Sesungguhnya tiada kenangan yang terindah selain berjaya melaksanakan ibadat haji dengan sempurna. Mudah-mudahan beroleh haji mabrur. Ganjaran haji mabrur adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Setiap jemaah haji mengimpikan beroleh haji mabrur, bukan sekadar haji yang sah. Mereka yang beroleh haji mabrur tidak akan ‘terpesona’ dengan panggilan haji atau hajah. Sebaliknya akan terpancar kebaikan dalam perwatakan mereka. Solat jemaah sentiasa dipelihara, al-Quran sentiasa dibaca dan dijadikan pedoman, melaksanakan segala amal kebaikan dan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang.

Jadi, tidak semua yang hajinya sah terhitung sebagai haji mabrur. Ibnu ‘Abdi al-Barr dalam al-Tamhid menyatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tiada riak (sombong), tiada sum’ah (mengata orang), tiada rafath (lucah), tidak melakukan kefasikan dan tunai haji dengan harta halal.

Antara tanda-tanda haji mabrur yang disebutkan para ulama adalah:

* Harta yang dibelanjakan bagi menunaikan haji adalah harta yang halal. Sabda Nabi SAW: Sungguh Allah baik, tidak menerima kecuali yang baik. (Riwayat Muslim)

* Amalan-amalan dalam hajinya dilakukan dengan ikhlas, sesuai dengan tuntutan Nabi SAW. Segala rukun dan kewajipannya dilakukan dan semua larangan pula dielakkan. Menurut Syuraih al-Qadhi seperti dinukilkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Yang (benar-benar) berhaji sedikit, meski jemaah haji banyak. Alangkah banyak orang yang berbuat baik, tapi alangkah sedikit yang ikhlas kerana Allah.”

* Hajinya dipenuhi pelbagai amalan baik seperti zikir, membaca al-Quran, solat di Masjidilharam dan solat pada waktunya. Sebagaimana kenyataan Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Maka haji mabrur adalah yang terkumpul di dalamnya amalan-amalan baik, dan menghindari perbuatan-perbuatan dosa.”

Antara lain, amalan khusus yang disyariatkan untuk meraih haji mabrur adalah bersedekah dan berkata-kata baik selama haji. Nabi SAW pernah ditanya tentang maksud haji mabrur, maka baginda menjawab: Memberi makan dan berkata-kata baik. (Riwayat Baihaqi)

* Tidak melakukan maksiat sepanjang berihram. Maksiat dilarang agama kita dalam semua hal. Dalam keadaan berihram, larangan tersebut menjadi lebih tegas dan jika dilanggar maka haji mabrur yang diimpikan akan terlepas. (rujuk al-Baqarah ayat 197)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang haji dan ia tidak rafath dan tidak fusuq, ia akan kembali kepada keadaannya saat dilahirkan ibunya. (Riwayat Ahmad)

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menjelaskan rafath adalah semua bentuk kekejian dan perkara yang tidak berguna. Ini termasuk bersetubuh, bercumbu atau berbual tentangnya, meskipun dengan pasangan sendiri selama berihram.

Fusuq adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah dalam apa jua bentuknya. Dengan kata lain, segala bentuk maksiat adalah fusuq yang dimaksudkan dalam hadis di atas. Jidal pula adalah berbantah-bantahan secara berlebihan.

* Menjadi lebih baik selepas haji. Antara tanda dite­rimanya amal seseorang di sisi Allah adalah diberikan taufik untuk melakukan kebaikan lagi setelah amalan tersebut. Sebaliknya, jika setelah beramal soleh melakukan perbuatan buruk, maka itu adalah tanda bahawa Allah tidak menerima amalannya.

Ingatlah, kehidupan yang dijalani sekembalinya menunaikan haji menjadi petunjuk adakah seseorang itu beroleh haji mabrur atau sebaliknya. Orang yang hajinya mabrur menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak untuk membuka lembaran baharu dalam menggapai reda Allah SWT.

Imam Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir menyatakan bahawa Al-Hasan al-Bashri telah menjelaskan, “Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat.”