Kepada Pegawai Eksekutif MHE TV, DATUK SERI ZAINAL ABIDIN OMAR dan wartawan Utusan Malaysia ASHRIQ FAHMY AHMAD, Menteri Pembangunan Keusahawanan, DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD YUSOF baru-baru ini berkongsi aspirasi kerajaan yang mahu perkara itu diubah menerusi penubuhan koperasi dalam kalangan orang awam.

Ini kelak dapat membantu mengembangkan budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat negara ini.

UTUSAN: Kewujudan Kementerian Pembangunan Usahawan dilihat amat penting kepada negara, apakah hala tuju kementerian ? 

REDZUAN: Kalau kita lihat dahulu Kementerian Pembangunan Usahawan pernah diwujudkan sebelum dibubarkan pada 2009. Ketika itu banyak rintihan daripada masyarakat yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Mereka seolah-olah kehilangan tempat untuk bergantung dan hala tuju, jadi bila kita menang pilihan raya dan membentuk kerajaan baharu kita wujudkan semula kementerian ini.

Individu yang bertanggungjawab mewujudkan kementerian ini tidak lain tidak bukan adalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kementerian ini diwujudkan semula semata-mata untuk melangsungkan visi Tun Dr. Mahathir untuk melahirkan usahawan yang berintegriti, berdaya saing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Bagaimanakah kementerian melihat penglibatan penggiat-penggiat seni dalam sektor keusahawanan?

Perkara ini saya nampak daripada pelbagai sudut, menjangkau seni itu sendiri atau bukan sahaja sekadar hiburan tetapi melibatkan usaha menaikkan budaya satu-satu bangsa atau masyarakat.

Contohnya, seni ukiran kraftangan. Industri ini begitu besar dan masih belum diteroka oleh kebanyakan usahawan terutamanya mereka yang berminat dalam seni. Itu jika dalam konteks seni.

Bahkan, ketika ini kementerian sedang giat mempromosi sektor tersebut yang mana pulangannya begitu lumayan. Kita sedang berusaha menggiatkan satu ekosistem, menggalakkan masyarakat yang berminat untuk melibatkan diri dalam industri tersebut.

Jika seni tersebut yang dimaksudkan, kita sedang dalam usaha untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan dasar-dasar baharu yang akan dilancarkan oleh Dr. Mahathir kelak.

Bagi penggiat seni dunia hiburan yang turut berminat dengan dunia keusahawanan, adakah turut mendapat perhatian kementerian?

Bagi bidang seni lainnya, contoh seni suara, lakonan dan sebagainya, potensi mereka untuk bergelar usahawan amat tinggi kerana sudah memiliki imej dan menjadi ikon dalam masyarakat. Mereka ada peminat dan dikenali ramai.

Sebagai penyanyi atau pelakon yang dikenali ramai, mereka boleh mengeksploitasi kelebihan tersebut contohnya menjadi duta untuk produk tertentu yang dikeluarkan oleh usahawan lain.

Kedua, mereka juga boleh menghasilkan produk sendiri di samping mempamerkan kebolehan dengan jenama sedia ada.

Ada cadangan untuk menubuhkan koperasi khas buat penggiat seni agar kementerian dapat memberi fokus kepada mereka, relevankah usaha tersebut?

Kementerian sememangnya menggalakkan usaha tersebut. Ia merupakan antara cara paling mudah untuk kita membantu. Di pihak kementerian, kami melihat ramai penggiat seni yang datang untuk memohon perkara tersebut dan saya juga merasakan koperasi khas buat penggiat seni sememangnya perlu diwujudkan.

Koperasi merupakan salah satu cara yang membolehkan mereka mengumpulkan dana awam untuk menjana apa jua program keusahawanan yang spesifik. Kita juga mahu orang ramai didedahkan dengan lebih lanjut perkara ini.

Secara tradisinya masyarakat melihat koperasi merupakan satu-satunya cara mudah untuk mendapatkan bantuan kewangan tetapi sebenarnya tidak, fungsinya lebih daripada itu.

Kementerian mahu sesebuah koperasi itu mewujudkan persekitaran keusahawanan menerusi bantuan dana yang diperoleh daripada ahli-ahli mereka.

Di pihak kementerian, kita akan membantu dari sudut one to one matching atau jika koperasi itu ada sumber dana yang baik kita akan lihat apakah jenis keusahawanan yang sesuai untuk mereka laksanakan. Kita akan bantu bukan sahaja dari sudut pinjaman tetapi juga latihan.

Ada sesetengah pihak menyatakan jika mahu bergelar usahawan berjaya, mereka memerlukan pencapaian akademik terbaik. Datuk Seri bersetuju dengan tanggapan ini?

Kita sudah lihat banyak usahawan yang berjaya. Mereka tiada pun ijazah. Semua orang boleh menjadi usahawan yang berjaya sebenarnya. Malah sedari kecil bakat tersebut boleh dipupuk.

Namun sistem akademik, persekitaran, pengaruh ibu bapa banyak membentuk apa yang perlu anda jadi pada hari ini.

Bagi saya, tahap pendidikan adalah perkara kedua. Paling penting adalah melihat apa yang boleh seseorang itu lakukan dan dia mestilah melakukannya dengan betul.