Lalu sahabat Kalam berkata, dia berasa amat kecewa jika itu yang diputuskan kerana baginya pemimpin yang akan menerajui UMNO selepas ini perlu benar-benar mendapat mandat daripada ahli agar parti terbesar orang Melayu itu mampu bangkit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Baginya, soal memilih Presiden dan Timbalan Presiden bukan soal main-main tetapi melibatkan kelangsungan UMNO sebagai salah satu parti utama negara ini apatah lagi dengan kekalahan yang dialami pada PRU-14 yang lalu.

UMNO katanya, perlu ambil iktibar terhadap nasib yang menimpa parti itu dan sudah tiba masanya perubahan drastik dilakukan melalui penyusunan semula kepemimpinan dalam sesi pemilihan UMNO akan datang.

Mengenali sahabat Kalam ini, dia adalah seorang penyokong tegar UMNO selain seorang yang amat menya­yangi dan prihatin terhadap parti. Sebab itu ketika mene­rima berita kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14, dia adalah antara insan yang paling kecewa.

UMNO bagi sahabat Kalam ini diibaratkan sebagai seorang bapa yang membela dan menyayangi anaknya. Bapa yang mahu anaknya berjaya dalam hidup. Sememangnya sahabat Kalam ini seorang yang amat mengenang budi. Tidak pernah dia melupakan jasa-jasa UMNO yang pernah diberikan kepadanya melalui kerajaan BN sebelum ini.

Kalam bersetuju dengan apa yang diperkatakan. Jus­teru, pemilihan UMNO akan datang perlu melibatkan semua jawatan agar proses itu dapat mengenal pasti nak­hoda yang benar-benar diberi mandat untuk melayari bahtera UMNO.

Kalam percaya jika proses ini dapat dilakukan, UMNO akan berubah menjadi parti yang lebih segar dan dinamik. Asasnya perlu dilakukan perubahan dengan mendapat mandat daripada ahli. Oleh itu jika kepemimpinan sedia ada menjadi pilihan ahli, semua pihak perlu akur dan jika ahli mahu pemimpin baharu, keputusan itu juga perlu dipatuhi.

Siapa pun yang menjadi pilihan, biar ahli yang tentukan. Siapa yang merasakan beliau layak untuk bertan­ding, jangan disekat. Biarlah amalan demokrasi subur selama-lamanya dalam UMNO. Kalam yakin UMNO mempunyai pemimpin-pemimpin yang berwibawa sama ada di pe­ringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri untuk diketengahkan.

Dalam pada itu ada juga yang berpandangan gabungan antara pemimpin lama dan baharu adalah formula terbaik untuk meletakkan UMNO semua pada landasan terbaik.

Seperkara lagi, pemimpin-pemimpin yang berhasrat untuk bertanding perlu meletakkan kepentingan parti da­ripada segala-galanya. Jangan pula dalam proses pemilihan berjalan, ada yang cuba-cuba mengamalkan politik wang. Sekiranya ini yang berlaku dan demi perubahan untuk UMNO, ahli-ahli wajib tolak calon-calon yang seperti itu.

Ingat, situasi UMNO sekarang bukan seperti dahulu. Bukan seperti 61 tahun yang lalu. UMNO di saat ini telah menjadi suara pembangkang dan bukan lagi suara kerajaan. Sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang. Hakikatnya, usaha UMNO dan BN merampas semula kemenangan itu daripada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang bukan tugas mudah sebaliknya sukar dan memeritkan.

Untuk rekod pada 15 Oktober 2009, Perhimpunan Agung Khas (EGM) UMNO bersetuju dengan cadangan untuk meminda tujuh perkara dalam fasal perlembagaannya antaranya berkaitan pemilihan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi (MT) dibuat dalam Persidangan Bahagian setiap tiga tahun sekali.

Pemilihan tersebut akan melibatkan 146,500 perwakilan bahagian diberi kuasa memilih berbanding hanya 2,510 perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Jumlah itu termasuk 51,000 perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan membuat pilihan dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing setiap tiga tahun sekali. Renung-renungkanlah.