Sejak lebuh raya bertol giat diperkenalkan pada 1980-an, memang banyak perubahan dan pembangunan dapat kita lihat. Namun setiap kali kadar tol dinaikkan atas alasan perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi pembina lebuh raya berkenaan, maka berlakulah kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan masyarakat pengguna.

Golongan yang paling terasa beban sistem bayaran tol ini ialah penduduk di Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Selangor. Boleh dikatakan tiada jalan di Kuala Lumpur yang tidak ada tol. Masuk kena bayar dan hendak keluar pun kena bayar.

Bayangkan dari arah mana sekali pun anda hendak masuk ke ibu kota Kuala Lumpur, akan ada pagar tol yang perlu anda lepasi. Sebutlah dari arah utara, timur laut, timur, tenggara, selatan, barat daya, barat dan barat laut – semua ada plaza tol.

Najib pernah menyifatkan kutipan tol dalam bandar sebagai menyakitkan hati dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Memang benar pun seolah-olah kita membayar tol untuk mendapatkan kesesakan jalan raya. Sehingga sekarang pun perkara ini masih berlaku.

Cuba anda kira senarai lebuh raya bertol yang wujud di kawasan Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Selangor.

* Lebuhraya Baru Lembah Klang (sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara)

* Lebuhraya Shah Alam

* Lebuhraya Cheras-Kajang

* Lebuhraya Sungai Besi (termasuk # Lebuhraya Shamelin)

* Lebuhraya Baru Pantai

* Lebuhraya Damansara-Puchong

* Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur

* Lebuhraya Kemuning-Shah Alam

* Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang

* Lebuhraya Maju (dahulu dikenali Lebuhraya KL-Putrajaya)

* Sistem Penyuraian Trafik KL Barat

* Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (dahulu dikenali sebagai Lebuhraya Assam Jawa-Taman Rimba Templer)

* Lebuhraya Lembah Klang Selatan

* Lebuhraya Seremban-Port Dickson

* Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru

* Lebuhraya Duta Ulu Klang

* Lebuhraya Guthrie

* Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL (Lebuhraya Salak)

* Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban

* Terowong SMART

* Lebuhraya Lembah Klang Timur

* Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah

Antara langkah popular yang diambil kerajaan sejak pimpinan Najib ialah menghapuskan beberapa tol. Sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, Najib telah memansuhkan 11 tol di negara ini.

Tiada lagi plaza tol di Teluk Kapas Klang Utara; Metramac; Batu 9, Lebuh Raya Cheras-Kajang; Batu 11, Lebuh Raya Cheras-Kajang; Jambatan Lanang, Sibu; Jam­batan ASEAN, Baram; Jam­­batan Salahuddin, Ku­ching; Batu Tiga; Sungai Rasau; Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyebaran Timur Johor Bahru (EDL).

Sebab itulah di bawah pimpinan beliau, kerajaan me­laksanakan pembinaan le­­buh raya tanpa tol iaitu di Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya CSR Kota Bharu-Pahang.

“Ia bukannya mudah te­tapi saya tak setuju mem­bayar tol setiap hari adalah baik untuk rakyat. Bagi Le­buhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Karak, sese­kali tak mengapa. Tetapi bayar tol sehingga empat kali dalam satu hari siapa tak marah?” kata Najib dalam sesi perkongsian Bajet 2018 Bersama Rakyat di Pusat Perubatan UKM (HUKM).

Sebab itu pada ketika tertentu ada beberapa keputusan terdahulu yang dibuat perdana menteri sebelumnya, terpaksa Najib batalkan.

Rakyat pun tidak suka melihat dan terlekat dalam kesesakan di kawasan bertol. Sekarang bagi pengguna di laluan yang tidak dikenakan tol lagi bolehlah mereka berjimat dengan wang untuk membayar tol.

Bukan itu sahaja, fakta yang mungkin tidak disukai oleh Pakatan Harapan ialah sejak 2005 tiada kenaikan tol dilaksanakan oleh kerajaan dan syarikat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kesemua lebuh rayanya. Syarikat konsesi lebuh raya yang lain ada juga menaikkan kadar bayaran tol tetapi terkawal.

Selain dapat menjimatkan wang poket harian daripada membayar tol, kita mengharapkan kerajaan mempertimbang untuk memansuhkan kutipan tol di beberapa lebuh raya utama yang sekali gus mampu mengurangkan kos harga barangan. Ini kerana selain faktor inflasi, kenaikan harga barangan juga turut didorong oleh kos tol yang perlu ditanggung oleh peniaga.

Kita selalu diberi keyakinan bahawa dengan pemansuhan tol, kos ditanggung ahli perniagaan berkaitan turut menjadi rendah. Sekarang tol dan harga minyak boleh dikatakan seimbang dan terkawal, maka sudah tentu peniaga mampu menurunkan harga barangan.

Kalau bayaran tol kawasan tertentu sudah dimansuhkan, kos perniagaan, pengangkutan, logistik, juga mungkin berkurang. Begitulah yang kita harapkan akan berlaku terhadap kos yang menjadi punca kenaikan harga barangan. Tidak adillah bila tanpa tol pun harga tidak berubah.

Kita benar-benar berharap pemansuhan tol akan menjadi game changer kepada kos sara hidup rakyat. Para peniaga kena sama-sama membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar.