Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UNGKAPAN di atas mungkin sudah kerap anda de­ngar atau baca kebelakangan ini. Ungkapan ‘Bukan Semuanya Benar di Internet: Tak pasti jangan kongsi’ itu adalah slogan atau tagline yang digunakan oleh sebenarnya.my iaitu portal yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk orang ramai menyemak atau melaporkan sesuatu berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya yang diterima melalui platform media sosial termasuk WhatsApp, khidmat pesanan ringkas, emel atau blog.

Portal itu ditubuhkan dengan harapan dapat mena­ngani gejala penularan berita palsu dalam talian yang semakin menjadi-jadi yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Memang tidak dapat dinafikan akhir-akhir ini bermacam-macam berita viral atau tular tersebar luas di alam siber. Adakalanya semacam betul, adakalanya juga sekali baca pun kita rasa curiga akan kesahihannya.

Sebagai pengguna media sosial yang matang dan berhemah, tentu sahaja kita tidak akan mengongsi sesuatu berita itu apabila was-was atau tidak pasti akan kesahihannya. Itu yang sebaik-baiknya.

Sayangnya dalam kalangan masyarakat siber hari ini, ramai yang kurang matang dan banyak juga yang tidak berhemah.

Dapat sahaja sesuatu berita, apatah lagi yang tular atau viral, maka terkocoh-kocohlah kita berkongsi tanpa menyemak terlebih dahulu akan kesahihan berita tersebut. Mentaliti ‘share atau kongsi dahulu, fikir kemudian’ menjadi amalan kebanyakan kita.

Masing-masing mahu menjadi antara orang pertama yang berbuat demikian, tidak mahu tertinggal, seolah-olahnya hendak mengejar pingat emas bagi catatan masa terpantas menularkan berita.

Gara-gara tidak semak sebelum kongsi, maka jadilah berita yang tidak sahih, diada-adakan, ditokok-tambah atau lebih buruk lagi yang palsu dan fitnah disebarluaskan.

Perkara itu berlaku baru-baru ini dalam isu buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3 yang tular dalam media sosial ke­rana tidak memasukkan gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.

Tanpa usul periksa, berita itu diulang kongsi dan disebarkan sehingga mengundang kecaman terhadap Kementerian Pendidikan yang dituduh cuba memadamkan sejarah Malaysia.

Akibatnya, Kementerian Pendidikan terpaksa tampil membuat kenyataan penafian bahawa buku berkenaan bukan diterbitkan oleh pihaknya sebaliknya adalah terbitan pihak swasta.

Kementerian Pendidikan turut terpaksa menegaskan yang pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada sekolah-sekolah di bawah kendaliannya agar menurunkan atau menanggalkan gambar bekas Perdana Menteri itu.

Soalnya siapa yang pandai-pandai ‘menghilangkan’ gambar Perdana Menteri keempat itu daripada cetakan buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tersebut? Apa motif di sebaliknya?

Siapa pula yang menyebarkan ‘penemuan’ itu dalam media sosial? Apa pula motifnya?

Begitu juga kenapa penerbit swasta terbabit tidak tampil memberi penjelasan? Apa alasannya menerbitkan buku rujukan sedemikian? Jika berlaku kesilapan yang tidak disengajakan, kenapa membisu? Kenapa membiarkan Kementerian Pendidikan menjadi punching bag dihujani kecaman dan tohmahan bertalu-talu oleh warga Internet atau netizen?

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan sama menafikan buku tular tersebut adalah terbitannya, memaklumkan yang pihaknya telah membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap penerbit buku terbabit dan pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu itu ke dalam media sosial.

Tindakan kementerian itu bagi penulis amat tepat. Kedua-dua pihak yang menerbitkan maklumat salah dan menyebarkan maklumat palsu sama-sama perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka dan wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Penulis berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera dan mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan sekali gus membersihkan imej Kementerian Pendidikan yang cuba diconteng seolah-olah mahu me­ngubah sejarah.

Dalam hal ini, penulis ucapkan syabas kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang me­nunjukkan sikap cukup profesional. Hakikat bahawa Dr. Mahathir ialah Perdana Menteri Malaysia keempat sudah menjadi sejarah yang tidak boleh diubah dan dipadamkan. Sungguhpun bukan lagi rahsia bahawa Dr. Mahathir kini secara aktif menyertai parti pembangkang, Mahdzir jelas tidak mencampuradukkan unsur politik dengan fakta sejarah.

Isu buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3 ini hanya secebis daripada lambakan berita dan maklumat palsu yang berlegar di mayapada.

Kewujudan dunia digital menambah mudah anasir-anasir kurang baik menyebarkan jarum fitnah dan adu domba untuk meretakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pada akhirnya, terpulang kepada pelayar internet dan media sosial untuk menentukan sama ada dengan mudah merelakan diri dipengaruhi berita tular yang belum pasti kesahihannya atau mahu menjadi pengguna bijak yang menyemak terlebih dahulu status sesuatu berita sebelum menyebarkannya.

Terbaharu imej latar montaj di belakang pembaca be­rita Buletin Utama TV3 yang didakwa ‘menghilangkan’ mercu tanda negara Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur (KL Tower) pula menjadi tular di media sosial. Penulis sarankan semak dan pastikan kesahihan maklumat itu sebelum menyebarkannya. Jika benar, pasti ada penjelasan munasabah. Jika tidak pasti, jangan pula kongsi dan menokok-tambah ‘perisa’ sesedap rasa.

Kita hidup hendak menambah pahala, bukan mencipta dosa.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain