Tapi arahan menjadikan dia sebagai calon diketepikan begitu sahaja seorang individu yang juga ‘orang kuat’ UMNO di negeri itu.

Keluh bekas pemimpin itu: ‘Dia boleh sabo (sabotaj) pulak. Kalaulah diletakkan calon yang saya minta itu, insya-Allah kita boleh bentuk kerajaan negeri (itu) sekarang, tapi... itulah perangainya.”

Tumpang teringat kisah yang dikongsi bekas pemimpin tadi setelah terbaca komen Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tentang enam Ahli Parlimen yang sudah keluar UMNO tapi berura-ura mahu buat pusingan U kembali kepada parti itu.

Komen Ku Li ‘menangkap’ sekali: “Tidak perlu lagi dipujuk untuk kembali ke pangkuan UMNO. Bukan semua orang boleh masuk ikut suka.”

Kejujuran ahli kepada partinya bagi Tumpang ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut dari serangan musuh.

Begitupun, anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh, tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.

Demikianlah UMNO. Jangan bagi ruang kepada musuh dalam selimut.

Tumpang ingin bertanya, benarkah ‘enam jahanam’ (label yang disebut sendiri oleh Dr. Abdul Latiff Ahmad dari Mersing) terbabit termasuklah Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Larut tidak diterima oleh pihak sebelah sana? Lantas nak balik semula ke rumah?

Tumpang senada dengan Ku Li. Tak payah fikir sangat depa ini. Bila suruh duduk, kamu lari. Lebih elok fikirkan nasib Rohingya yang sejak beberapa bulan lalu tidak lagi dalam kamus sedih rakyat Malaysia.

Walaupun Arakan wilayah didiami Rohingya wujud sebelum terbentuknya negara moden Myanmar kini, namun selepas tahun 1948 mereka tanpa diduga menjadi penduduk yang ‘tidak bernegara’ (stateless) pula.

Jangka hayat Bersatu

Tapi di utara tanah air lain pula ceritanya. Tumpang dikhabarkan walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail keluar UMNO dan menjadi Adun Bebas pada 12 November 2018, UMNO Jerai tidak lumpuh.

Meskipun Ketua Puteri Bahagian Sungai Petani, Mashitoh Mohamad Yusoff meletak jawatan pada 1 Julai tahun lalu selepas mendakwa keputusan pemilihan Ketua Bahagian UMNO Sungai Petani tidak telus, ahli-ahli Puteri bahagian itu tidak pula beramai-ramai masuk Bersatu atau PKR.

Kalau benar beginilah sikap dan corak keadaannya, adakah kecenderungan mengundi PH ini hanya bersifat sementara?

Khabar yang hinggap di telinga Tumpang, pengundi UMNO di Kedah khususnya masih setia kepada parti.

Adakah ini bermakna Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kurang menyengat?

Dikatakan merisaukan Bersatu adalah kalau watak-watak yang disegani di peringkat atas tidak ada dalam kamus politik Bersatu nanti - Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Dr. Rais Yatim (semoga dipelihara kesihatan mereka oleh-Nya) - siapa pula akan menggalas peranan ini?

Ya, selagi Tun menjadi Perdana Menteri, orang Melayu mungkin tidak terjejas. Tapi adakah Tun disenangi bila mana beliau menolak cadangan memperkenalkan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan sedangkan DAP berkehendakkannya?

Demikian jugalah bila Dr. Mahathir mengetepikan rancangan pihak-pihak dalam PH mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Diakui kemenangan PH tempoh hari adalah dek aura Dr. Mahathir. Walaupun memakai macam-macam gelaran gabungan - Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif - pembangkang waktu itu tak pernah berjaya menumbangkan BN.

Sedikit saranan, elok Bersatu memperhebatkan roh perjuangannya untuk membela orang Melayu-Islam.

Kalau tidak, adakah barangkali Bersatu akan senasib Berjasa dan Parti Melayu Semangat 46 yang survivalnya singkat?