* Kin Aziz, Johor Bahru.

UKE:
 Kita disuruh untuk bercakap yang baik atau kata-kata yang tidak mengundang dosa. Adalah malang jika mulut digunakan untuk mengutuk, mencaci, memaki dan sebagainya. 

Di dalam masalah anda ini sebenarnya terletak pada sikap dan perbuatan anda sendiri. 

 Memang kutukan dan kata nista ibu ayah itu salah dan tidak sepatutnya dikeluarkan. Kerana kadang-kadang terbuka hijab maka boleh jadi perkataan mereka itu menjadi seumpama doa pula kepada anak mereka.

 Akan tetapi anda kena menyakini bahawa Allah Maha Adil dan Maha Mengasihani. Allah akan memelihara hamba-hamba yang soleh dan taat. Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas RA: “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu.”

 Yang dimaksud menjaga Allah di sini adalah menjaga batasan-batasan, hak-hak, perintah dan  larangan-larangan Allah. Iaitu seseorang menjaganya dengan melaksanakan perintah Allah, menjauhi larangan-Nya, dan tidak melampaui batas dari batasan-Nya (berupa perintah mahupun larangan Allah). 

 Orang yang melakukan seperti ini, merekalah yang menjaga diri dari batasan-batasan Allah sebagaimana yang Allah puji dalam kitab-Nya. Maka anda tidak perlu khuatir jika anda seorang yang menjaga solat, menjaga kemaluan, menjaga lidah dan menjaga kepala dan perut maka insya-Allah selama itu Allah memelihara anda. 

Saya harap anda memahami apakah yang dimaksudkan dengan menjaga perkara-perkara yang saya sebutkan tadi.

Puasa enam dan qada 

Dalam bulan Syawal ini bolehkah saya puasa enam campur dengan qada puasa sekali?
* Wati, Selangor.

UKE:
 Ulama berselisih pendapat tentang hukum puasa qada digabungkan dengan sunat Syawal. Ada yang mengharuskannya dan ada yang menidakkannya. 

Ulama bermazhab Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261].

 Di sini saya nyatakan susunan supaya anda boleh menilai dan mengambil pendekatan yang sesuai kepada anda:
a) Yang terbaik ialah kita menyelesaikan dahulu puasa qada, kemudian diiikuti dengan puasa enam. Pilihan ini supaya anda keluar daripada khilaf ulama.

b) Jika kita tidak mampu puasa kedua-dua sekali dalam bulan Syawal, harus kita mendahulukan puasa enam di bulan Syawal. Adapun puasa qada kita lakukan pada bulan-bulan lain. Ulama mengambil perbuatan Siti Aisyah RA di dalam bab ini seperti mana kata-kata Siti Aisyah yang bermaksud: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqaha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)

c) Jika kita tidak mampu berpuasa kedua-duanya secara berasingan, harus kita meniatkan kedua-duanya dalam satu puasa. Malah sebahagian ulama berkata; jika seseorang berpuasa dengan niat qada dalam bulan Syawal, automatik akan dapat untuknya pahala puasa enam sekalipun tanpa niat kerana yang diperkira ialah wujudnya sebarang puasa dalam bulan Syawal itu sendiri. Wallahualam.

 
Suami berkasih dengan  isteri orang  

Seorang suami berkasih sayang dengan isteri orang tetapi sebelum sempat meminta maaf dengan suami wanita itu, suaminya meninggal dunia. Apakah dosanya boleh diampun?
* Mak Long, Kuala Lumpur.

UKE:  
Perkara sudah berlaku apa lagi yang boleh diperkatakan. Dia pula sudah meninggal dunia. Cuma saya nasihatkan silalah memohon ampun kepada Allah dengan taubat nasuha. Begitu juga dengan isterinya. 

Yang kedua, saya mengesyorkan anda berbuatlah kebaikan seperti bersedekah berwakaf dan lain-lainnya kerana kebaikan itu menghapuskan kejahatan yang dilakukan.  Ketiga, berbuatlah amal kebaikan dan disedekahkan atas nama si mati seperti umrah sunat kepadanya, berwakaf dan menderma atas namanya.

 Mudah-mudahan Allah mengampunkan kesilapan kita.Keempat, berbuat baiklah kepada ahli keluarganya seperti anak-anaknya apatah lagi anak-anak yang yatim atau kepada ibu bapanya.