Iklan ini muncul tidak berapa lama selepas kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Dato Keramat pada 14 September tahun lalu yang mengorbankan 23 orang termasuk dua orang guru di pusat tahfiz tersebut.

Iklan ini masih disiarkan sampai sekarang di stesen Radio Klasik. Iklan ini secara tidak langsung mengingatkan pelbagai pihak tentang pentingnya pemantauan terhadap anak-anak remaja terutamanya oleh ibu bapa.

Tidak kira di kawasan mana pun pada masa ini, kebanyakan anak muda yang masih di bangku sekolah kelihatan bebas dan seolah-olah tidak terkawal. Agak mendukacitakan jika anak-anak muda ini terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak sihat di luar rumah sehingga boleh menjejaskan pendidikan dan masa depan mereka.

Di kawasan-kawasan bandar, keadaannya lebih membimbangkan kerana anak-anak muda mudah terpengaruh dengan pelbagai tarikan di sekitar mereka. Ada yang keluar petang dan balik lewat malam. Ada yang pergi ke kelas tuisyen tetapi tidak pulang ke rumah apabila sampai masanya. Ada yang sudah menunggang motosikal tetapi menyalahgunakan motosikal yang dibeli oleh ibu bapa dengan merempit.

Yang masih di sekolah rendah, ada yang ‘gila’ basikal lajak ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan. Inilah antara senario yang membelenggu kebanyakan anak muda seawal usia 10 tahun membawa kepada belasan tahun yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dan kita semua.

Paling ditakuti jika mereka yang masih mentah ini terpengaruh dengan gejala yang lebih serius terutamanya jenayah yang melibatkan dadah, pergaduhan dan kumpulan samseng.

Slogan ‘Anak-anak kita tanggungjawab kita bersama’ sangat penting demi keharmonian hidup sebuah keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Selain ibu bapa sebagai institusi keluarga, kita sebagai masyarakat dan juga pelbagai pertubuhan memainkan peranan menyekat golongan muda daripada terjebak dalam kancah negatif.

Masyarakat sekeliling mestilah peka terhadap perubahan sosial dan berusaha menanganinya dengan bijak terutamanya apabila berdepan dengan tingkah laku golongan muda di luar. Salah laku mereka mestilah ditegur dengan cara bersopan agar tindakan negatif mereka dapat disekat.

Pelbagai program untuk anak muda perlu diperba­nyakkan agar masa lapang golongan ini terisi. Kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan anak-anak muda mestilah dipantau secara berterusan oleh pihak berwajib agar golongan ini tidak bebas melakukan perkara negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka, mencemarkan nama baik keluarga dan menjatuhkan imej negara di mata pelancong asing.

Kesimpulannya, tugas berat menanti semua pihak demi masa depan anak-anak muda yang bakal menerajui negara kelak.