Pakatan Harapan kini menerajui sebuah Kerajaan Persekutuan, bukan lagi pihak pembangkang. Barisan Nasional (BN) pula akur dengan kemahuan rakyat yang mahukan perubahan dan mencari kebenaran yang dilaungkan Pakatan Harapan semasa kempen PRU-14.

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dianggap sebagai isu terbesar menjadi punca rakyat beralih angin kepada Pakatan Harapan. Segalanya perlu pencerahan namun masa adalah ramuan utama untuk segala ‘misteri’ dirungkai.

Namun kita mampu merancang, tuhan yang menentukan. Belum sempat sidang Dewan Undangan Negeri Selangor dan Dewan Parlimen berlangsung, rakyat Selangor dikejutkan de­ngan berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

Yang pergi, doakan kedamaian rohnya. Tinggal kita ‘di sini’ untuk meneruskan agenda kehidupan yang penuh drama dan ritma politik.

Bagi pihak yang pernah bertanding pada PRU-14 di Su­ngai Kandis mungkin sudah maklum apakah ramuan kemenangan yang perlu ditambah di dalam rencah kempen.

Namun semua berpulang maklum kepada pihak yang berselera untuk menjadi ADUN untuk memilih sekali lagi berjuang atau berdepan dengan kempen besar-besaran pihak yang ingin mempertahankan kerusi parti mereka.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Su­ngai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Realiti di kawasan DUN Sungai Kandis yang saban hari menjadi laluan penulis pergi balik dari rumah ke tempat kerja masih menuntut perubahan dari sudut infrastruktur terutama jalan raya. Sejak 10 tahun lalu masalah jalan rosak di kawasan DUN Sungai Kandis bukan suatu rahsia malahan penduduk sudah lali.

Projek perumahan memang rancak di DUN tersebut tetapi pembangunan yang tidak selari seperti kemudahan sekolah menyebabkan sekolah menjadi terlalu ramai murid.

Perkara ini yang perlu diteliti oleh bakal ADUN kawasan tersebut sebelum mula mencanang janji yang sehingga kini sesete­ngahnya masih tinggal janji.

Kesempatan pada PRK DUN Sungai Kandis ini, ia adalah peluang untuk saf kepimpinan baharu dipilih UMNO Malaysia dan Bahagian Kota Raja untuk membuktikan UMNO khususnya masih re­levan di mata rakyat.

Prinsip selagi hidup selagi berjuang perlu diterapkan oleh ke­pimpinan UMNO di bawah Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sungai Kandis adalah wadah untuk mengembalikan keyakinan rakyat bahawa UMNO masih mampu berjuang bagi membuktikan PH tidak berhasil menunaikan manifesto mereka sepenuh­nya pasca PRU-14.

Pihak BN mahupun PH sudah pasti akan menggunapakai ‘peluru’ kempen mereka yang hebat untuk bersaing antara satu sama lain. Soal Pas mahupun calon Bebas hendak turut bertanding terpulang kepada mereka. Kerana negara ini negara demokrasi, siapa pun bebas menjadi calon waima pemimpin NGO dan individu.

Apa yang perlu diingat oleh setiap pihak yang berminat untuk bertanding bahawa isu-isu yang akan dimainkan oleh pihak terlibat dengan PRU-14 sudah pasti berubah sama sekali.

Pengundi DUN Sungai Kandis sudah pasti ada ‘mesej khas’ untuk diberi kepada pemimpin Pakatan Harapan sebagai tanda mereka setuju atau tidak de­ngan segala perlaksanaan janji manifesto seperti penghapusan tol dan janji harga barang turun tanpa GST yang digambarkan sebagai cukai menindas kehidupan mereka oleh kerajaan BN.

Justeru pada mana-mana pihak yang menganggap pengundi akan terus menyokong Pakatan Harapan dengan senario baharu hari ini maka sebaik-baiknya perjuangan untuk kempen PRK DUN Sungai Kandis dibuat dengan tahap siap-siaga yang tinggi.

Sebaik-baiknya BN perlu terus meletakkan calon yang difikirkan sesuai dan berkempen habis-habisan dengan menggunakan segenap kekuatan jentera parti dan sayap baharu UMNO Malaysia yang dibarisi pe­mimpin muda dan berkarisma. Ayuh! Jadikan DUN Sungai Kandis pencetus kebangkitan BN khususnya UMNO sebagai parti keramat orang Melayu.