Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 9 Februari lalu mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat setelah mesyuarat antara kementeriannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dan sekali gus menenggelamkan cakap-cakap bahawa IGP, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bakal menamatkan kontrak perkhidmatan masing-masing Mei ini.

Setakat ini desas-desus yang berlegar dimaklumkan oleh sumber ke telinga Tumpang menyenaraikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah untuk mengisi jawatan nombor satu polis itu.

Tidak ketinggalan dalam saingan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Seri Rosli Ab. Rahman dan Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Mazli Mazlan.

SPECIAL BRANCH (SB)

Dengan teras Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah Bahagian Siasatan Jenayah (CID), adakah individu yang bakal mengisi posisi itu masih berlatarbelakangkan CID dan Cawangan Khas atau Special Branch (SB)?

Jika begitu, mungkinkah dua calon terlatih dalam SB iaitu Abdul Hamid dan Zamri boleh dianggap favourite untuk mengisi jawatan IGP?

Abdul Hamid begitu dikenali sebagai anggota polis paling lantang dan keras menentang apa yang heboh dikatakan sebagai penyelewengan 1MDB dan isu ‘dana RM2.6 bilion’. Semasa krisis isu itu memuncak empat tahun lepas, beliau yang waktu itu Timbalan Pengarah SB ‘dipencenkan awal’ apabila dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2015 - ditugaskan untuk memantau isu keselamatan dan transnasional.

Abdul Hamid yang berkhidmat dengan pasukan polis selama 37 tahun pada masa itu mendakwa kerajaan memindahkannya kerana siasatan berkaitan 1MDB.

Pemindahannya berlaku sebulan selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail disingkirkan. Abdul Gani sebelum itu mendedahkan beliau merancang untuk mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan salah laku jenayah.

“Teras kepada politik adalah daripada SB. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas atau SB ini mesti mendapat persetujuan pucuk pimpinan kerajaan, jawatan-jawatan lain tidak perlu. Ini sehinggakan sudah jadi amalan sejak dahulu Pengarah Cawangan Khas melapor terus kepada pucuk pimpinan ...tidak terikat sangat kepada Menteri Dalam Negeri atau IGP sendiri,” kata sumber itu lagi.

SENIORITI

Zamri pula seperti mana Abdul Hamid pernah menjadi Timbalan Pengarah SB. Jika diambil kira dari segi senioriti (kekananan), pengalamannya dalam SB dan operasi polis, Zamri kelihatannya orang paling sesuai. Beliau pernah menjadi Ketua Polis Kedah dan mengetuai beberapa jabatan dalam PDRM.

Pendedahannya dalam operasi polis lebih luas berbanding Abdul Hamid yang sejak memasuki bidang kepolisan, tidak pernah keluar dari ‘kepompong’ SB. Kelompok mantan IGP menyatakan antara sebab Zamri ditukar ke Jabatan Perdana Menteri di era BN dahulu kerana dia dikatakan ‘orang Dr. Mahathir’.

“Zamri sunyi daripada sebarang kontroversi, baik di luar mahupun dari dalam PDRM sendiri. Beliau juga ada pertalian dengan seorang tokoh perkhidmatan awam yang baru dilantik mengetuai sebuah agensi berkaitan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata sumber.

Dan walaupun Zulkifli dan Acryl Sani lebih senior dari Zamri, kedua-duanya tidak ada pengalaman dalam SB.

Begitupun Zulkifli dari segi kemampuan juga tidak boleh diketepikan jika mahu imej polis dipertingkatkan. Ketegasan Zulkifli menyerlah, yang sebelum ke AADK merupakan Pengarah KDNKA.

Dalam pada itu, Acryl Sani pula adalah orang kedua paling senior dalam polis selepas Zulkifli, diikuti ketiganya, Zamri.

Mengenai Rosli, menurut sumber kepada Tumpang lagi, bekas Ketua Polis Pahang itu dikatakan ‘terlalu junior’ - baru dinaikkan ke pengarah beberapa bulan ini.

ORANG MUDA

Bagaimana pula jika orang muda seperti Mazli, 45, diberi peluang mengisi jawatan nombor satu polis itu? Bukankah Tun Mohammed Hanif Omar hanya berumur 35 tahun ketika diberi mandat memegang jawatan IGP pada 8 Jun 1974?

Jawab sumber Tumpang itu:

“Ya, mungkin kalau fikir nak revamp pasukan polis dan ambil orang muda, Mazli yang naik agak cepat ke Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebelum beberapa bulan kemudian ke SUPM pula adalah pilihan yang tepat. Cumanya di era Hanif, keadaan berbeza tidak sama dengan sekarang.

“Kematangan menghadapi dasar politik hari ini cukup berbeza. Kelulusan sahaja tidak menjamin kematangan, malah pemilihan orang muda akan merendahkan moral pegawai-pegawai kanan polis yang lain.”

Mengenai jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, Tumpang diberitahu, selain kombinasi mereka yang tersenarai tadi, nama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim juga menjadi perhatian.

Fokus beliau kepada lapan kegiatan jenayah untuk dibanteras terutama gengsterisme, judi, pelacuran dan ancaman pengganas antara komitmennya untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya selamat.

Apa pun, pimpinan kerajaan wajar menyelidiki atau mendengar dengan lebih teliti suara-suara dari dalam PDRM mengenai bakal peneraju mereka.

Diharap kerajaan jangan pula mendengar daripada segelintir pihak yang berkepentingan sahaja. Pandangan keseluruhan warga PDRM sewajarnya diambil kira.