DR. MAHATHIR MOHAMAD

Tapi selagi dua parti Melayu terbesar di negara ini, UMNO dan Pas yang mewakili 65 peratus orang Melayu masih dengan jalan masing-masing - tidak bersatu - Melayu takkan ke mana. Wal hasil balik asal.

Kalau ikut analisis mudah, andainya Pas-UMNO berkompromi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan tidak menjadikan persaingan tiga penjuru menghadapi Pakatan Harapan, barangkali sekurang-kurangnya 26 kerusi Parlimen milik UMNO terselamat.

Kini, daripada 88 kerusi Parlimen UMNO, menyusut kepada 54 selepas pilihan raya umum itu, seterusnya kini tinggal 51 sahaja.

Hakikatnya bukan hendak ‘me­­nyelamatkan’ UMNO isunya di sini tetapi gambaran lebih makro, survival orang Melayu di tanah air ini. Adakah Pas sebagai penentu survivalnya? Pun bukan barangkali, tetapi setidak-tidaknya Pas terbukti ada pengaruh, pengundi dan penyokongnya, sehingga me­nguasai 18 kerusi Parlimen dan dua negeri seperti UMNO.

Atau adakah survival Melayu bergantung kepada parti Bersatu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad atau PKR diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Pilihan raya kecil Sungai Kandis tempoh hari boleh dijadikan titik tolak awal kebersamaan Pas-UMNO. Mungkin Pas tidak mahu nampak keterlibatan secara langsung kerana masih ada kelibat pemimpin UMNO terdahulu di situ? Atau masih terasa bahang peralihan kuasa kerajaan? Namun PRK Seri Setia boleh menjadi titik pertengahan permuafakatan lebih jelas Pas-UMNO?

Demi orang Melayu, Pas dan UMNO, masing-masing diketuai presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti duduk berbincang secara terbuka bersama. Di Seri Setia nanti, Pas-UMNO harus menunjukkan keikhlasan bersama di atas satu pentas. Tetapi jangan sekadar pemimpin peringkat ter­tinggi sahaja me­ngam­bil inisiatif itu. Pengikut, penyokong dan ahli parti masing-masing mesti dimaklum dan diperjelaskan tujuannya.

Kalau tidak, takkan tercapai matlamatnya - bertapak di Seri Setia.

Senang cakap, kalau undi Pas-UMNO tak berpecah dan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus undi bukan Melayu kembali, nescaya kuasa Melayu melalui Pas-UMNO boleh kembali dalam genggaman.

Cuma satu sahaja masalah besar di sini, bukan sahaja sekadar dihadapi Pas dan UMNO tetapi semua parti Melayu, iaitu orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!

Lihatlah berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cenda­wan selepas hujan. Daripada UMNO, muncul PKR dan Bersatu, daripada Pas, muncul Amanah dan terbaharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Sebab itu kita orang Melayu cukup terkesan dan kalau boleh mahu kambus terus ‘isu Melayu yang sini tak kena, sana pun tak kena’ juga dengan kata-kata hikmat Dr. Mahathir yang tersemat kemas dalam sanubari sebahagian besar bangsa Melayu. Peringatan itu diluahkan bekas Presiden UMNO itu sendiri semasa ucapan penggulungan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, 23 Jun 2001.

Ia untuk menyedarkan bahawa sifat negatif itu wujud dalam sistem orang Melayu agar sentiasa beringat, sedar keadaan mereka dan tidak cepat dan mudah selesa.