Justeru, keputusan kerajaan memberikan pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing tanpa melalui ejen disambut baik kerana sangat menjimatkan.

Mereka boleh membuat permohonan permit khas pembantu rumah secara terus kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM ) menerusi sistem atas talian (online) mulai 1 Januari 2018.

Wartawan Mingguan Malaysia, ABD . AZIZ ITAR dan AMI ZUL TUNI ZAR AHMAD TERMI ZI bersama jurufoto, MOHD NOOR MAT AMIN menemu bual Ketua Pengarah Imigresen, DATUK SERI MU STA FAR ALI bagi menjelaskan tentang topik tersebut di Cyberjaya baru-baru ini. Ikuti wawancara tersebut.
 

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat langkah kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber tanpa melalui ejen?

MUSTAFAR: Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini akan mempermudah dan memberikan penjimatan kepada masyarakat untuk menggajikan pembantu rumah asing. Keprihatinan itu diterjemahkan dalam isu pembantu rumah asing yang selama ini menjadi rungutan ramai ahli masyarakat atau majikan.

 

Bayangkan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah, majikan perlu membayar antara RM12,000 sampai RM18,000 tetapi selepas beberapa hari pembantu rumah itu melarikan diri. Itu satu perkara. Apa yang lebih penting ialah soal penjimatan kos kerana langkah ini akan memberikan kelegaan kepada orang yang baru bekerja untuk menggajikan pembantu rumah.

Keprihatinan kerajaan itu untuk memastikan majikan iaitu suami dan isteri dapat bekerja dengan selesa dan kelapangan fikiran tanpa perlu risau tentang keluarga. Ia akhirnya akan diterjemahkan kepada penghasilan mutu kerja yang lebih baik. Cepat, tepat dan mudah adalah tiga perkara yang kita mahukan penyelesaian dalam isu ini.

Berapa anggaran kos pengambilan pembantu rumah asing secara terus ini?

MUSTAFAR: Kalau dulu kos pengambilan pembantu rumah asing adalah antara RM12,000 hingga RM18,000 jika melalui ejen. Tetapi sekarang kos hanya sekitar RM1,110 berdasarkan bayaran levi tertentu mengikut negara-negara yang berbeza. Dari sembilan negara sumber ada bayaran tertentu.

Contohnya kalau dicampur dengan tiket penerbangan dari Indonesia, secara puratanya kos keseluruhan adalah antara RM3,500 hingga RM3,800. Ini jauh lebih murah berbanding menggunakan ejen. Sebab ada kos yang perlu dibayar kepada ejen di Malaysia dan ejen di luar negara.

Mengikut maklumat yang kita perolehi, kos yang perlu dibayar kepada satu ejen sahaja sampai RM6,000 dan RM7,000 untuk seorang pembantu rumah. Kalau itulah jumlahnya, campur dengan pembayaran-pembayaran lain, itulah yang menyebabkan kosnya sampai belasan ribu ringgit.

 

Ada pihak mengaitkan pengambilan pembantu rumah asing secara terus dengan kes pemerdagangan manusia.

MUSTAFAR: Isu pemerdagangan manusia ini timbul kerana ejen di negara luar dan di negara ini tidak berapa suka dengan cara pengambilan pembantu rumah asing secara terus kerana akan menghilangkan mata pencarian mereka.

Kita dengar disebabkan ejen sudah boleh diketepikan oleh majikan, ada yang jadi ejen sebelum ini sudah menawarkan diri sebagai perunding.

Hanya tukar nama sahaja. Tetapi sekarang ini bagi memudahkan cara untuk mendapatkan pembantu rumah asing, mereka boleh terus berurusan dengan pejabat imigresen selepas mereka mengenal pasti siapakah bakal pembantu rumah asing yang berpotensi mereka gajikan, misalnya orang asing yang sudah ada di Malaysia.

Saya tidak mahu sebut bahawa mereka boleh terus pergi ke luar negara ambil bakal pembantu rumah begitu sahaja. Tetapi bila mereka mengenal pasti ada orang yang berpotensi menjadi pembantu rumah mereka, maka proses itu dibuat. Saya sebutkan setakat itu sahaja sebab keputusan kerajaan itu mengancam periuk nasi ejen-ejen ini.

 

Apakah reaksi ejen-ejen pembantu rumah asing susulan pengumuman oleh kerajaan itu?

MUSTAFAR: Selepas pembentangan di Parlimen itu, saya diajukan dengan banyak soalan tentang bagaimana proses itu patut dibuat?

Pihak ejen pula, bukannya mereka tanya saya sebaliknya mereka mengeluarkan kenyataan kepada pihak media. Mereka mengatakan itu ini tidak betul dan akan menyebabkan berlaku pemerdagangan manusia.

Perkara- perkara seperti itulah yang mereka dedahkan. Sekali lagi saya sebut, apabila kita hendak melakukan sesuatu tindakan begini, tentunya kerajaan memikirkan yang terbaik. Jabatan Imigresen sebagai agensi pelaksananya, kita juga hendak mamastikan kecepatan, ketepatan dan penjimatan.

