Pada masa sama ‘serangan’ ke atas Pas dilakukan secara bertalu-talu. Pas ‘diserang’ kiri dan kanan dengan pelbagai tuduhan. Walaupun bukan Pas yang bertanding tetapi parti itu menjadi sasaran kerana apa?

Kerana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengetahui dengan sokongan Pas, BN pasti boleh mencapai kemenangan.

Malah 24 jam sebelum pengundian berlangsung, penulis diberitahu oleh satu sumber bahawa gerakan sedang dilakukan habis-habisan untuk memecah belahkan kerjasama UMNO dan Pas, jika serangan itu berjaya, BN tidak akan mampu merampas Semenyih.

“Kerjasama atau gabungan UMNO, Pas ini benar-benar menakutkan PH, kalau ia berjaya dihalang PH akan menang, kalau tidak berjaya, BN akan menang,’’ kata sumber itu.

Ternyata yang akan menentukan sama ada sesebuah parti itu akan hancur atau tidak, kerjasama antara dua parti akan berjaya atau tidak, bukanlah ditentukan dengan kenyataan angkuh mana-mana pihak atau melalui serangan gelombang fitnah bertali arus, tetapi rakyat yang menentukannya.

Di tangan mereka ada kuasa sama ada untuk memberikan kemenangan atau tidak kepada mana-mana parti.

Oleh itu tidak perlulah terlalu mendabik dada menganggap PH adalah pilihan utama rakyat. Dua pilihan raya kecil sudah menjadi bukti bahawa PH semakin ditolak oleh rakyat. Justeru siapakah yang akan hancur dahulu?

Adalah pelik apabila ada penyokong PH berhujah BN menang kerana undi Pas. Kalaulah betul apa masalahnya? Bukankah kedua-dua parti itu sememangnya bekerjasama?

Apakah kesemua parti-parti dalam PH menang tanpa dibantu oleh undi penyokong-penyokong parti lain? Apakah Bersatu menang melalui seratus peratus daripada undi penyokongnya?

Mesyuarat cawangan dan bahagian pun kelam kabut bagaimana mahu ada beribu-ribu pengundi sendiri? Justeru terimalah hakikat rakyat sudah membuat keputusan.  

PH perlu memahami ada sesuatu yang perlu mereka lakukan kalau tidak mahu PH hancur terlebih dahulu berbanding kerjasama UMNO dan Pas. Tidak usahlah memberi tumpuan bagaimana mahu memburuk-burukkan kerjasama tersebut dengan melancarkan gelombang fitnah dan tohmahan ke atas pemimpin-pemimpin kedua-dua parti berkenaan.

Sebaliknya berilah tumpuan memperkukuhkan kedudukan parti masing-masing dengan cara yang tulen, bukannya membuat seruan tidak bermoral menggesa wakil-wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu.

Biar apapun alasannya ‘melompat parti’ adalah perbuatan tidak bermoral dari segi prinsip politik. Kalaulah merasakan parti kita hebat sangat dan parti lain sedang menuju kehancuran kenapa perlu mengambil wakil rakyat lain?

Dan ada pula cerita langkah mahu mengambil wakil rakyat parti lain ke dalam PH ada kaitan dengan ‘perebutan dan pertembungan kuasa’ yang bakal tercetus antara pemimpin-pemimpin utama dalam pakatan itu?

Puncanya kerana kalaulah manifesto kepada jutaan rakyat pun boleh dimungkiri apatah lagi ‘janji’ antara beberapa kerat pemimpin sahaja? Penulis tidak berhasrat mengulas panjang perkara itu kerana belum masanya lagi.

Apa yang pasti DUN Semenyih sekali lagi membuktikan populariti kerajaan semakin merundum.

Kegagalan menangani pelbagai masalah rakyat sebaliknya lebih banyak berpolitik termasuk meneruskan serangan ke atas UMNO dan Pas ternyata memakan diri.

Oleh itu jika pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak berhati-hati, merekalah yang akan hancur dahulu bukannya BN, UMNO mahupun Pas. Percayalah serangan ke atas UMNO dan Pas tidak akan memberi apa-apa kesan kepada kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Fahamilah majoriti orang Melayu kini menyokong kerjasama tersebut sama ada secara terbuka atau senyap.

Ia kerana mereka melihat parti-parti dalam PH tidak boleh diharap untuk mempertahankan kedudukan Melayu dan agama Islam. Itulah persepsi orang Melayu.

Jika pemimpin-pemimpin PH khususnya Bersatu merasakan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut buktikanlah. Takkanlah nak tunggu dapat dua pertiga ahli Parlimen termasuk daripada melompat parti, baru nak bertindak?

Penulis percaya UMNO dan Pas tidak akan keberatan memberi apa juga sokongan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam tetapi persoalannya beranikah pemimpin-pemimpin Melayu dalam Bersatu, PKR atau Amanah mengetengahkan agenda demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam?

Setakat ini orang Melayu tidak melihat keberanian tersebut. Apa yang mereka saksikan ialah usaha mahu menghalang kerjasama UMNO-Pas, malangnya ia bukan dilakukan oleh DAP tetapi oleh parti-parti Melayu dalam PH.

Sebab itulah yang akan hancur dulu bukan UMNO, BN mahupun Pas tetapi parti yang sanggup bersekongkol dengan parti lain sehingga melemahkan kuasa politik Melayu.

Parti seumpama ini tidak bertahan lama kerana ia ditubuhkan bukan demi perjuangan bangsa dan agama tetapi sekadar untuk merampas kuasa, walaupun kesudahannya yang lebih berkuasa bukannya mereka. Jadi siapa yang akan hancur dulu, kita sudah boleh menekanya!