Biasa dengarkan ayat-ayat macam ini? Orang lelaki memang suka buat perkara ini. Dia kurang bercakap di rumah bukan sebab jenis pendiam tetapi asyik melayan telefon. Orang perempuan pula selalu dituduh suka membebel. Sedangkan membebel itu, sebab layan anak-anak dan marah suami tak berenggang dengan telefon!

Akak cun biasa dengar, kawan-kawan mengadu, suami mereka tak habis-habis melayan group WhatsApp. Layan dengan muka tersenyum-senyum dan kadang-kadang ketawa. Meriah sangat dan gembira semacam. Tapi bila anak datang dekat, anak pula tak pasal-pasal kena marah. Kadang-kadang anak dekat sebab bertanyakan sesuatu, dia buat tak reti. Tak jawab pun. Lekalah dengan telefon sampai tertidur.

Kenyangkah perut bila asyik tengok telefon? Tak ada kerja lainkah di rumah? Yang ahli-ahli dalam group WhatsApp pun satu, tak reti-reti tidurkah? Atau tak mandikah? Tak makankah? Tak buat kerja lainkah? Asyik bersembang tak habis-habis dari subuh hari ini membawalah ke subuh esoknya.

Group WhatsApp pun ada macam-macam. Dari group keluarga, kawan-kawan sekolah, universiti, pejabat, persatuan penduduk, memancing sehinggalah motor rider. Semuanya mahu dilayan. Sedangkan kalau jumpa berdepan, taklah banyak benda yang hendak dicakapkan pun. Tapi dalam laman sosial, bukan main lagi.

Sudahlah masa di rumah tidak banyak. Masa banyak dihabiskan di tempat kerja dan di jalan raya. Balik rumah, mengadap telefon pula. Anak-anak tidak dipedulikan, hendak tolong isteri di dapur? Jangan haraplah. Kalau tolong pun, mesti ada makna.

Selalunya kalau tolong mesti mahu keluar malam, jumpa kawan-kawan, pergi keluar memancing atau pun sebenarnya mahu pinjam duit! Betul tak? Jangan kecam akak cun, ini memang cerita benar. Bukan rekaan.

Akak cun sarankan pada isteri-isteri sekalian, eloklah sesekali jenguk-jenguk suami itu sedang sembang dengan siapa. Jenguk masa dia sedang leka. Jangan masa dia sedang bersedia. Kalau reaksi dia selamba, itu maknanya memang betullah sembang dengan kawan-kawan, tetapi kalau ‘mengelabah biawak’, bila isteri datang dekat, mesti hendak sorok bahan bukti tu. Ibarat pepatah moden, isteri yang memegang telefon pintar suami, lebih menyeramkan daripada isteri yang memegang senjata tajam!

Kalau ikutkan dari segi logik, takkanlah orang lelaki ini hendak sembang panjang-panjang dengan kawan lelaki juga, menghabiskan beras saja kata orang. Orang perempuan lainlah, dia boleh saja bersembang panjang dengan kawan perempuan, sebab macam-macam hal boleh cerita dari hal anak, kerja sampailah resipi masakan.

Ada juga suami yang siap pasang password di ­telefon pintarnya. Kenapa sampai hendak pasang password bagai. Macam mesin ATM yang boleh keluar duit pula daripada telefon itu. Yang ini pun kena tanya juga, kenapa ya ada password? Atas sebab-sebab keselamatankah?

Dalam pada itu, yang akak cun hairan, ada kawan bercerita, suaminya sampai bawa masuk telefon ke bilik air. Nampak sangat keakraban antara telefon dengan si suami itu, sampai tidak boleh dipisahkan. Kalau telefon tersebut terjatuh atau masuk air, satu hal pula. Hilanglah keceriaan hidup. Mulalah muka monyok, marah sana sini.

Sepatutnya, kawan akrab seorang suami ialah isteri atau anak-anaknya, tetapi telefon pula yang dipilih. Tentu ada banyak cerita ‘menarik’ dalam telefon tersebut.

Akak cun pula, kalau balik rumah memang malas hendak tengok telefon, kadang-kadang sampai merajuk kawan-kawan kerana akak cun tidak cepat membalas mesej mereka. Esoknya, sudah petang-petang baru akak cun perasan dan balas. Telefon akak cun aktif masa kerja saja atau masa sedang main game. Kalau tidak, memang tak pegang.

Dan yang ini pula, akak cun diberitahu oleh seorang kawan lelaki, ada suami yang mempunyai sampai dua atau tiga telefon. Telefon ini disorokkan di dalam kereta atau di pejabat. Dikhaskan untuk orang tertentu saja yang tahu nombor tersebut. Eksklusiflah konon.

Cerita pasal telefon simpan dalam kereta ini, mengingatkan akak cun tentang satu cerita, lama dulu. Ada kawan akak cun ini, terkejut apabila terdengar bunyi telefon vibrate dalam kereta suaminya. Semasa itu suaminya sedang isi minyak. Dia pun hairan, telefonnya tidak pula vibrate, bunyi macam dekat-dekat. Rupanya bunyi telefon itu datang daripada bawah tempat duduk pemandu.

Dibeleknya telefon itu bukan seperti telefon suami­nya. Jenama murah sedikit. Pemanggilnya tertera nama ‘sayang’. Sendiri boleh agaklah, apa jadi selepas itu. Berperang besar atau perang dingin, akak cun tak pastilah. Tetapi perang tetap peranglah.

Apa-apa pun, akak cun bukan mahu jadi batu api. Hendak hasut para isteri supaya tengok telefon suami. Tetapi kalau sampai sudah tidak boleh berenggang dengan telefon, rasanya eloklah jenguk-jenguk sedikit sebagai tanda prihatin. Bukan apa, kadang-kadang orang lelaki ini memang penuh dengan elemen ‘kejutan’.