Ada juga yang mewujudkan Kawasan Rukun Tetangga. Terima kasih kerana membantu meringankan tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika segalanya hendak dibebankan kepada PDRM, mereka memang tidak mampu. Anggota polis tidak memiliki kuasa adiwira untuk mengawal setiap musibah mendatang.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga pukul 10.30 pagi semalam, negara pada masa ini mempunyai penduduk seramai 32,063,463 orang dan ia terus meningkat. Berdasarkan laman web rasmi PDRM, organisasi itu kini mempunyai 113,336 orang pegawai dan anggota. Ini bermakna, nisbah seorang anggota polis bagi penduduk negara ini ialah 1: 283.

Jika penduduk negara ini tetap berkeras mahukan polis menjaga sepenuhnya keselamatan, bermakna kese­mua anggotanya terpaksa bekerja 24 jam sehari sepanjang tahun tanpa sebarang cuti. Itu pun masih tidak mampu meliputi nisbah tinggi berkenaan. Polis sama seperti orang lain - makan apabila lapar, tidur apabila mengantuk, mempunyai emosi dan perasaan.

Berbalik kepada persatuan penduduk, inisiatif memagar sekeliling kawasan perumahan amat baik, malah boleh dianggap sebagai tindakan terpuji. Penduduknya mampu tidur lena dengan aman pada waktu malam dan pada siang dapat fokus pada kerja.

Pada dasarnya tiada isu dalam perkara ini, tetapi apa yang berbangkit apabila terdapat segelintir persatuan penduduk turut mengenakan yuran keselamatan kepada pelawat ‘rutin’ yang hanya masuk beberapa minit sahaja dalam kawasan berpagar atau berpalang itu.

Rutin dimaksudkan ialah ibu bapa yang menghantar anak ke pusat asuhan atau tadika. Agak tidak adil untuk mereka terpaksa membayar penuh selepas menggunakan ‘perkhidmatan’ beberapa minit sahaja berbanding penduduk hakiki yang bermukim 24 jam selama 365 hari.

Dalam kes ibu bapa berkenaan, majoriti mereka terdiri daripada penduduk luar. Malah, sesetengah taman perumahan besar memiliki lebih daripada 10 buat pusat yang menyediakan perkhidmatan menjaga anak-anak itu.

Apabila mereka mempunyai premis atau lebih tepat bangunan, bermakna pengusaha pusat berkenaan ter­ikat kepada peraturan yang dipersetujui bersama dengan persatuan penduduk iaitu membayar yuran keselamatan bulanan.

Apa yang menjadi keluh-kesah segelintir ibu bapa ‘luar’ itu ialah terpaksa membayar kad akses dengan bayaran tertentu. Bukan semua mereka ini orang berada yang duitnya datang melayang selepas dipetik jari.

Antara alasan diberikan persatuan ialah keselamat­an ‘beberapa minit’ ibu bapa dan anak-anak mereka yang berada di pusat dalam taman itu semuanya di bawah tanggungan mereka. Alhamdulillah, ini amat baik tetapi adakah adil? Penduduk hakiki termasuk pengusaha taska bayar tetapi dapat perkhidmatan penuh, pelawat rutin bayar pada kadar sama tapi dapat naungan beberapa minit sahaja.

Difahamkan terdapat dua kategori pelawat iaitu berdaftar yang perlu membayar kad akses dan pelawat biasa yang perlu menulis nama pada buku daftar secara manual di pondok pengawal.

Kononnya keutamaan untuk membeli kad akses ialah bagi mengelakkan kesesakan luar biasa pada waktu keluar dan masuk, berbanding apabila mendaftar secara manual - berhenti, parking kereta, berjalan ke pondok pengawal - penyebab kesesakan.

Apa salahnya jika pengusaha atau persatuan mengeluarkan pelekat khas untuk ditampalkan pada cermin kenderaan ibu bapa sebagai bukti mereka menghantar anak masing-masing, bukannya sekadar suka-suka untuk masuk ke taman perumahan orang lain.

Anak penulis pernah bertanya apakah maksud peribahasa, ‘seperti Belanda minta tanah?’. Mungkinkah contoh di atas mempunyai kaitannya? Jika penulis salah tolong betulkan!.

habis