Dahulu Sulawesi adalah pusat perdagangan yang besar di kepulauan Nusantara. Kini, populasi­nya mencapai empat juta yang mendiami hampir seluruh kawa­san Sulawesi Selatan. Majoriti me­reka beragama Islam. Kaum Bugis bersusuk tubuh yang tidak terlalu tinggi, namun mereka ter­kenal ber­semangat waja dan berani menghadapi cabaran.

Sejarah Bugis merakamkan bahawa mereka terkenal sebagai pelaut, pahlawan yang gagah berani dan pedagang yang berjaya.

Mereka memang terkenal da­lam bidang maritim dan perdaga­ngan dengan melintasi lautan dan benua ke pelbagai wilayah sehingga ke Australia dan Afrika. Bahan perdagangan utama mereka ialah rempah ratus dan kemenyan.

Kapal Dagang mereka dikenali sebagai ‘Kapal Bugis’ yang mempunyai tanda ‘rehal’ pada haluan sebagai pemecah angin. Mereka juga memiliki pasukan perahu-perahu penyerang dengan pelbagai alat senjata yang menggerunkan musuh. Inggeris dan Belanda mengakui bahawa kaum Bugis adalah pahlawan yang berani serta sangat pintar dengan teknik propaganda.

Di Sumatera, suku Bugis terdapat di wilayah Jambi di mana mereka mengembangkan seni dan budaya masyarakatnya yang khas dan unik. Jambi menjadi wilayah yang cukup strategik bagi mereka kerana berhadapan dengan Laut Cina Selatan dan Laut Pasifik.

Orang Bugis sangat berpegang kepada konsep Siri dan pesse yang bermaksud malu dan harga diri yang meletakkan maruah diri sebagai sesuatu yang mesti dipertahankan. Prinsip yang dipegang itu menjadikan mereka memiliki semangat kental dalam alam ma­ri­tim sehingga terungkap kata-kata, “sekali layar berkembang, pantang haluan kembali mengarah ke pantai.”

Prinsip itu juga menjadikan mereka pahlawan yang berani dalam medan peperangan, termasuk perkasa menentang penjajahan seperti yang dilakukan oleh Sheikh Yusof Makasar yang mempertahankan Tanah Bugis-Makasar dari penjajahan Belanda sehinggalah ulama yang terkenal itu diasingkan ke Selatan Afrika dan meninggal dunia di sana.

Pada tahun 1667-1777 Masihi (abad ke-7), Makasar jatuh ke tangan Belanda. Kesannya, berlaku migrasi suku bangsa Bugis secara besar-besaran ke pelbagai tempat dan wilayah termasuk ke Kalimantan, Sumatra, Jawa, Riau, Maluku, Papua dan Tanah Melayu serta wilayah Sabah dan Sarawak. Malah, mereka turut berhijrah ke Australia dan Afrika.

Mereka bercampur dengan suku bangsa lain di negeri-negeri terbabit, namun suku Bugis berjaya mengekalkan pengaruh kehidupan mereka, terutama dalam seni dan budaya.

Bugis mempunyai catatan sejarah yang panjang di Sumatera, Kepulauan Riau, Jambi, Sumatera Selatan sehingga ke Johor Malaysia. Sebenarnya migrasi orang Bugis ke beberapa kawasan di Tanah Melayu telah bermula pada abad ke-15 kesan daripada perubahan sosiopolitik, ekonomi dan agama. Mereka pernah terlibat dalam menentang penjajahan belanda di Melaka.

Salah seorang tokoh pahlawan Bugis iaitu Raja Haji, dianggap mati syahid di Teluk Ketapang berhampiran bandar Melaka pada 1784 kerana berjuang menentang Belanda yang menguasai Melaka ketika itu (A. Samad Ahmad, Kerajaan Johor-Riau, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985).

Keturunan Upu Tanderi Burong Daeng Rilaka putera Lamadusalad, Raja Bugis berkerajaan di Luwuk dan dianggap yang mula-mula sekali memeluk Islam telah memainkan peranan penting membuka penempatan di Johor, Kuala Selangor, Klang dan Melaka. Penempatan mereka itu bermula menjelang tahun 1680 dan sekali gus memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban Bugis di Tanah Melayu.

Peranan aktif Bugis di Tanah Melayu dimainkan oleh putera-putera Bugis berlima (dari keturunan Daeng Rilaka), iaitu Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Kemboja dan Daeng Merambun. Mereka campur tangan dalam pergolakan politik tempatan dengan memihak kepada sesuatu pihak dalam pertelingkahan. Dari keturunan Daeng Rilaka inilah telah dimahkotakan sebagai Sultan Johor dan Sultan Selangor.

Pada hemat penulis, untuk memahami lebih lanjut politik awal Bugis di Tanah Melayu adalah melalui buku Salasilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-rajanya dan Tuhfat Al-Nafis (Hadian Yang Berharga) yang dikarang oleh Raja Ali Haji dijadikan rujukan utama. Menurut sejarawan tanah air, Zainal Abdin Abdul Wahid, seseorang yang ingin mengetahui dan menulis dengan sempurna sejarah negeri-negeri Melayu, terutamanya Johor, Riau dan Se­langor wajar merujuk kepada Tuhfat al-Nafs.

Karya besar itu adalah karya pensejarahan Raja Ali Haji yang utama dan ditulis pada sekitar 1860-an (pertengahan kurun ke-19). Ia menerangkan aktiviti orang Bugis sejak kurun ke-17 sehinggalah pertengahan kurun ke-19.

Antara tokoh penting Bugis yang menyumbang dalam penghasilan karya besar dunia kesu­sasteraan Melayu ialah Raja Ali Haji. Tokoh Bugis itu ialah cucu kepada Raja Haji yang mati menentang kuasa Belanda di Melaka.

Selain Salasilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-rajanya dan Tuhfat Al- Nafis, beliau juga telah mengarang Gurindam Dua Belas (1847), Bustan al- Katibin (1851), Thamarat al-Muhammah (1857) dan beberapa karya lain. Karya-karya tersebut telah menjadi khazanah bernilai dalam bidang kesusasteraan klasik tanah air.

PENULIS ialah penganalisis sosio politik bebas yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang sejarah dan tamadun.