Fenomena ini dialami oleh segolongan pemimpin di pihak yang kalah dan menang, para pengikutnya, serta sesete­ngah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan cerdik pandai yang menganalisisnya mengikut kerangka persepsi dan realiti lama.

Sebabnya, wujud pemimpin kerajaan yang terus bertingkah laku seperti pembangkang; pe­mimpin pembangkang yang masih berkhayal sebagai pemerintah, selain terdapat NGO serta intelektual yang seolah-olah lemas dalam kemelut persepsi dan pemikiran yang negatif.

Akibatnya, kerajaan Pakatan Harapan, terutama sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, dihujani pelbagai tuduhan, dakwaan dan fitnah secara bertubi-tubi. Apa sahaja isu yang boleh dieksploitasikan untuk memaparkan kelemahan kerajaan ini, diwacana, dipolemik dan dipolitikkan secara ghairah dan meluas menerusi media sosial.

Maka, berbagai-bagai kisah silam dicungkil untuk mengabsahkan persepsi kononnya Dr. Mahathir gagal memerintah Malaysia atau kerajaan Pakatan Harapan tidak sebaik kerajaan BN. Komponen parti pemerintah yang baharu pula dijadikan faktor untuk meniupkan sentimen perkauman. Sesetengah keputusan yang berbeza dengan sebelumnya, dianggap sebagai me­langgar kepentingan nasional.

Perkembangan seperti ini me­rugikan semua pihak, tidak menyumbang kepada pengukuhan politik nasional dan tidak selaras dengan matlamat memelihara keselamatan nasional di Malaysia.

Oleh itu, sesetengah menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan mesti menghentikan segera sikap mereka yang kelihatan sombong dan memaparkan dendam kesumat terhadap beberapa dasar negara yang terdahulu. Lebih berbahaya lagi, seolah-olah menyalahi beberapa peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengasaskan jati diri nasional Malaysia yang majmuk.

Kelompok politik, NGO dan ang­katan intelektual yang menghidu bahaya daripada gelagat di atas, perlu bangkit serta merta untuk mengemukakan pandangan dan perakuan mereka terhadap pendekatan untuk mengatasinya.

Tiada gunanya meratapi madu yang sudah tumpah menerusi tangisan yang tiada kesudahannya. Lebih bijaksana kalau pihak ini berusaha mendapatkan madu yang baharu dengan segera menerusi tindakan berkelompok yang pintar dan berwibawa.

Dalam dunia akademik, terdapat teori yang dikenali sebagai rea­lisme neoklasikal untuk menganalisis perubahan perilaku dalam hubungan dan dasar luar. Teori ini juga boleh mengenal pasti perubahan politik di sesebuah negara dan bagaimana perubahan ini boleh dimanfaatkan demi rakyat jelata.

Satu elemen utama teori ini adalah peranan elit politik, NGO, kumpulan profesional atau pihak berkepentingan lainnya untuk memberikan persepsi sesuatu isu yang disifatkan sebagai mengancam kesejahteraan negaranya. Teori ini memberikan ruang dan peranan kepada kumpulan di atas untuk memperakukan pendapat mereka bagi mengatasi ancaman tersebut kepada pihak pemerintah.

Selain itu, wujud satu pendekatan keselamatan yang dikenali sebagai tindakan sekuritisasi. Pendekatan ini juga memberikan ruang dan peranan kepada kumpulan berkenaan untuk mengenal pasti sesuatu objek rujukan di Malaysia yang ditafsirkan sebagai terancam.

Selepas mengenal pasti objek rujukan ini, kumpulan tersebut boleh mengisytiharkan ancaman yang dipersepsikan itu sebagai ancaman nyata dan memperakukan kepada pemerintah mengenai pendekatan untuk mengatasinya dengan seberapa segera.

Teori dan pendekatan di atas menunjukkan bahawa mana-mana pihak yang merasakan sesuatu aspek di Malaysia kini terancam, mereka perlu diberikan peranan untuk mengenal pasti ancaman tersebut, tentang aspek yang diancam olehnya dan bagaimana ancaman ini perlu ditangani.

Dengan kata lain, kelompok yang kini merasakan sesetengah sektor kehidupan di Malaysia diancam oleh dasar kerajaan Pakatan Harapan mereka perlu bertindak secara berkumpulan untuk membuat perakuan kepada kerajaan bagi mengatasi ancaman tersebut.

Tindakan seperti ini lebih berkesan dan berwibawa, berbanding perbuatan kecam-mengecam, meluahkan kekecewaan secara berpanjangan tanpa cadangan untuk mengatasinya atau berpolemik menerusi media sosial yang tidak jelas kesudahannya.

Teori dan pendekatan di atas menunjukkan bahawa sesuatu tindakan berkumpulan yang positif, tersusun dan berwibawa boleh menghasilkan perakuan untuk mengatasi sesuatu isu yang disifatkan sebagai mengancam kolektiviti rakyat di Malaysia.

Oleh itu, jika kelompok di atas merasakan kedudukan Islam, bahasa Melayu dan sosio-ekonomi bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kini terancam akibat beberapa dasar kerajaan Pakatan Harapan, mereka boleh mengemukakan perakuan kepada pemerintah menerusi kaedah yang positif, berwibawa dan komprehensif.

Pendekatan seperti ini lebih produktif dan bermanfaat berdasarkan apa yang sedang berlaku mutakhir ini. Namun pendekatan itu memerlukan niat dan matlamat mencari penyelesaian, bukan untuk memburuk-burukkan pihak pemerintah.

Secara jangka pendek, pendekatan ini memaparkan kematangan pemimpin dan rakyat Malaysia dalam menangani perubahan secara demokratik untuk memulihkan keyakinan tempatan dan asing terhadap Malaysia di era pasca PRU-14.

Secara jangka panjang, pendekatan ini membolehkan rakyat Malaysia, khususnya pengundi menilai wibawa dan kepintaran perjuangan semua kelompok parti politik di negara ini dalam PRU-15.

Hakikatnya, kaedah dan pendekatan positif ini boleh mengubati hati yang terluka di pihak yang kalah, menghindarkan sikap dan perilaku bongkak dalam kalangan sesetengah pihak yang menang dan memberikan pilihan kepada pengundi untuk me­ngadili dua pihak ini dalam PRU akan datang.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2004.