Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) itu diukur berdasarkan mereka yang perlu menguruskan anak berumur antara 5 hingga 12 tahun. Tempoh kerja yang dikira pula seawal pukul 6.23 pagi hingga pukul 8.31 malam. Ini bermakna mereka bekerja 14 jam sehari.

Kalau kajian itu dibuat di AS, mungkin senario di Malaysia berbeza sedikit. Rutin waktu bekerja tidaklah begitu spesifik. Bergantung kepada keadaan keluarga masing-masing. Ada antaranya sudah mula bekerja se­awal pukul 5 pagi dan berakhir sekitar pukul 10 atau 11 malam. Pendek kata, selagi belum tidur selagi itulah ada kerja yang perlu dibuat.

Sebenarnya sesetengah wanita tidak memilih untuk menjadi suri rumah tetapi terpaksa atas desakan kehidupan masing-masing atau kerana mahu menjaga sendiri anak-anak yang masih kecil. Sebab itu ramai wanita yang berpendidikan tinggi sekali pun, sanggup berkorban meninggalkan kerjaya profesional mereka.

Skop kerja suri rumah ini tidak perlu dihuraikan satu persatu. Semua sudah maklum. Itu belum termasuk hal ehwal pengurusan anak. Memang tidak ada masa untuk diri sendiri walaupun untuk melelapkan mata sekejap pada waktu petang apatah lagi mahu melayan cerita sinetron di televisyen.

Namun, itulah tanggapan orang luar. Mereka fikir suri rumah boleh banyak berehat. Kalau bertemu kawan-kawan pun mereka pasti akan kata, “Eh seronoklah kau tidak bekerja, duduk rumah jaga anak sahaja.”

Orang luar hanya nampak ‘keseronokan’ menjadi suri rumah itu lebih kepada kebebasan melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan waktu bekerja pejabat. Difikirkan seronok sebab tidak perlu berdepan dengan kerenah orang di pejabat, tidak perlu tertekan untuk siapkan dateline atau soal pergi balik kerja yang saban hari berdepan kesesakan trafik.

Walaupun wanita bekerjaya perlu menghadapi situasi itu saban hari, namun ada keistimewaan lain yang diperoleh. Mereka berpeluang untuk bergaul, boleh menata rias diri cantik-cantik dan bebas bergerak tanpa berkepit dengan anak-anak.

Berbeza dengan suri rumah, tidak ramai yang cuba menyelami kehidupan sebenar mereka. ‘Terperap’ seorang diri dengan anak-anak di rumah. Tidak bercampur dengan orang luar. Kalau mahu keluar pun hanya apabila dirasakan perlu. Lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil.

Rasa sukar menggendong anak kecil semata-mata untuk keluar window shopping menyebabkan mereka lebih rela duduk di rumah. Lebih menyedihkan apabila tidak tahu memandu. Hanya mengharapkan suami untuk pergi ke mana-mana. Jika rasa mahu bercakap, paling tidak pun, mereka menghubungi rakan-rakan atau keluarga. Hari-hari lain hanya dapat bersembang dengan kucing atau dinding.

Mereka bekerja 24 jam sehari tujuh hari seminggu. Tidak pernah ada cuti, tidak ada istilah ‘MC’. Atas faktor-faktor ini ada antara mereka mengalami kemurungan, rasa bosan dan kehilangan keyakinan diri.

Maka di sinilah peranan suami. Berikanlah isteri anda ‘cuti’ atau orang sekarang suka cakap ‘me time’. Berilah mereka masa sekejap untuk melakukan aktiviti yang disukainya. Kadang-kadang mereka tidak minta ‘bebas’ seharian pun, cukup sekadar keluar seorang diri sejam atau dua jam tanpa ‘diekori’ anak-anak.

Sebab itu peranan serta perjuangan golongan suri rumah perlu diiktiraf seperti pekerja lain dan sudah pasti memberi satu kegembiraan kepada golongan itu apabila kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan mahu memperkenalkan dasar skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas buat mereka.

Inisiatif ini adalah amat baik sebagai mengiktiraf pe­ranan wanita dalam membangunkan keluarga dan bangsa walaupun mereka itu bergelar suri rumah. Saya percaya sudah ramai mula berkira-kira untuk menjadi suri rumah selepas ini.

Cekmek molek – Sudah merasa dua-dua pekerjaan.