Lebih menghibakan selepas berjaya ditangkap selang beberapa hari kemudian, hayat Awang Besol berakhir ketika menerima rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 23 Julai lalu.

Kisah `kejinakan' Awang Besol antara secebis cerita mengenai harimau Malaya yang terdapat di Malaysia. Lama sebelum kemunculan harimau ini masyarakat di Nusantara dan Tanah Melayu sebelum merdeka sangat sinonim dengan harimau.

Dalam alam Melayu dan budaya masyarakat Nusantara, harimau menjadi lambang dan memiliki keistimewaan tersendiri sehingga diangkat sebagai simbol keberanian dan perjuangan.

  • HARIMAU SIMBOL KEKUATAN DAN KEKUASAAN

Disebabkan sifat keberanian dan kekuatan yang dimiliki oleh harimau maka tidak hairanlah spesies haiwan ini diangkat sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan dari sudut sosio budaya masyarakat Melayu khususnya.

Di atas faktor ini, harimau seringkali dijadikan lambang dalam logo rasmi kerajaan, swasta dan pelbagai pertubuhan. Malah pasukan bola sepak kebangsaan dan juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mengangkat harimau sebagai lambang yang mencerminkan kekuatan, kekuasaan dan kehebatan.

Pada masa sama, pengaruh harimau juga terdapat dalam alat kebesaran milik raja Melayu. Contohnya, cogan alam yang merupakan alat kebesaran yang menjadi sebahagian daripada lambang kebesaran kerajaan Malaysia.

Diperbuat daripada perak, di bahagian atas bulatan cogan alam ini terdapat anak bulan dengan bintang diperbuat daripada emas. Di sekeliling bulatan ini diterapkan lambang 11 negeri di Tanah Melayu yang juga diperbuat daripada emas. Bulatan tersebut ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri, manakala tongkatnya dihiasi dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas.

  • SAKA HARIMAU JADIAN

Di sebalik lambang kemegahan yang dimiliki harimau, kewujudan binatang buas ini juga dikaitkan dengan kepercayaan mistik mengenai manusia yang boleh bertukar menjadi harimau. Malah, kepercayaan mistik ini turut menarik minat Residen British di Pahang, Hugh Clifford yang pernah merekodkan satu kejadian misteri dan menyeramkan di Kampung Ranggul, Sungai Tembeling, Pahang sekitar 1860-an dalam buku Tracking the Weretiger.

Dalam catatan itu, Clifford menceritakan mengenai bagaimana seekor harimau besar membunuh hampir satu keluarga yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.

Bagaimanapun dalam kejadian menyeramkan ini, seorang mangsa serangan berjaya menyelamatkan diri dan kemudiannya menceritakan kepada penduduk kampung berkenaan mengenai kejadian itu. Paling menimbulkan kehairanan orang kampung ialah walaupun semua mayat rosak teruk mereka mendapati jasad mangsa tidak dibaham dan hanya darah mereka yang kering seperti diminum makhluk misteri.

Kejadian itu sekali gus meyakinkan banyak pihak bahawa binatang yang menyerang keluarga ini adalah harimau jadian yang ketika itu kecoh diceritakan mengganas di sekitar Pahang.

Kepercayaan mistik masyarakat Melayu melibatkan harimau boleh dilihat melalui filem-filem seperti Si Tora Harimau Jadian yang diterbitkan pada 1964, Waris Jari Hantu (2007) dan lain-lain lagi.

  • PERUBATAN

Meskipun dianggap haiwan ganas dan penuh misteri, sebenarnya setiap tahun populasi haiwan ini semakin menurun dan jika tidak diambil tindakan pantas mungkin kewujudan harimau hanya boleh dibuktikan menerusi gambar dan rakaman video.

Selain berpunca daripada kemusnahan hutan yang semakin berleluasa, pemburu haram yang memburu haiwan ini untuk pelbagai tujuan juga menyebabkan jumlah populasi harimau Malaya direkodkan hanya sekitar 200 ekor.

Dari sudut perubatan tradisional, terdapat anggota-anggota tertentu pada harimau dipercayai mempunyai khasiat untuk dijadikan ramuan sebagai ubatan tradisional.

Terdapat pengamal perubatan tradisional yang mempercayai hati harimau yang dikeringkan dan kemudiannya dijadikan serbuk sangat bernilai untuk dijadikan sebagai ramuan ubat-ubatan termasuk untuk kekuatan tenaga batin.

Namun begitu, sejak haiwan ini dilindungi di seluruh dunia kerana ancaman kepupusan, aktiviti memburu harimau secara terbuka merupakan satu kesalahan dan jika ditangkap hukuman berat sedia menanti.

Secara tiba-tiba tumpuan seluruh rakyat Malaysia teralih kepada seekor harimau yang dikatakan 'jinak' dan memasuki sebuah kawasan kampung di Dungun, Terengganu baru-baru ini. Tanpa ramai yang mengetahui rupa-rupanya haiwan jenis pemangsa ini yang dinamakan sebagai Awang Besol bukannya jinak tetapi sedang menanggung kesakitan akibat Virus Canine Distemper.