Zainal, Shah Alam

UKE: Tahlil atau kenduri tahlil bagi masyarakat kita ialah bacaan al-Quran, berdoa dan berzikir. Jika ada rezeki maka jamuan akan diadakan.

Ia bukan seperti difahami zaman dahulu seperti tempat untuk meratap, berhimpun menunjuk rasa sedih dan tidak reda dengan kematian.

Kalau begitu keadaannya tidak syak lagi menjadi bidaah yang dilarang. Tahlil ialah nama lain bagi perkataan tayyibah iaitu kalimah mulia yang mentauhidkan Allah SWT.

Namun dalam konteks soalan anda, tahlil bagi pemahaman orang Melayu ialah mengucap kalimah tayyibah dan berdoa untuk orang yang telah meninggal dunia.

Menurut masyarakat Melayu kita juga, tahlil ialah zikir yang terkandung antaranya surah-surah dan ayat-ayat pilihan, selawat ke atas Nabi, tahlil serta lain-lain dan diakhiri dengan doa untuk si mati.

Dalam huraian di atas dapat kita fahami dan simpulkan bahawa kenduri tahlil bukan sahaja mengucapkan kalimah “la ilaha illallah” tetapi juga membaca surah-surah dan ayat-ayat pilihan serta lain-lain lagi daripada kalimah tayyibah.

Seterusnya didoakan kepada Allah agar si mati dirahmati dan diberi segala kebaikan. Hukum asalnya ialah harus, hendak buat silakan, tak mahu buat pun silakan. Ia bukan sunnah dan bukan wajib.

Hendak kata haram pun tidak boleh kerana tidak ada larangan daripada Nabi SAW. Apatah lagi di dalamnya ada bacaan al-Quran, zikir dan doa. Begitu juga memberi jamuan kepada tetamu dan bukanlah menjamu tetamu itu disuruh.

Berdoa kepada orang mati ada disebut dalam Surah Muhammad ayat 19: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

Ayat tersebut menerangkan bahawa orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan mendapat manfaat daripada istighfar orang mukmin lain untuknya. Begitu juga tidak salah berdoa kepada orang yang sudah meninggal dunia.

Surah al-Hasyr ayat 10: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpahi belas kasihan dan rahmat-Mu.”

Masalah ialah apabila tahlil dianggap wajib atau sunat padahal ia bukan termasuk dalam dua rukun tersebut. Kedua, jangan ditetapkan mesti buat pada hari-hari tertentu seperti tiga hari atau tujuh hari.

Buat bacaan zikir dan doa pada bila-bila masa pun boleh. Bukan semestinya buat kenduri sahaja malah buat seorang diri pun boleh dengan berzikir dan bertahlil.

Ketiga, jangan menjamu menggunakan duit haram atau duit anak-anak yatim. Keempat, tidaklah semestinya bacaan tahlil itu ditetapkan ayat al-Quran dan doa tertentu sahaja. Bacalah surah, zikir dan doa yang hendak dibaca dan bacalah dengan betul.