PRK DUN Semenyih agak berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands tempoh hari kerana Cameron Highlands adalah kubu kuat dan kerusi tradisi BN sejak sekian lama. Justeru, kemenangan BN yang turut dibantu oleh Pas tidaklah begitu mengejutkan walaupun bukan dalam kedudukan sebagai parti pemerintah. Sebaliknya Semenyih menjadi medan menguji kekuatan dan populariti sebenar, apakah parti pemerintah mampu terus mempertahankan kerusi ini atau sebaliknya?

Walaupun PRK ini menyaksikan saingan empat penjuru tetapi tanpa mengecilkan kemampuan mana-mana pihak, kita perlu menerima hakikat betapa saingan sebenar masih tertumpu antara BN dengan PH. Ringkasnya, selepas Cameron Highlands, Semenyih bakal menjadi medan pertempuran penting untuk menguji kekuatan dan populariti masing-masing. Walaupun kerusi DUN Semenyih ini tidak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri yang masih dikuasai kukuh oleh PH, namun keputusan di Semenyih dilihat cukup penting dan signifikan, baik kepada PH mahupun BN.

PH mahu melihat apakah rakyat terutamanya pengundi di Semenyih masih percaya dan yakin dengan kepemimpinan kerajaan negeri dan juga Pusat. Untuk rekod, kerajaan negeri juga diketuai oleh Menteri Besar baharu, bakal menjadi ujian sulung kepadanya. Setelah hampir sembilan bulan membentuk kerajaan, PH sepatutnya mengambil peluang ini untuk menilai sejauh mana masyarakat menerima corak pemerintahan mereka. Hal ini penting kerana kita percaya tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk Kerajaan Persekutuan buat pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir. Ini adalah masa untuk PH bekerja keras membina semula rakyat dan negara. Kita perlu terima kenyataan betapa PRU-14 menyebabkan rakyat berpecah belah mengikut ideologi politik masing-masing dengan lebih ketara, ini ditambah pula dengan pelbagai isu kontroversi dan sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan perasaan orang Melayu dan umat Islam. Provokasi demi provokasi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan. Malah keadaan ekonomi global dan negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan.

Manakala bagi BN pula sudah semestinya akan berusaha keras untuk merampas kembali kerusi ini yang sebenarnya merupakan kerusi tradisi UMNO sejak sekian lama sebelum PRU-14. BN tidak boleh leka dengan kemenangan di Cameron Highlands dan terlalu yakin akan menang lagi, sebaliknya perlu terus bangkit membuktikan kepada rakyat bahawa BN sudah menginsafi kekalahan di PRU-14 dan sudah bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk meraih kembali kepercayaan dan sokongan rakyat.

PENGUNDI BIJAK, MATANG

Penulis percaya pengundi di Semenyih cukup bijak dan matang untuk menilai dan memilih calon mereka. Pelbagai peristiwa yang telah berlaku dalam pasca PRU-14 menyediakan ruang cukup kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada kekal dengan keputusan lama atau berubah. Apapun keputusan pengundi ini akan tertakluk kepada kebijaksanaan semua calon yang bertanding dalam meyakinkan mereka. Situasi dan analisis semasa menunjukkan hampir semua calon mempunyai peluang seimbang, jadi calon dan jentera masing-masing perlu bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi muda dan atas pagar.

Untuk itu calon perlu fokus kepada kempen yang berhemah dan meyakinkan pengundi. Jika mahu menambat hati pengundi, elak kempen yang agresif, provokasi, menyentuh isu sensitiviti serta elak budaya fitnah dan menyerang peribadi calon. Ringkasnya, berkempenlah secara matang dan profesional tanpa dipengaruhi emosi dan nafsu. Percayalah, pengundi semakin bosan dengan budaya politik yang negatif seperti itu terutamanya politik perkauman. Budaya gengsterisme dan provokasi melampau bukan sahaja akan menghancurkan imej parti dan calon tetapi turut menaikkan rasa marah pengundi. Jadi, jentera masing-masing perlu memahami sentimen dan kehendak orang Semenyih jika tidak mahu calon mereka berputih mata kelak.

Calon yang bertanding juga perlu fokus kepada isu setempat. Calon dan jentera perlu sedar betapa PRK akan banyak memberi fokus kepada isu setempat berbanding PRU yang banyak dipengaruhi oleh isu nasional. Antara isu utama yang mula kedengaran di Semenyih ialah proses pembangunan yang dikatakan tidak seimbang serta isu kesesakan jalan raya di samping pelbagai isu tempatan yang lazim. Jadi jentera dan calon yang bertanding ini perlu bijak mengkaji kehendak dan keperluan masyarakat setempat sekali gus menterjemahkan sebagai janji manifesto mereka yang akan ditunaikan jika menang kelak. Dalam aspek ini, calon PH sepatutnya mempunyai kelebihan kerana mewakili parti memerintah baik di peringkat negeri mahupun Pusat di mana tugas untuk menunaikan kehendak dan keperluan rakyat akan lebih mudah berbanding calon pembangkang. Namun hakikatnya tiket parti pemerintah tidak menjanjikan laluan mudah, sebaliknya calon lain terutamanya BN boleh menjadi saluran dan suara alternatif kepada pengundi.

MISTERI

Jadi pilihan pengundi Semenyih masih kekal misteri dan tidak menampakkan kelebihan yang ketara kepada mana-mana parti mahupun calon bertanding. Bagi penulis, secara jujur PRK ini menjanjikan pertembungan buku dengan ruas yang cukup menarik di mana peluang BN dan PH tetap seimbang atau 50-50. Parti dan calon yang mampu memenangi hati para pengundi dengan manifesto dan perancangan yang dapat menyelesaikan masalah mereka pasti menjadi pilihan utama pengundi.

Justeru, semua calon bertanding wajar menggunakan tempoh kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menerangkan perancangan masing-masing. Kita juga berharap agar tidak lagi berlaku sebarang aktiviti tidak bermoral seperti rasuah dan sogokan. Bertandinglah secara gentleman, kalah menang adalah adat pertandingan dan biar pengundi membuat pilihan tanpa sebarang paksaan dan terimalah apa jua keputusannya kelak dengan hati terbuka.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).