Peristiwa yang berlaku dalam masa singkat dan luar biasa itu adalah satu mukjizat yang besar Nabi Muhammad SAW kerana belum ada manusia yang melakukannya sebelum ini. Hal ini dirakamkan di dalam ayat pertama surah al-Isra’. Ini juga mengingatkan kita kepada bermulanya perintah solat fardu lima waktu sehari semalam. Istimewanya perintah solat adalah kerana Allah menjemput kekasihnya ke arasy untuk menerima secara terus kefarduannya, bukannya melalui perantaraan malaikat Jibril.

Umat Islam tahu kewajipan solat tetapi masih ramai yang masih leka dan dilalaikan oleh hal dunia. Berapa ramai yang boleh bangun tengah malam untuk menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris atau Piala Dunia selama 90 minit tetapi tidak mampu untuk solat tahajud? Walhal purata masa untuk kita solat hanyalah lima ke 10 minit. Terasa liat dan berat sungguh nak solat.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Ibadah solat pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali sehari semalam. Nabi SAW berulang kali mengadap ­Allah SWT memohon supaya diringankan. Lalu, Allah SWT memperkenankan permintaan baginda dengan mengurangkannya kepada lima kali sahaja. Bayangkan, jika Allah kekal dengan perintah untuk solat 50 waktu, maka kita wajib solat setiap 28 minit sehari semalam. Soalnya, adakah kita mampu? Untuk solat fardu lima waktu sekarang pun ramai yang gagal dan terbabas.

Apakah jawapan kita apabila berhadapan dengan Allah semasa ditimbang amalan kelak sedangkan kita maklum yang solat itu adalah perkara pertama yang akan dipertanggungjawabkan. Ia pula bukan seperti soalan dalam peperiksaan di dunia yang boleh kita duduki semula jika gagal kali pertama. Di akhirat kelak, jika gagal soalan pertama ini, nerakalah tempat kita.

Solat adalah batas pemisah antara orang mukmin dan kufur. Ia juga suatu ibadah yang dilakukan dengan menggerakkan seluruh jasmani dan rohani. Apabila setiap gerak badan dan bacaan yang kita lakukan dengan ikhlas, sempurna, khusyuk dan penuh kesedaran, maka semuanya itu akan mempengaruhi diri, jasmani, rohani dan pemikiran serta akhlak sehingga solat itu benar-benar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (rujuk al-Ankabut ayat 45)

Dalam dunia kini yang penuh dengan cabaran, kita tidak dapat bayangkan natijah jika umat Islam terus leka dan meninggalkan solat. Media Rabu lalu melaporkan kajian pengguna internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tahun lalu mendedahkan purata golongan belia negara ini menghabiskan selama empat jam sehari melayari media sosial. Sejak 2015 hingga Oktober 2016, SKMM menyekat 5,044 laman kerana pelbagai kesalahan.

Yang membimbangkan, 4,277 daripadanya melibatkan laman web lucah, jelik dan mengancam keselamatan manakala 767 lagi berkaitan judi, pelacuran dan cetak rompak. Pastinya, ini mengundang kekhuatiran ibu bapa yang mempunyai anak remaja. Mana mungkin ibu bapa mampu mengawasi pergerakan anak-anak 24 jam sehari lebih-le­bih lagi dalam dunia siber.

Sebab itu, amat penting mendidik anak-anak menunaikan solat sejak usia mereka tujuh tahun sebagaimana hadis nabi SAW. Berbekalkan ibadat solat, insya-Allah anak dan cucu kita tidak akan hanyut oleh pelbagai tarikan negatif baik dalam kehidupan bermasyarakat atau pun di alam maya.

Antara keajaiban yang diperlihatkan kepada nabi SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj adalah baginda Rasulullah melihat satu kaum memecahkan kepala mereka sendiri kemudian kepala mereka kembali seperti sebelumnya. Lalu Jibril berkata: “Itulah mereka yang kepala mereka sangat berat untuk menunaikan solat”.