Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PENULIS merujuk kepada laporan akhbar sebuah portal maya bertarikh 6 Julai 2017 mengenai penghakiman Mahkamah Rayuan dalam memutuskan permohonan seorang Ahli Parlimen mengenai haknya untuk berjalan ke luar negara. Penulisan ini tidak berminat untuk mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tetapi lebih menjurus kepada pengulasan ke atas kenyataan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Idrus Harun.

Salah satu isu yang dirujuk dalam kes ini adalah ber­kenaan dengan interpretasi perkara yang berkaitan de­ngan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Idrus antara lain menyatakan seperti berikut:

“Kami mengingatkan diri kami bahawa keputusan dari bidang kuasa asing seperti India atau Amerika Syarikat harus didekati dengan berhati-hati sebagai panduan kepada tafsiran perkara khusus dalam perlembagaan kita. Ini kerana susunan kata peruntukan perlembagaan, yang mungkin meminimumkan utiliti undang-undang asing dalam konteks domestik. Kita harus menentukan kes-kes di hadapan berdasarkan perlembagaan kita, undang-undang kita sendiri dan keadaan di negara kita yang tidak semestinya sama di negara lain.”

Pernyataan ini jelas untuk memberikan peringatan kepada pengamal undang-undang agar berhati-hati dalam merujuk sesuatu perundangan luar bagi memastikan ia sesuai diadaptasikan kepada keadaan semasa di negara ini.

Namun diakui bahawa sesuatu undang-undang itu tidak boleh statik dan harus berkembang mengikut peredaran ilmu serta zaman. Tetapi dalam merujuk dan memberikan terjemahan, ia perlu dipastikan sesuai dengan konteks undang-undang tempatan.

Penggubalan undang-undang adalah tanggungjawab badan legislatif. Boleh dikatakan penggubalan undang-undang tempatan adalah selari dengan acuan yang bersesuaian dengan keadaan semasa negara.

Isu kecenderungan merujuk kepada perundangan luar oleh pengamal undang-undang pernah diulas oleh Tun Abdul Hamid yang menyebut bahawa terdapat pengamal undang-undang ataupun hakim-hakim yang mempunyai kecenderungan untuk merujuk kepada perkembangan perundangan luar.

Kecenderungan ini membuatkan perkembangan perundangan luar diterima pakai tanpa meneliti undang-undang bertulis tempatan yang diamalkan atau jika tidak ada undang-undang bertulis, kesesuaian prinsip undang-undang yang diguna pakai di Malaysia.

Selain isu intrepretasi antara peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan dengan undang-undang negara luar, isu hak asasi juga selalu dibandingkan dengan undang-undang luar atau antarabangsa.

Misalnya, masih lagi terdapat pihak yang gemar ­menghujahkan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai arah tunjuk dalam hal berkenaan hak asasi.

Sama ada mereka terlepas pandang atau enggan memandang, seharusnya undang-undang tempatan dirujuk terutama Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang menyatakan bahawa perhatian hendaklah diberikan kepada UDHR setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Percanggahan ini bukan hanya meliputi perkataan yang digunakan semata-mata tetapi juga kepada semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan. Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan Perkara 4 sendiri menetapkan martabat tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Justeru sama ada UDHR atau Deklarasi Kaherah mahupun Deklarasi ASEAN sekalipun tidak akan terpakai sekiranya tidak diterima sebagai undang-undang dalam negara atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah dalam isu hak asasi ini, Bahagian 2 Perlembagaan telah pun menyatakan perihal hak asasi mengikut acuan negara ini sendiri.

Kedudukan UDHR misalnya pernah diulas dalam kes Merdeka University Berhad v Kerajaan Malaysia apabila Hakim Eusoffe Abdoolcader menyatakan bahawa UDHR hanyalah pernyataan prinsip-prinsip dan bukan bersifat wajib atau punya obligatory character dan tidak membentuk sebahagian daripada undang-undang tempatan. Pendirian yang sama juga telah dinyatakan oleh Mahkamah dalam kes Mohamad Ezam Mohd. Noor v Ketua Polis Negara.

Tuntasnya, penterjemahan undang-undang perlulah dilakukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang tempatan. Hujah logik untuk saranan ini adalah bagi menyantuni keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang kita laungkan yang harus diterjemahkan dalam perbuatan, iaitu dengan meletakkan Perlembagaan Persekutuan di tempat yang sepatutnya. Justeru mahu atau tidak, pemahaman sejarah tentang bagaimana terbentuknya Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan perhatian supaya kita tidak terbabas dalam merujuk.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain