Malangnya, tulisan jawi kini makin terpinggir dan seolah-olah tidak dipedulikan persis ‘hidup segan mati tak mahu’. Ia hanya ‘menghias’ nama-nama kedai, jalan atau jenama makanan. ‘Semangat’ jawi yang pernah menjadi warisan teragung perkembangan ilmu orang Melayu makin hilang. Ia kini boleh dikatakan hanya tinggal sejarah.

Sepatutnya, tidak ada alasan bagi orang Melayu tidak boleh menguasai tulisan jawi. Sebabnya, tahu jawi bermakna kita tahu mengaji. Tulisan jawi juga membantu kita membaca kitab-kitab lama seperti Risalah Tauhid, Matlaal Badrain, Munyatul Mushalli, ‘Minhajul ‘Abidin, al Mawaa’izh al Badii’ah dan Bahrul Madzi.

Oleh itu, usaha Ja­ba­tan Kemajuan Islam Ma­laysia (Ja­kim) di bawah kepemimpinan Ke­tua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim mengambil ta­nggungjawab me­nyelaras tugas memartabat tulisan jawi amat disokong. Sebagai permulaan, ditubuhkan Sekretariat Komuniti Jawi yang menghimpunkan wakil agensi-agensi jabatan agama Islam negeri, badan-badan berkaitan dan juga orang perseorangan yang cintakan jawi.

Sekretariat ini akan merangka dan merencana usaha-usaha mempelbagaikan promosi ser­ta program melibatkan jawi dalam skala mikro dan makro. Ia melibatkan usaha ‘menjawikan’ sijil-sijil nikah dan penyertaan kursus di bawah Jakim dan jabatan-jabatan agama negeri sehinggalah kepada minit mesyuarat Exco. Pendek kata, tulisan jawi bukan sekadar catatan nama jalan atau kedai. Ia ada rohnya sendiri dan ia juga adalah medium dakwah.

Dalam sisi lain, usaha ini memberi harapan kepada menerbitkan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan, satu-satunya akhbar tulisan jawi yang masih ada di dunia. Penerbitan akhbar jawi ini tamat pada 11 September 2017 berikutan berakhirnya tajaan pihak Johor Corporation (JCorp).

Walaupun pernah mengalami zaman sulit yang membawa kepada penggantian daripada akhbar harian kepada mingguan mulai 1 Mei 2006, Utusan Melayu Mingguan turut melakukan transformasi era digital. Ini bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam arus perdana akhbar.

Pada 7 September 2016, portal akhbar jawi dibangunkan hasil kerjasama dengan JCorp. Portal yang dikenali sebagai Portal Jawi Utusan Melayu itu boleh diakses secara percuma melalui www.utusanmelayu.com.my.

Dengan usaha dan transformasi yang dilakukan, diharap para pembaca tulisan jawi akan meningkat. Sekali gus memastikan tulisan jawi terus dapat dipertahan dan dimartabatkan di negara ini. Kalau dulu antara punca ‘matinya’ Utusan Melayu versi cetak disebabkan kekurangan pembaca, kini ia sudah boleh diakses menerusi Internet walau di mana juga kita berada.

Marilah sama-sama kita memastikan tulisan jawi di negara kita terus kekal dan diperkasakan. Malu kita dengan masyarakat Cina yang terus mempertahankan tulisan kaligrafi mereka sedangkan sebahagian daripada orang Islam langsung tak peduli tentang tulisan jawi.