Katanya: “Sebagai parti peme­rintah selama dua penggal ini, kita telah berjaya membawa per­ubahan yang ketara dan menyediakan satu landasan yang kukuh untuk terus membawa perubahan yang dapat membawa kesejahtera­an dan menjamin masa depan negeri kita. Dengan pengalaman dan kejayaan yang kita peroleh, kita merasa yakin untuk menghadapi PRU-14 yang akan datang dan ingin berusaha bersama semua rakyat negeri Pulau Pinang demi menjamin masa depan negeri kita,”.

Kata ADUN Padang Kota itu lagi, rakyat Pulau Pinang tidak perlu ragu dan gelisah tentang masa depan negeri kerana pentadbiran yang diterajui pakatan mampu membawa kemakmuran dan kemajuan. Menurut laporan Roketkini.com, Kon Yeow (bakal Ketua Menteri jika berlaku sesuatu ke atas Guan Eng) turut menyenaraikan lima visi yang menyentuh mengenai hak keistimewaan negeri, keharmonian dan perpaduan rakyat, urus tadbir yang baik, pembangunan ekonomi serta pembangunan institusi kemasyarakatan dan demokrasi.

Pelancaran jentera pilihan raya DAP di negeri Pulau Pinang itu menandakan keazaman parti untuk menyahut masa depan. Di Pulau Pinang, semangat kesepakatan antara parti pakatan adalah penting. Ketiadaan Pas tidak melemahkan keazaman DAP, sebaliknya membuka peluang untuk mengukuhkan pakatan dengan munculnya PAN dan PPBM.

Begitulah keyakinan parti yang berusia 51 tahun itu dan kini menjadikan Pulau Pinang sebagai kubu kuat roket. Menyelak kembali perjuangan parti itu, ternyata, ia bukanlah sesuatu yang mudah, tidak datang bergolek tetapi semangat DAP yang tidak pernah kenal putus asa akhirnya meletakkan parti itu sebagai peneraju kerajaan Pulau Pinang. Adakah ia mampu menandingi rekod Pas di Kelantan? DAP melancarkan jentera PRU ketika parti itu berhadapan dengan gelora yang melanda termasuk wakil rakyat meninggalkan DAP dan diikuti anggota parti berkenaan. Biar pun isu itu dikaitkan dengan kerjasama DAP dengan PPBM pimpinan Dr. Mahathir Mohamad serta rasa tidak puas hati terhadap ‘dua beranak’ dalam parti itu tetapi ia tidak menjadi ‘kudis’ kepada DAP. Kit Siang dan Guan Eng nampak yakin dengan sokongan anggota parti. Sejak dahulu, DAP bukanlah parti yang suka mencanangkan keanggotaan parti tetapi apabila tiba pilihan raya, sokongan yang diterima mengatasi parti yang mendakwa mempunyai jumlah anggota parti yang ramai.

Cuba selak semula sejarah kebangkitan DAP di Pulau Pinang. Ia dianggap bermula pada tahun 1986 apabila parti itu melalui Projek Tanjong I menang 10 kerusi termasuklah kemenangan Setiausaha Agungnya ketika itu, Kit Siang. Jumlah itu meningkat kepada 14 kerusi pada PRU 1990 melalui projek Tanjong II. Bagaimanapun DAP ‘merana’ selama dua penggal apabila kalah teruk pada PRU 1995 (Tanjong III) dan PRU 2004. Dalam PRU 2004, daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BN menyapu 38 kerusi dan pembangkang hanya memenangi dua kerusi, ma­sing-masing satu oleh DAP dan Pas. DAP nyaris tidak ada kerusi kerana Phee Boon Poh menang dengan majoriti 607 undi di DUN Sungai Puyu.

DAP tiba-tiba bangkit pada PRU 2008. Ketika itu, kerusi BN bukan saja berkurangan malah gagal untuk mempertahankan Pulau Pinang. BN melalui UMNO hanya memenangi 11 kerusi (daripada 14) berbanding DAP 19 (menang di semua kawasan), PKR 9 dan Pas mengekalkan kubu kuat tunggal di Permatang Pasir. Parti-parti komponen BN (Gerakan, MCA, MIC) tewas sepenuhnya. Hanya UMNO yang masih bernafas. Adakah dalam pusingan ketiga ini, DAP akan terus kekal memerintah Pulau Pinang? Sejauh mana rakan-rakan DAP iaitu PKR, PAN dan PPBM mampu memberi kerusi tambahan semasa PRU akan datang? DAP tidak boleh bersendirian untuk terus memerintah Pulau Pinang kecuali mereka bertanding di kerusi PKR.

Tanpa kompromi, DAP tidak akan melepaskan kerusi yang ditandinginya pada PRU lalu. Kemenangan 19 kerusi dalam dua pilihan raya lalu amat penting dipertahankan. Kedudukan ini juga bergantung kepada sejauh mana sokongan pengundi kepada calon-calon pilihan Gerakan, MCA dan MIC. Begitu juga sejauh mana sokongan penyokong PKR, Pas, PAN dan PPBM. Orang Me­layu sebelum ini menyokong DAP kerana Pas bersama mereka. Kini keadaan sudah berubah. Pas tidak ada apa-apa hubungan dengan DAP malahan sudah wujud tanda-tanda permusuhan yang ketara melibatkan kalangan pemimpin parti berkenaan. DAP meramalkan Pas bakal kalah teruk pada PRU akan datang manakala Pas memberi peringatan DAP akan hilang kuasa di Pulau Pinang.

Cabaran DAP kali ini bukannya mudah apabila Guan Eng selaku Setiausaha Agung merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa di mahkamah atas dua tuduhan rasuah pada 30 Jun 2016 dan akan dibicarakan tidak lama lagi. Sedikit sebanyak pendedahan pihak pendakwa melalui saksi-saksi yang akan ditampilkan akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti DAP. Mungkinkah juga berlaku sebaliknya, iaitu mampu menarik simpati orang ramai?

Sebagai kerajaan negeri, DAP sudah tentu mahu mengekalkan 19 kerusinya sambil mengharapkan tidak berlaku perebutan tiga penjuru di kawasan PKR, PAN dan PPBM. Sejauh mana kekuatan PKR di kawasan yang dikuasainya? Adakah tindakan Pas Permatang Pauh memutuskan kerjasama politik dengan PKR akan memberi kesan besar kepada PKR seterusnya DAP? Kesan memutuskan hubungan itu, Pas menuntut kembali hak mereka bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan akan meletakkan calon untuk tiga kerusi DUN iaitu Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Apa yang pasti, pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan khususnya di Permatang Pauh yang akan melibatkan Pas, PKR dan BN. Selama ini, kekuatan PKR bergantung kepada sokongan anggota Pas di kawasan berkenaan. Agak keliru, bagaimana PKR dan Pas akan berterusan menghadapi situasi ini kerana di Selangor, PKR masih mengekalkan kerjasama dengan Pas. Masih terlalu awal untuk melihat percaturan politik ini. Dalam politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku.