Sebenarnya, akak cun bukan hendak tengok sangat perlawanan itu. Lebih-lebih lagi yang main itu MU. Tapi malam itu, kawan-kawan akak cun berkumpul di situ. Tengok sahajalah sepintas lalu.

Tidak sedar, rupa-rupanya akak cun duduk di tengah-tengah penyokong MU. Semuanya lelaki. Bila gol pertama dijaringkan, akak cun terus berkata kepada kawan akak cun, dia penyokong Liverpool - MU ini kalau tiada bekas penyerang Everton, Romelo Lukaku, memang hancurlah.

Duduk nombor enam, pusing-pusing dekat situ juga macam musim lalu.

Mungkin kata-kata akak cun itu agak kuat, seorang penyokong MU yang berdekatan bersuara tetapi tidak pula memandang muka akak cun. Katanya - Eh, perempuan tak tahu pasal bola, diamlah.

Akak cun senyum simpul saja. Tetap menjaga kesopanan dan kelembutan seorang wanita walaupun diperlekeh. Tetapi dalam hati berkata-kata - sibuk saja pasang telinga. Tarik telinga baru tahu. Lawan dengan team ‘cap ayam’ bolehlah. Cuba jumpa musuh ketat Liverpool atau Manchester City, tengoklah siapa yang jadi ulam!

Akak cun bukan takut hendak menjawab secara langsung. Akak cun malas melayan lelaki yang suka perlekeh perempuan. Buang masa. Orang macam ini ingat perempuan cuma tahu main batu seremban, anak patung atau duduk rumah masak saja.

Semasa Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini, ramai saja orang lelaki di pejabat akak cun yang tak berkelip biji mata dan riuh bersorak apabila melihat siaran langsung sukan yang melibatkan orang perempuan - gimnastik, gimrama, renang dan bola jaring.

Tidak pula akak cun bersuara - Yang lelaki sila bersurai ... jangan sibuk-sibuk depan tv ini dan akak cun tak cakap pun - orang lelaki jangan tengok sukan ini. Ini sukan orang perempuan.

Pergi duduk diam-diam sana.

Tetapi orang lelaki pula, bila akak cun bercakap pasal sukan yang dikuasai lelaki, dia fikir orang perempuan tidak tahu apa-apa. Memandang rendah.

Entah-entah dia pun tak pernah main bola. Entah-entah bola offside pun dia tidak tahu atau entah-entah kenapa dapat tendangan penalti pun dia tak faham.

Kajian The Times menyatakan di Jerman, selepas Piala Dunia Jerman 2006, nisbah lelaki dan wanita ke stadium adalah: 64% : 36% dan ketika ini di negara itu, purata nisbah lelaki dan wanita datang ke stadium adalah: 58% : 42%.

Di negara ini, mungkin nisbahnya lebih kurang sama. Cuma tiada lagi kajian dibuat. Tak patutlah orang lelaki fikir sukan bola sepak itu, mereka sahaja yang minat dan tahu semuanya.

Akak cun mengikuti EPL dan sokong team meriam, Arsenal. Walaupun kadang-kadang meriam itu tak meletup, tetapi kalah atau menang, akak cun steady saja. Akak cun taklah bising-bising Wenger out atau Wenger in. Masa menang puji. Bila kalah kutuk team sendiri.

Tak macam seorang kawan akak cun ini, penyokong MU jugalah, bila menang baru berani pakai jersi kelab itu. Dua musim lalu, tak pernah mengaku pun ada jersi MU home dan away yang harganya beratus-ratus ringgit. Seorang lagi, penyokong Liverpool, bila kelab itu kalah atau seri, habis semua orang di pejabat kena marah! Entah apa-apa.

Dan ada juga yang ‘riak’, bila kelab yang disokong menang terus tag dalam Facebook akak cun. Tak payahlah beri salam 2-0 atau salam 4-0. Sudah menang, sudahlah. Dan kalau Arsenal kalah pula, lagi teruklah ‘membahan’, kalau dalam FB akak cun buat diam, dia tidak puas hati hantar mesej dekat WhatsApp macam akak cun pula yang main dalam game itu.

Ramai lelaki fikir, perempuan minat bola sebab ada pemain kacak. Akak cun tengok bola bukan sebab ada Mesut Ozil, Alexis Sanchez atau Granit Xhaka.

Penyerang baru Arsenal, Alexandre Lacazette, tak kacak mana pun, tapi akak cun sokong. Jangan ingat pe­rempuan tengok muka sahaja. Kalau harap muka hensem tetapi perangai buruk, siapa suka?

Okay, cukup pasal bola. Akak cun hendak cakap pasal abang hensem. Ramai orang tanya akak cun, kacak tak abang hensem tu? Tentulah kacak. Sudahlah hensem, baik hati pula.

Terperinci betul abang hensem cerita pasal tudung yang berharga sampai RM21,600. Memanglah, tidak masuk akal harga sebegitu. Tetapi bab orang rumah dan anak perempuan sesekali nak berbelanja, minta beli tudung yang cantik dan mahal sikit, layankan sajalah. Tak pelik apa pun. Bukan mereka minta tudung saji pakai di kepala.

Tetapi akak cun tak pakai tudung harga mahal. Paling tinggi RM30. Bukan kedekut. Akak cun tidak suka pakai tudung yang ada batu-batu, ropol-ropol atau bunga-bu­nga.

Macam kereta berhias. Akak cun cukup rimas. Dan akak cun tak akan botakkan kepala encik abang akak cun yang tinggi lampai itu untuk belikan tudung yang mahal-mahal. Biarlah dia ada rambut!