Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PENGLIBATAN pihak lain termasuk polis adalah penting bagi memastikan
PENGLIBATAN pihak lain termasuk polis adalah penting bagi memastikan masalah disiplin dan jenayah melibatkan pelajar sekolah dapat ditangani dengan jayanya. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

PENDEDAHAN pihak Kementerian Pendidikan baru-baru ini bahawa sebanyak 402 buah sekolah menengah dan rendah di negara ini sedang dalam pemerhatian berikutan isu disiplin pelajar wajar diberi perhatian serius. Walaupun bilangan sekolah itu kecil berbanding jumlah keseluruhan sekolah di Malaysia yang lebih dari 10,000 buah tetapi jika kita gagal bertindak segera kemungkinan besar masalah disiplin di sekolah terbabit akan bertambah teruk dan merebak ke sekolah lain.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, daripada jumlah itu, sebanyak 311 buah sekolah berdepan masalah disiplin manakala 91 lagi dikategorikan sebagai sekolah tumpuan iaitu cenderung mempunyai masalah disiplin. Dalam pada itu, mengikut statistik, seramai 111,895 orang murid iaitu 16,849 murid sekolah rendah dan 95,046 murid sekolah menengah didapati terlibat dengan gejala salah laku disiplin di sekolah pada tahun 2016 di mana ponteng sekolah adalah isu utama dalam salah laku disiplin murid sekolah.

Malah bagi kes buli sahaja, sebanyak 3,448 kes direkodkan pada tahun 2016 dan sehingga Jun tahun ini sudah merekodkan sebanyak 872 kes. Jelas statistik seperti ini agak merisaukan anggota masyarakat walaupun pihak kementerian mendapati jumlah murid yang terlibat dengan permasalahan disiplin adalah pada kadar 2.03 peratus setahun sejak 2012 sehingga 2016.

Justeru semua pihak perlu bertindak untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah yang dilihat boleh menjadi virus dan barah jika lambat ditangani. Dalam konteks ini kita menyokong inisiatif pihak kementerian yang dilaporkan telah pun menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus untuk sekolah-sekolah bermasalah seperti ini dan akan diadakan pelbagai program sebagai langkah pencegahan bagi menangani isu disiplin.

Jadi dalam hal ini perlu dipastikan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh semua pihak berkepentingan yang boleh sama-sama membantu menyelesaikan masalah ini dari peringkat akar umbi lagi. Langkah ini penting dan amat signifikan bagi mena­ngani punca yang menyumbang kepada salah laku murid. Misalnya pihak kementerian telah merumuskan tiga faktor utama berlaku kes ponteng iaitu tidak berminat ke sekolah, mempunyai masalah keluarga dan isu kemiskinan. Jadi kita perlu fokus dan tentukan pihak mana yang boleh bantu tangani faktor-faktor ini.

Kita perlu melihat masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah ini dalam spektrum yang lebih besar supaya dapat tangani isu ini di peringkat awal.

Kita tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu kes seperti kes buli sehingga ada yang meninggal dunia barulah semua pihak sibuk mencari punca dan jalan penyelesaian. Dalam lain perkataan cukup-cukuplah pemikiran dan tindakan berasaskan langkah pembetulan semata-mata. Sewajarnya belajar dari kesilapan lalu dan ambil iktibar.

Misalnya, dalam kes ponteng sekolah, andai didapati murid tidak berminat ke sekolah dan ada masalah keluarga apa yang kita boleh buat dan siapa yang patut terlibat untuk menyelesaikan masalah ini yang telah pun dikenalpasti sebagai antara faktor utama murid ponteng sekolah. Apa yang pasti dalam hal seperti ini kita tidak boleh meletakkan segala tanggungjawab kepada sekolah mahupun guru semata-mata. Mereka tidak mampu buat lebih kerana hanya menerima masalah yang dicetuskan di peringkat keluarga dan rumah di mana pihak sekolah tidak mungkin boleh masuk campur dalam masalah dalaman keluarga murid.

Justeru perlu diselesaikan ma­salah di peringkat keluarga terlebih dahulu.

Sebagai contoh jika pihak sekolah sudah mengenalpasti pelajar-pelajar yang ada kecenderungan untuk ponteng sekolah, di samping ambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, kita juga wajar memikirkan kaedah bagaimana boleh melibatkan pihak berkuasa yang lain seperti polis dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun pejabat agama.

Hal ini kerana agensi seperti ini boleh membantu keluarga yang ada masalah sama ada membabitkan isu penderaan oleh ibu bapa, masalah kepincangan ekonomi keluarga ataupun masalah rumahtangga ibu bapa. Perlu diingatkan semuanya bermula dari rumah. Jika ada bermacam-macam masalah di rumah kemungkinan besar anak yang terlibat akan menerima tempiasnya. Kesan psikologi negatif yang diterima anak ini boleh mendorong mereka melakukan pelbagai perbuatan dan salah laku seperti ponteng, terlibat dengan dadah mahupun buli dan gengsterisme.

Jadi penulis berpandangan pihak kementerian yang sudah ada rekod pelajar yang bermasalah disiplin di 402 buah sekolah wajar berkongsi data dan maklumat ini bersama dengan beberapa agensi lain seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun pejabat agama supaya mereka juga boleh turut sama menangani masalah ini. Mi­salnya jika membabitkan pergaduhan mahupun perceraian antara ibu bapa murid, biarlah pejabat agama dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bantu selesaikannya dengan baik dan bukannya guru sekolah lagi.

Kerjasama strategik dan bijak antara agensi melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seperti ini dilihat sangat mustahak kerana kita tidak boleh lagi bekerja secara silo sebalik­nya wajar menggembleng segala tenaga dan kepakaran yang ada secara bersepadu bagi menangani masalah besar seperti ini. Malah dalam isu ini penglibatan anggota masyarakat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga sangat penting kerana mereka boleh mendekati keluarga yang ada masalah dengan lebih mudah dan berhemah.

Perlu diingatkan anak-anak inilah bakal mewarisi legasi dan kepemimpinan negara ini kelak. Apakah kita mahu membiarkan mereka hanyut dan merosakkan masa depan sendiri tanpa sebarang bimbingan yang sewajarnya? Jadi marilah bersama-sama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah dari peringkat akar umbi lagi dengan lebih berkesan.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain