Beliau mendakwa mahasiswa dikenakan pelbagai tindakan termasuk dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana lantang bersuara.

Antara nama-nama disebut menjadi ‘mangsa’ ialah beberapa individu terlibat dengan pertubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang telah didakwa di mahkamah kerana merusuh dan merempuh masuk ke bangunan Parlimen pada 2013.

Benarkah tuduhan itu? Atau­pun hanya persepsi tidak ­berasaskan kepada fakta yang sengaja diulang-ulang bagi menarik sokongan golongan muda.

Pada hakikatnya, suara mahasiswa tidak pernah dilupakan oleh kerajaan. Buktinya, sejak 2015, pemimpin pelajar diberi peluang untuk mengemukakan pendapat masing-masing ketika Persidangan Parlimen Mahasiswa yang diadakan setiap tahun.

Pada tahun ini, persidangan itu akan diadakan pada 18 dan 19 Julai di Bangunan Parlimen Sementara, Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh dua hari itu, mereka boleh berucap apa sahaja mengikut format sebenar sidang Dewan Rakyat di tempat sama ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti berhujah sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan.

Pemimpin mahasiswa tidak perlu berarak dan merempuh pagar bangunan Parlimen kerana mereka akan diangkut dengan bas sehingga ke depan Bangunan Parlimen Sementara.

Bukan itu sahaja, segala pandangan mahasiswa semasa persidangan itu akan dibukukan dalam bentuk hansard (penyata rasmi Parlimen) yang bakal diedarkan kepada menteri, timbalan menteri dan pihak universiti.

Bagi Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang telah mencetuskan idea untuk mengadakan persidangan itu, tuduhan kebebasan mahasiswa bersuara disekat adalah tidak benar kerana mereka berpeluang mengemukakan apa sahaja pandangan ketika sesi berkenaan.

“Saya ingin memetik kembali kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika satu program bersama mahasiswa yang menyatakan beliau ketika menjadi pemimpin pelajar tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki dalam bangunan Parlimen.

“Sekarang pemimpin mahasiswa diberi keistimewaan untuk berdebat dalam bangunan Parlimen. Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya, tambahan pula pada hari terakhir persidang­an; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh akan menggulung dan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan ketika persidangan kali ini, perkara-perkara yang akan dibahaskan adalah mengenai idea-idea orang muda bagi memantapkan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Seramai 212 mahasiswa yang terdiri daripada pemimpin pelajar dan mereka yang menerajui persatuan di 20 Universiti Awam (UA) dan enam institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan menyuarakan pandang­an masing-masing,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Julai, semua pemimpin mahasiswa berkenaan akan menyertai bengkel dan simulasi persidangan di sebuah hotel di Su­ngai Besi, Kuala Lumpur.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai selok-belok perbahasan dan peraturan ketika sidang Dewan Rakyat yang berbeza dengan perdebatan biasa.

“Pihak kami akan mengumpulkan pandangan daripada 50 pemimpin mahasiswa dalam format digital yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju menghadiri majlis makan malam bersama mereka.

“Ini adalah pandangan dari bawah untuk dinilai pihak atasan mengenai apakah bentuk negara yang mahasiswa mahukan pada masa depan.

“Kita juga akan menerbitkannya dalam bentuk buku untuk diedarkan kepada semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Fatin Nurizzati Mohamad Fadzli, menyifatkan pengalamannya menyertai Parlimen Mahasiswa 2015 adalah sesuatu yang cukup bernilai.

“Ketika itu antara isu yang kami bangkitkan adalah mengenai kesukaran graduan membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana ada dalam kalangan mereka menganggur dalam tempoh lama.

“Terdapat banyak isu nasional lain yang kami bangkitkan termasuk langkah kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2014 dan cadangan-cadangan bagi menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Dengan adanya persidangan seperti ini, pihak atasan dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi mahasiswa.

“Pelbagai cadangan dikemukakan, ada yang bersetuju dan tidak bersetuju tetapi akhirnya kita dapat mencari penyelesaian secara rasional dan bukannya dengan melakukan demonstrasi,” ujarnya.

Turut sependapat dengan beliau ialah bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Amierul Sharafi Shaharizan yang menyertai Parlimen Mahasiswa 2016.

Beliau berkata, isu-isu yang dibincangkan ketika itu adalah mengenai semangat patriotisme dan toleransi kaum.

“Para mahasiswa dapat me­ngalami sendiri rutin wakil rakyat yang perlu tiba tepat pada masa mengikut jadual sesi sidang Dewan Rakyat.

“Saya dapati tugas ahli Parlimen memang cukup sibuk dan bukannya senang seperti disangka,” ujarnya.