Ketika ini dunia Arab berdepan dengan isu Syria, Iraq, Qatar-GCC, Saudi-Lebanon, Saudi-Yemen serta kemelut politik di Mesir yang nampaknya tidak berkesudahan dan kebanyakan pemimpin Arab yang berdepan dengan krisis itu bergantung kepada AS bagi mendapatkan bantuan selain perlindungannya.

Kebergantungan mereka kepada AS ini telah meletakkan pemimpin-pemimpin ini berada pada kedudukan yang cukup lemah untuk membantah tindakan Trump. Hanya pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan yang begitu berani menentang tindakan Presiden AS tersebut.

Malah Turki mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai mediator peace process bagi Palestin-Israel. Erdogan menegaskan bahawa Baitulmuqaddis adalah red-line bagi umat Islam. Ketegasan Erdogan itu dilihat mampu menekan AS.

Namun, suara tegas Turki sahaja tidak memadai sekiranya negara-negara Islam lain tidak bersungguh-sungguh memberi sokongan padu kepada negara berkenaan. Hakikatnya, usaha untuk merampas Baitulmuqaddis telah dirancang oleh Zionis Israel sejak pemimpinnya, Theodor Herzl mengadakan persidangan pertama di Basel, Switzerland pada 1897.

Setelah termeterai perjanjian rahsia British dan Perancis dikenali sebagai Sykes-Picot 1916 serta kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah (1924), pihak Barat berjaya memecahkan dunia Islam kepada negara-negara kecil termasuk bumi Palestin diserahkan kepada penjajah British. Ini membuka ruang yang luas kepada Yahudi untuk menduduki bumi ini.

Perjanjian Balfour (Deklarasi Balfour) 1917 pula menjadi satu pernyataan terbuka British mengumumkan dukungannya untuk mewujudkan ‘tanah air nasional’ bagi bangsa Yahudi di Palestin.

Ketika pentadbiran British, bangsa Yahudi telah diberikan kedudukan penting dalam pentadbiran Palestin sebagai persediaan untuk merampas bumi Palestin. Pada 14 Mei 1948, Zionis Israel telah mengisytiharkan negara haram Israel dan dibuat dengan kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Negara haram Israel itu dilindungi AS serta dua sekutu lain, Britain serta Perancis dan sejak itulah rakyat Palestin berjuang dan terus berjuang untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman Zionis Israel.

Walaupun tanah air mereka semakin mengecil dirampas Israel, namun perjuangan rakyat Palestin tetap diteruskan selagi rejim Zionis itu menguasai bumi Palestin. Kini, hasrat Israel tercapai apabila Trump mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel yang baharu.

Sememangnya AS sudah lama merancang untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis dari Tel Aviv sekiranya ibu kota suci itu menjadi ibu negara Israel. Kongres AS sendiri telah meluluskan pelaksanaannya di bawah Akta Kedutaan Jerusalem 1995.

Maknanya, sebelum Trump menjadi presiden telah wujud rancangan untuk memindahkan ibu negara Israel itu. Kini, Trump telah merealisasikannya. Selama ini pun Israel amat mengharapkan legitimasi dari AS untuk memindahkan ibu negaranya itu.

Kesimpulannya, pengisytiharan Trump menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel menyingkap betapa hipokritnya sikap AS terhadap dunia Islam. Segala perjanjian berkaitan usaha damai Israel-Palestin selama ini hanyalah tipu daya semata-mata.

Sikap bermuka-muka AS dalam mencari penyelesaian konflik Israel-Palestin serta kuasa veto yang sering digunakannya untuk membatalkan resolusi PBB yang dianggap menekan Israel sangat mengecewakan rakyat Palestin.

Terkini, langkah dibuat Presiden AS dari Parti Republikan itu juga telah memusnahkan impian untuk mewujudkan negara Palestin merdeka di bawah proses damai Israel-Palestin yang diterajui Washington sebelum ini. Sikap AS itu menjadi bukti negara itu benar-benar melindungi negara haram Israel.

PBB juga tidak boleh diharapkan dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin kerana badan dunia itu tidak pernah bertegas dengan tindakan zalim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin walaupun pelbagai resolusi telah dikeluarkan.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Baru, Kuala Lumpur