Parti itu yang kini sudah mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik lebih formal dan jelas dengan UMNO akan mula bergerak ke arah mengukuhkan kerjasama dalam agenda membina dan mengukuhkan kembali kekuatan politik Melayu, yang sudah digugat oleh Pakatan Harapan (PH).

Pas dan UMNO mempunyai kekuatan masing-masing, meliputi kekuatan kepemimpinan dan pengalaman di pihak UMNO dan kekuatan keahlian dan kekuatan dalam menguasai wacana Islam.

Walaupun Pas cenderung melihat dirinya sebagai pihak yang memimpin dalam kerjasama ini, pengalaman dan kekuatan kepemimpinan UMNO sama sekali tidak boleh dipandang ringan - walaupun nama UMNO terpalit pelbagai isu yang menjejaskan terutama menjelang PRU-14.

Pengalaman dalam pentadbiran negara, mengimbangi rakan dan sekutu dan pelbagai kumpulan berkepentingan selama menjadi parti pemerintah ialah pengalaman bernilai yang amat berharga, yang boleh dikatakan tidak dimiliki oleh mana-mana parti lain.

Suatu yang penting diperhati, jentera komunikasi strategik UMNO jauh lebih tersusun dan bersepadu berbanding jentera Pas yang tidak diurus secara efisien dan tidak berupaya menangani persoalan penting menuju PRU-14.

Malah, selepas tewas dalam PRU-14, penerangan dan pelbagai kempen UMNO di media terutama media sosial dapat bergerak dengan agak berkesan dan bersepadu.

Pada masa sama, satu perubahan berlaku melibatkan kepimpinan UMNO, yang kini diterajui pemimpin-pemimpin yang diyakini dan menepati keperluan semasa melibatkan perjuangan menegaskan kedudukan Melayu dan agama Islam yang digugat oleh pentadbiran PH dan gabungan kelompok liberal - meliputi aktivis, akademik, strategis dan sebagainya - yang menjadi tunjangnya.

Kepimpinan Pas yang menampilkan beberapa muka baharu daripada kalangan yang disebut sebagai profesional diharap banyak pihak dalam parti dapat memberi sumbangan melonjakkan parti.

Ini terutama untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka, dan perkembangan lain yang mungkin tidak dijangka seperti perpecahan dalam kalangan PH.

Jentera baharu

Bagaimanapun, penonjolan imej dan jenama profesional ini sudah terlalu lama dilakukan oleh Pas, hingga kini semakin hilang nilainya.

Pas perlu sedar keberadaan ramai berkelulusan profesional dan berpendidikan doktor falsafah dalam parti itu sudah lama dan tidak wajar ditonjolkan secara berlebihan.

Pas pasti memerlukan ahli daripada pelbagai bidang termasuk bidang yang selalu disebut sebagai profesional. Namun apa yang paling diperlukan tetapi agak diabaikan ialah pengurusan parti dan cabang-cabangnya secara profesional dan mengikuti standard yang sepatutnya. Dalam bahasa mudahnya, Pas lebih memerlukan profesionalisme berbanding profesional.

Pas tidak akan ke mana-mana dengan sekadar kempen menyebut dan menyenaraikan profesional dan lulusan doktor falsafah dalam parti.Sedangkan pada masa sama, organisasi seperti penerangan dan media parti tidak dapat diuruskan dengan baik.

Perlu disedari, Pas paling terkesan oleh laporan media dan kempen disinformasi seperti yang berleluasa di media sosial hingga terbentuk satu fahaman salah tentang Pas akibat daripadanya.

Malangnya, keberkesanan penerangan dan media ialah bidang yang paling kurang dibicarakan secara serius dalam parti, walaupun setelah mengalami kekalahan teruk dalam PRU-14 yang lalu.

Strategi dan mungkin juga seluruh jentera penerangan perlu dirombak dan dibina semula - memisahkannya daripada pendekatan dan amalan sebelum PRU-14.

Dan membina satu persediaan dan jentera baharu yang lebih berkesan serta dibina berdasarkan pemikiran yang mendalam dan bukan perkiraan politik yang ditentukan oleh seorang atau sekelompok kecil pemimpin.

Di pihak lain, sama ada dalam kalangan liberal dan pihak UMNO, dapat diperhatikan kewujudan aktiviti wacana, perbincangan atau dialog, yang disiarkan dan mengundang interaksi dalam media sosial.

Hal yang sama amat dirasakan kekurangannya di pihak Pas, menyebabkan suara Pas dalam wacana dan perbincangan popular tidak kedengaran.

Pas tidak sepatutnya dibuai oleh keyakinan yang tidak didasari realiti atau belum dapat dibuktikan, seperti keyakinan “tsunami hijau” menjelang PRU-14 dan kini keyakinan terhadap kemarahan dan kekecewaan kepada PH yang diyakini akan mengalihkan undi kepada Pas dan rakannya kini, UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Keyakinan rakyat dan pengundi tidak datang semata-mata dengan ketiadaan pilihan lain (setelah muak dengan PH misalnya) atau kejayaan menampilkan calon-calon berkelulusan tinggi dan bekerjaya profesional.

Keyakinan dibina oleh gabungan banyak faktor yang dibina dan diperkukuhkan untuk satu tempoh yang panjang. Ini termasuklah mesej-mesej yang disampaikan oleh parti secara berterusan dan konsisten.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.