Apabila tiga elemen itu yang kita salurkan sebagai satu pemahaman kepada masyarakat, maka kita berharap ejen-ejen ini jangan mengambil kesempatan kepada mana-mana tindakan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan ungkapan “jangan ambil kesempatan dalam kesempitan”.

Jadi, janganlah mana-mana pihak yang sudah mengaut keuntungan begitu banyak selama ini hendak mempersoalkan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan ini sedangkan selama ini ramai majikan menjadi mangsa apabila pembantu rumah asing lari atau hilang begitu sahaja.

 

Permohonan permit khas pembantu rumah boleh dibuat menerusi sistem atas talian mulai 1 Januari 2018. Berapa lama tempoh kelulusan?

MUSTAFAR: Apabila disebut dalam Bajet 2018 baru-baru ini, maka kita juga telah bersedia dengan pelbagai mekanisme peningkatan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Apabila pihak media bertanya kepada saya adakah Jabatan Imigresen sudah bersedia untuk menjalankan perkhidmatan dalam talian? Saya kata, ya. Kami pun sudah menyediakan sembilan langkah yang perlu dilalui. Ia adalah suatu proses yang cepat, tepat dan menjimatkan.

Cepat kerana kalau dahulunya proses itu mengambil masa berbulan-bulan bagi mengenal pasti siapa majikan dan ejen, selepas itu bawa visa dan sebagainya. Tetapi menerusi kaedah baharu ini proses itu boleh siap dalam masa dua atau tiga hari sahaja.

Pemeriksaan kesihatan ke atas pembantu rumah asing yang dahulunya mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari, tetapi sekarang boleh selesai dalam masa tujuh hari. Jadi, secara keseluruhannya, proses itu akan mengambil masa tidak sampai 16 hari. Proses kelulusan akan lebih cepat dan mudah jika dokumen-dokumen yang diperlukan lengkap.

 


Apakah tindakan Jabatan Imigresen bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan daripada proses pengambilan pembantu rumah asing yang dipermudahkan ini?

MUSTAFAR: Kita mengambil kira beberapa perkara sebelum memberikan kelulusan kepada permohonan pengambilan pembantu rumah asing. Antaranya, majikan mesti bebas daripada senarai syak dan senarai hitam.

Sekiranya majikan pernah melakukan kekerasan terhadap pekerja sehingga dikenakan tindakan oleh mahkamah, kita akan berhati-hati untuk memberikan sebarang kelululusan.

Kita bukan sahaja periksa latar belakang pekerja, malah kita juga akan semak latar belakang majikan. Biasanya keutamaan diberikan kepada permohonan majikan atas nama suami tetapi memandangkan sekarang isteri pun bekerja, maka itu pun dibenarkan.

Satu lagi, permohonan mendapatkan pembantu rumah asing menerusi sistem atas talian ini adalah untuk majikan berstatus warganegara dan penduduk tetap Malaysia. Bagi warga asing atau ekspatriat di sini, itu adalah ketetapan lain dan dikendalikan dengan cara berbeza.

Kita juga tetapkan syarat pendapatan bulanan majikan, baik suami atau isteri minimum antara RM3,000 hingga RM5,000 atau mengikut negara sumber yang dipohon.

Ada yang memohon bukan seorang pembantu rumah. Ada majikan yang ada pembantu rumah sampai 23 orang. Memanglah pendapatan dia besar.

Kalau ramai pembantu rumah dipohon, kita hendak pastikan untuk tujuan apa? Kalau dia kata memang rumah dia besar dan ada beberapa buah rumah, kita hendak pastikan lokasi pekerja ini di tempat itu.

Tetapi kalau dia ambil pembantu rumah ini dan diletakkan di tempat lain atau disuruh bekerja sebagai pembantu gerai, tukang masak dan sebagainya, kita akan pastikan penguatkuasaan diambil.

Kita hendak membantu mempermudah majikan mendapatkan pembantu rumah tetapi kalau mereka menyeleweng, berlakulah kes pemerdagangan orang.

 

Apakah harapan Datuk Seri dengan adanya kaedah baharu ini?

MUSTAFAR: Sekarang ini terdapat kira-kira 126,000 pembantu rumah asing yang berdaftar dari pelbagai negara. Saya yakin dengan kaedah baharu ini bilangan itu akan bertambah. Ia menjadi cepat, tepat dan murah.

Contohnya ia menjadi tepat kerana majikan itu sendiri yang memilih pembantu rumah asing yang sesuai bekerja dengan mereka. Kalau ejen, mereka akan pilih sesiapa juga pekerja yang mereka suka untuk dibekalkan kepada majikan. Majikan boleh membuat pilihan. Itulah yang terbaik.

Malah, sistem dalam talian yang kita sediakan mudah digunakan dan ia tidak akan menyebabkan sistem itu tergendala dan sebagainya kerana tidak ada tarikh akhir.

Majikan boleh membuat permohonan atas talian pada bila-bila masa sahaja bermula 1 Januari 2018.