Menurut beliau, pasukannya kini agak hambar prestasinya kerana dibelenggu masalah kecederaan pemain.

Lebih menyakitkan katanya, bukan sahaja masalah kecederaan melanda pemain, malah pemain juga 'menjual' permainan, selain pengadil tidak terlepas daripada perbuatan terkutuk merosakkan sukan itu.

Menurutnya lagi, bola sepak Indonesia memang cukup meriah dengan stadium sentiasa padat dengan penyokong setiap kali perlawanan berlangsung, namun prestasi keseluruhan masih lagi tidak membanggakan, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Ketika hangat isu prestasi buruk pasukan kebangsaan itu diperkatakan, timbul pula masalah para penyokong bola yang bertindak ganas khusus penyokong Kelab Persija yang mewakili Jakarta. Setiap kali selepas perlawanan berlangsung di Jakarta, pasti akan ada kekecohan dan polis merampas pelbagai senjata berbahaya yang dibawa oleh penyokong ketika menonton bola termasuk parang.

Selepas perlawanan berlangsung terutama jika Persija kalah, para penyokongnya yang dikenali sebagai Jakmania, akan menjadikan jalan-jalan utama di Jakarta sebagai medan perang. Mereka akan bergaduh, sama ada sesama penyokong Persija atau penyokong pasukan lawan.

Memang menakutkan melihat para penyokong yang berbaju oren memenuhi jalan raya dan membaling batu dan objek keras lain sesuka hati. Oleh kerana jumlah mereka terlalu ramai, polis biasanya tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan melihat sahaja.

Namun, masalah yang lebih besar melanda bola sepak Indonesia adalah isu kepimpinan yang mungkin tidak pernah berlaku kepada mana-mana kelab bola sepak di dunia ini.

Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid terpaksa merengkok di dalam penjara pada tahun 2005 kerana melanggar peraturan mengimport beras dari Vietnam.

Selama dua tahun Nurdin tetap menjadi ketua umum dan jurulatih di sebalik jeriji besi. Beliau hanya diganti sementara oleh Agusman Effendi.

Sebelum itu pada 2004, Nurdin juga didakwa kes penyeludupan gula sebanyak 73,000 tan, tetapi dia bernasib baik kerana kes itu 'dibuang' oleh mahkamah kerana fakta pendakwaan yang tidak lengkap.

Nurdin juga dikatakan cukup licik kerana sebelum dijatuhi hukuman penjara, beliau telah mengubah peraturan kelayakan Ketua Umum PSSI yang berkaitan kesalahan jenayah yang membuatkan dia tidak boleh digugurkan.

Ketika Nurdin di dalam penjara, di gelanggang bola sepak pula perbuatan rasuah dan menjual permainan cukup marak pada ketika itu sehingga kemuncaknya pada tahun 2005 apabila Kelab Persebaya menarik diri daripada liga perdana kerana mendakwa terdapat konspirasi untuk mengagalkan mereka mempertahankan trofi.

Akibat daripada tindakan itu, Persebaya diturunkan ke divisyen satu, manakala ketua umumnya, Bambang DH dan Timbalan Pengurus, H. Susanto didenda 10 tahun tidak boleh melibatkan diri dalam aktiviti bola sepak.

Di peringkat antarabangsa, Indonesia kini bukan lagi pasukan yang digeruni sebagaimana ketika mereka menjuarai bola sepak pada Sukan SEA 1991. Pada 2009, pasukan Garuda itu tumpas di peringkat kumpulan.

Bagi Piala Asia pula, sejak 1996 hingga 2004, Indonesia tidak pernah gagal melayakkan diri ke peringkat akhir, tetapi pada 2011 pasukan berkenaan terpaksa 'menggigit jari' kerana gagal di peringkat kelayakan.

Pasukan merah putih juga meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan SEA 2007 di Thailand, menjuarai AFF dan layak ke Sukan Olimpik Beijing 2008, tetapi semuanya tidak tercapai.

PSSI kini berusia 80 tahun iaitu 16 lebih tua daripada usia Republik Indonesia sendiri dan apakah usia itu seharusnya menunjukkan kematangan atau mungkin faktor usia yang terlampau tua menjadi penyebab kepada pelbagai masalah.

Apa juga halnya, bola sepak Indonesia perlu dirombak sepenuhnya dan penulis berharap serta berdoa supaya teman baru penulis itu dapat bertahan melatih kelab bola sepak di Indonesia dan pada yang sama kelabnya tidak tersingkir daripada liga perdana.