Selama ini kita menyangkakan berada di dalam bangunan adalah lebih selamat udaranya berbanding di luar, ternyata sangkaan tersebut meleset sama sekali.

Hakikatnya udara di dalam bangunan adalah lebih tercemar berbanding di luar, logiknya jika kita berada di luar bangunan udaranya sentiasa bergerak berbanding udara di dalam bangunan yang hanya berkitar di sekeliling sahaja.

Ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah sindrom bangunan sakit ini biarpun ia telah lama dibincangkan. Jelas Pakar Perunding Perubatan, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh, mengikut kajian dari Amerika Syarikat (AS), pencemaran dalam bangunan boleh mencapai lima kali ganda lebih tinggi berbanding di luar.

“Pelbagai aspek boleh mempengaruhi keadaan tersebut antaranya penggunaan mesin pencetak, cat bangunan, karpet serta perabot yang mana ke semua itu boleh menjadi sumber bahan kimia di udara seperti formaldehyde. Itu belum lagi faktor suhu, kelembapan yang boleh membiakkan kulat, bakteria dan pelbagai virus.

“Dalam tidak sedar kita sebenarnya menyedut udara yang kotor sepanjang masa apatah lagi jika kita bekerja dalam jangka masa yang panjang di dalam pejabat,” katanya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, penggunaan pendingin hawa juga tidak membantu membersihkan udara di dalam pejabat kerana ia hanya menyejukkan udara dan menapis habuk dari menghalang alat tersebut menjadi kotor dan kurang berfungsi.

Bahkan kualiti udara dalam bangunan juga bergantung pada aktiviti di dalamnya sama ada bangunan pejabat, komersial, makmal, hospital atau hotel.

“Bagi zarah-zarah debu yang lebih halus seperti PM 2.5, bakteria dan virus masih bebas terampai dalam udara dalam bangunan,” katanya.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Sumber Manusia, kualiti udara dalaman tidak baik menyumbang kepada ketidakselesaan, kesan kepada kesihatan, ketidakhadiran kerja dan produktiviti rendah.

Antara kesan kesihatan yang disebabkan oleh kualiti udara dalaman yang tidak baik adalah penyakit Legionnaires, kanser akibat pendedahan radon dan keracunan karbon monoksida.

Legionnaires merupakan satu bentuk pneumonia berbakteria yang mengakibatkan demam, seram sejuk dan batuk kering yang dikaitkan dengan sakit otot dan kadang-kadang diarea.

Penyakit Legionnaires mendapat namanya semasa pengunjung menghadiri konvensyen Legion Amerika di Philadelphia pada Julai 1976 dan diserang penyakit tersebut.

Bakteria yang menyebabkan penyakit Legionnaires, legionella pneumophila, akan membiak di dalam mana-mana takungan persekitaran yang keperluan nutrien, air dan suhunya dipenuhi seterusnya tersebar ke udara apabila tempat tersebut diganggu.

Menara pendinginan air dan sistem air panas di dalam bangunan dikenal pasti sebagai kawasan utama organisma tersebut membiak.

Tanpa rawatan ke atas air atau penyenggaraan sistem yang tidak mencukupi, legionella boleh membiak lebih pantas dan tersebar ke seluruh bangunan melalui sistem pengudaraan.

Kesedaran mengenai pencemaran udara dalaman adalah kurang jika dibandingkan dengan pencemaran udara luaran.

Walau bagaimanapun, isu kualiti udara dalaman telah mendapat perhatian masyarakat umum.

Ini apabila bahan cemar udara yang baru dijumpai, jenis rekaan bangunan moden yang memisahkan persekitaran dalaman dan luaran, dan juga peningkatan kes sindrom bangunan sakit.