Simposium itu membentangkan pelbagai hasil kajian oleh pengkarya yang menyertai Pameran Kuala Lumpur Biennale 2017 yang bermula pada 1 November 2017 sehingga 31 Mac 2018 dengan membawa tema Alami Belas.

Menurut Kurator Balai Seni Negara, Intan Rafiza Abu Bakar, simposium itu merupakan salah satu acara sempena pameran yang membentangkan perbincangan serta perkongsian pengalaman mengenai proses berkarya bagi barisan panel yang telah menyertai pameran itu.

Selain meneliti dan berkongsi bersama pembentang yang terdiri daripada pengkarya, simposium dua hari yang berlangsung pada 24 dan 25 Februari lalu juga menampilkan golongan sarjana dan penggiat dari luar industri seni yang mengutarakan perspektif mereka dari sudut kemanusiaan, sosial, politik dan ekonomi.

“Impak dari setiap perkara yang dirungkaikan melalui Pameran Kuala Lumpur Biennale 2017 dikupas dalam pandangan yang lebih umum dan meluas pada simposium ini. Pembentang antarabangsa turut terlibat dan kali ini, mereka membincangkan perspektif mengenai tema KL Biennale,” katanya kepada S2.

Simposium yang dirasmikan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dewa itu menampilkan 18 pembentang kertas kerja mengenai pameran Kuala Lumpur Biennale.

Katanya, penganjuran simposium itu juga mampu mewujudkan kesefahaman yang mendalam mengenai tema ekologikal berhubung alam semula jadi, haiwan, kemanusiaan, warisan dan kerohanian yang menjadi intipati tema Belas yang dibawakan pada KL Biennale.

“Pameran tersebut adalah pameran berskala besar festival seni visual di Malaysia. Biennale pula adalah acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di seluruh dunia bagi meraikan seni,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, pameran itu menampilkan 114 pelukis, merangkumi pengkarya tempatan dan pelukis tanah air yang menetap di luar negara, selain pelukis antarabangsa.