Bagaimanapun apa yang berlaku kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dua hari lalu berbeza. Beliau tersentuh dan terus menangis teresak-esak selepas membaca sepucuk surat yang ditulis oleh Ibas Hamud seorang pesawah tua dari Parit 10, Sungai Besar, Selangor. Ibas mewakili seluruh petani, pesawah, nelayan dan peneroka meluahkan penderitaan dan kesusahan hidup setelah kerajaan bertindak memotong baja subsidi dan elaun sara hidup golongan tersebut. Menariknya, ketika Salahuddin membacakan surat tersebut, Ibas berada di sebelah. Walaupun pada awal sesi membaca surat sempena Majlis Pelancaran Hala Tuju kementerian tersebut hanya satu gimik, kandungan surat itu ternyata memberi kesan emosi kepada Salahuddin sehingga menyebabkan beliau menangis. Orang ramai yang hadir pada majlis tersebut turut sebak dan sama-sama menangis. Salahuddin ada sebab untuk turut merasa terkesan dengan isi kandungan surat itu kerana beliau juga berasal daripada latar belakang kehidupan yang lebih kurang serupa dengan pesawah tua dari Sungai Besar itu.

Tidak pernah lagi berlaku rasanya sejak kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan negara, ada seorang anggota Kabinet menangis tanpa berselindung ketika menyelami rintihan golongan rakyat marhaen yang berhadapan dengan cabaran hidup semakin mendesak dan menghimpit ini. Yang banyak berlaku ialah ahli politik khususnya menteri-menteri Kabinet berterusan dengan politik hentam -menghentam, kutuk-mengutuk, saling memperlekeh dan saling menyalahi sampai ke saat ini. Ada juga sebahagian daripada mereka begitu ghairah dan seronok memperkenalkan polisi dan pendekatan baharu yang nampak seperti ‘hebat’ tetapi hakikatnya menyusahkan kehidupan rakyat!

Rakyat merintih

Sebagaimana esakan tangisan Salahuddin pada majlis tersebut, golongan bawahan berpendapatan rendah sebenarnya telah lama menangis. Bagaimanapun ramai yang tidak tahu mereka menangis dalam diam. Esakan dan rintihan mereka tidak ada siapapun yang tahu kerana tidak kedengaran dan tidak di hadapan ramai. Golongan ini menanggung sendiri penderitaan kerana kalaupun mereka menangis secara terbuka waima meraung sekalipun, siapa yang mahu mendengar? Masih adakah ahli politik yang mahu sama-sama menangis, mendengar rintihan golongan miskin dan berpendapatan rendah seperti pesawah, petani, peneroka, nelayan, pemandu teksi dan kereta sewa, penarik beca, penjaja kecil, penjual sayur dan pengawal keselamatan?

Mereka terpaksa berterus terang kerana sudah tidak tahan lagi dengan kos sara hidup yang semakin mencengkam dan menghimpit dari sehari ke sehari. Bukan mereka sahaja, semua rakyat di pelbagai peringkat lapisan masyarakat. Orang kaya dan berkemampuan pun bercakap, tetapi kesan besar sudah tentu terkena kepada rakyat miskin dan orang susah. Bayangkanlah kalau pendapatan seharian, hanya lepas untuk membeli beras dan ikan sahaja.

Bagaimana pula dengan persediaan persekolahan baju, kasut, buku dan alat tulis anak-anak terutama pada awal tahun? Ada yang merintih terpaksa mencatu belanja persekolahan anak-anak dek kerana kesempitan hidup. Lebih teruk ada menjadikan bangsal tempat tinggal kerana tidak mampu menyewa bilik jauh sekali rumah.

Dengan harga barang dan perkhidmatan yang tidak nampak sinar akan turun dan kembali pulih sebagaimana dijanjikan sewaktu kempen pilihan raya yang lalu, kumpulan ini ada hak untuk merasa kecewa dan marah. Tindakan kerajaan memotong atau mengurangkan bantuan elaun sara hidup atau subsidi pertanian yang biasa diterima selain mengetatkan lagi syarat-syarat untuk satu-satu bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) menambahkan lagi tekanan hidup. Sehingga ke hari ini tidak nampak lagi isu peningkatan kos hidup rakyat dapat diselesaikan.

Apa yang mereka mahu ialah kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu kos sara hidup kerana isu ini sangat dekat dengan kehidupan seharian rakyat. Golongan ini tidak berminat untuk mendengar isu-isu kehakiman negara, sukan Formula Satu atau isu kutipan dana bagi penajaan projek pelari solo negara, isu dana penajaan lawatan pasukan keselamatan ke luar negara atau isu cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri seterusnya. Itu semua tidak penting dan tidak memberi faedah, kesan serta apa-apa perubahan pun kepada kehidupan mereka. Rakyat berpendapatan rendah cuma prihatin dengan kenaikan harga barang keperluan seharian, harga minyak, tol, isu perumahan mampu milik yang sangat dekat dengan mereka.

Tidak berubah

Rakyat berhak membuat perbandingan dengan kerajaan sebelum ini kerana tidak banyak perubahan yang dirasakan sejak berlaku peralihan tampuk pemerintahan. Sebagai contoh, harga barang masih lagi naik dan terus naik, tol tak turun-turun, rumah mampu milik hanya tinggal angan-angan. Tidak ada beza langsung malah tidak keterlaluan ada yang mendakwa lebih teruk. Bukan tidak ada yang sudah dilaksanakan kerajaan pada masa ini tetapi masih belum cukup, agak perlahan, tidak menampakkan hasilnya dan tidak berupaya untuk meyakinkan rakyat. Pada hari ini rakyat lebih merasai beban kehidupan berbanding faedah daripada apa yang kerajaan dakwa sudah dilakukan.

Isu berkaitan kehidupan seharian rakyat bukan isu kecil, tidak penting dan boleh ditangguh-tangguh. Dalam keadaan ekonomi yang menghimpit dan terus menghimpit kehidupan, rakyat kebanyakan sudah banyak bersabar dan mereka masih lagi bersabar, tetapi sampai bila?


Sebagaimana esakan tangisan Salahuddin pada majlis tersebut, golongan ba­wa­han berpen­dapatan rendah sebenarnya telah lama menangis. Bagaimanapun ramai yang tidak tahu mereka menangis dalam diam.