Senario ini memperlihatkan bahawa pesta buku masih menjadi kegemaran ramai terutamanya generasi muda yang meminati buku-buku dan bahan-bahan bacaan walaupun industri buku dikatakan sudah mula menemui jalan gelap.

Saudara Zainal Rashid Ahmad dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini memperkatakan bahawa industri buku seolah-olah berada dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) memandangkan jualan buku-buku di negara kita semakin menurun dari hari ke hari.

Malah, penerbit-penerbit sendiri tidak begitu berani hendak mencetak sesebuah buku dalam kadar yang lebih banyak seperti dahulu memandangkan sambutannya kurang menggalakkan. Hal ini terjadi bukan hanya kepada bahan-bahan bacaan umum tetapi sudah menjangkau kepada bahan-bahan ilmiah.

Contoh yang jelas, awal tahun 90-an, penerbit-penerbit buku akademik boleh buat duit dengan penerbitan buku rujukan, buku kerja dan sebagainya untuk kegunaan sekolah kerana kuasa beli sangat tinggi dan pelajar tidak ada pilihan lain pada masa itu. Bermula tahun 2000 sampai sekarang, terutamanya selepas capaian Internet semakin canggih di Malaysia, industri penerbitan semakin malap.

Budak-budak sekolah sudah mengalih perhatian kepada sumber yang boleh dicapai melalui internet untuk membuat rujukan dan sebagainya. Membuat rujukan apa-apa pun menerusi internet. Buat kertas kerja pun dari internet. Malah, jika diberi kerja rumah buat karangan pun, diambil dari internet.

Orang dewasa pun sudah baca akhbar menerusi online. Paling tidak pun, yang berumur antara 40 hingga 60 tahun sudah ada telefon bimbit canggih yang boleh mengakses pelbagai bahan termasuk bahan-bahan yang terdapat di akhbar. Kecanggihan capaian maklumat dalam kadar yang segera membuatkan industri buku, akhbar dan majalah mengalami zaman suram.

Bagaimanapun, PBAKL yang diteruskan dari setahun ke setahun memperlihatkankan bahawa minat masyarakat terhadap buku dan membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita masih menebal dan perlu diberi perhatian.

Penambahbaikan PBAKL mesti dilakukan supaya pengunjung berpuas hati dengan pameran buku yang diadakan, jualan, promosi dan pelbagai aktiviti untuk orang ramai daripada pelbagai lapisan yang mengunjunginya.

PBAKL sudah mempunyai banyak pengalaman kerana sudah 36 kali pesta ini diadakan. Pada setiap tahun sudah tentu pihak penganjur dapat memahami pola masyarakat yang mengunjungi pesta tersebut, kehendak pengunjung dan sambutan terhadap genre bahan bacaan.

Dari sini, penerbit-penerbit dan penulis mesti bersedia untuk menerbitkan bahan-bahan bacaan yang menjadi sasaran pengunjung supaya industri penerbitan bercetak di negara kita terus hidup dalam jangka masa yang panjang. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan penuh harapan berkata bahawa industri buku di negara kita tidak akan mati.

Apa yang penting, masyarakat di negara kita mesti dididik bahawa membaca bukan hanya untuk budak-budak sekolah, kolej dan universiti tetapi untuk semua dan pendidikan berorientasikan lulus periksa mesti diketepikan jika industri ini mahu diletakkan di tahap gemilang seperti dahulu.