teki mengenai bilakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen dan seterusnya memberi laluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 14 merupakan tajuk perbincangan paling panas ketika ini.

Ada yang menuduh May memungkiri janji beliau sendiri untuk tidak mengadakan PRU kerana rakyat Britain baharu sahaja melaluinya dua tahun lalu yang menyaksikan parti beliau iaitu Konservatif di bawah pimpinan David Cameron berjaya menubuhkan kerajaan dengan majoriti agak tipis iaitu kelebihan hanya 12 kerusi sahaja.

Tidak syak lagi sebab utama mengapa May terpaksa membubarkan Parlimen adalah strategi untuk mendapat mandat yang lebih kuat apabila berhadapan dengan Brussels ketika berlangsungnya rundingan Britain menarik diri dari Kesatuan Eropah (EU) yang lebih popular dikenali sebagai Brexit.

Memang benar hampir 52 peratus rakyat Britain telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak lagi bersama EU ketika pungutan suara yang diadakan pada Jun 2016, tetapi pada ketika ini kedudukan kerajaan May agak goyah kerana ahli Parlimen dari parti beliau sendiri sering bertelagah mengenai Brexit.

Kelemahan ini sering dipergunakan oleh Brussels dengan mengenakan beberapa pra-syarat rundingan Brexit dan paling ketara adalah status Gibraltar yang mana Sepanyol iaitu ahli EU mencuri peluang mengukuhkan tuntutan mereka terhadap Gibralta yang pada ketika ini sebahagian dari Britain. Beberapa hari lalu, satu lagi ahli EU iaitu Denmark menuntut supaya kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Britain diteruskan sebagaimana ketika Britain berada dalam EU sebelum ini.

Tidak dinafikan juga parti Konservatif May yang berada dalam kedudukan agak kuat berbanding dengan dua parti lain iaitu Buruh dan Liberal Demokrat pada ketika ini dianggap sebagai salah satu pendorong untuk mengadakan PRU lebih awal, tetapi kepentingan kedaulatan dan maruah Britain dalam rundingan Brexit dengan Brussels dianggap pencetus utama keputusan membubarkan Parlimen lebih awal.

Begitu jua dengan desakan dari Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon supaya pungutan suara kedua mengenai kedudukan negara tersebut dalam Britain diadakan kerana menurut Sturgeon ketika pungutan suara pertama diadakan pada 2014 yang menyaksikan 55 peratus pengundi menyokong Scotland kekal dalam Britain, isu Brexit belum lagi timbul. Perlu ditekankan keputusan pungutan suara Brexit menyaksikan lebih dari 62 peratus rakyat Scotland mahu negara mereka kekal dalam EU.

Sebab itu juga strategi May yang mencadangkan PRU awal lebih menjurus kepada kepentingan menjaga kepentingan Britain sebagai sebuah negara dan bukannya kerana kepentingan parti atau kesinambungan kerjaya politik beliau. Percaturan May dianggap pintar dan begitu strategik walaupun menongkah janji beliau sendiri kerana kepentingan parti tetap dipelihara dan begitu jua maruah dan kedaulatan Britain diberi keutamaan.

Berbalik kepada teka teki bilakah Najib akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen, ramai juga yang meramalkan Oktober waktu yang paling sesuai iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dan juga mengambil kira majlis penutupan Sukan Asia Tenggara 2017 yang akan berlangsung pada 30 Ogos 2017 iaitu sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Mengambil kira jua kedudukan Barisan Nasional (BN) yang berada pada tahap yang terkuat berbanding dengan pembangkang yang agak kucar kacir jika diambil kira faktor hubungan Pakatan Harapan dengan Pas, maka Oktober menjadi sandaran ramai sebagai waktu paling sesuai mengadakan PRU.

Sebagaimana percaturan May yang bukan sahaja menghitung kepentingan parti tetapi juga mengambil kira kepentingan Britain dalam mengumumkan tarikh PRU, Najib juga sebagai Perdana Menteri bukan sahaja perlu mendahulukan kepentingan BN tetapi perlu mencongak manfaat kepada negara apabila PRU diadakan pada tarikh yang tertentu.

Ini adalah kerana Malaysia sebagai sebuah negara amat terdedah kepada percaturan geopolitik serantau dan antarabangsa dan mahu tidak mahu tempiasnya akan mempengaruhi perjalanan politik tempatan.

Percaturan Amerika Syarikat (AS) dengan China di Laut China Selatan dan juga di Semenanjung Korea perlu diambil kira kerana kedua-dua isu tersebut memberi kesan kepada Malaysia. Begitu jua dengan arahan Presiden AS, Donald Trump supaya disiasat amalan dagang 16 negara (termasuk Malaysia) yang punyai lebihan dagangan dengan AS kerana itulah percaturan geopolitik yang melibatkan isu perdagangan.

Apabila Najib menegaskan BN mampu mempertahankan Putrajaya tidak kira sama ada PRU akan diadakan tahun ini atau tahun hadapan ketika merasmikan program Jalinan Rakyat Plus (JR) beberapa hari lepas, ia adalah strategi politik yang mempamerkan tahap kesediaan jentera pilihan raya parti yang sudah siap sedia. Tetapi apa yang pasti adalah kenyataan tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan kesediaan dan kepentingan parti tetapi juga demi menjaga kepentingan negara.