Dunia hari ini sudah berubah, dengan pelbagai pentas media yang wujud dan makin berkembang hari demi hari, tidak dapat tidak cabaran terpaksa dihadapi oleh dunia media percetakan, getir dan sukar, namun itulah realiti yang sedang berlaku.

Apa yang saya tulis kali ini bukanlah untuk memberi komentar tentang situasi yang berlaku sekarang ini namun lebih menjurus kepada ucapan berterima kasih atas kebaikan yang telah dilaksanakan.

UTUSAN MALAYSIA DAN DUNIA KEMANUSIAAN MRA

Sejak penubuhan Malaysian Relief Agency (MRA) pada tahun 2009, Utusan Malaysia merupakan di antara rakan media dan kemanusiaan MRA yang tidak putus-putus memberikan sokongan buat kami.

Saya masih ingat ketika kami melaksanakan tabung kemanusiaan Palestin MRA dan Kumpulan utusan sekitar tahun 2013, bagaimana ketika itu ramai yang menyumbang dan simpati dengan nasib yang menimpa rakyat Gaza melalui kempen yang kami laksanakan bersama, Alhamdulillah dengan kejayaan kempen ini kami dapat menyumbang kepada rakyat Gaza khususnya bantuan dalam bidang perubatan malah dengan dana yang kami dapat, MRA berjaya membawa 6 orang doktor dari Gaza untuk mendapat latihan di Malaysia di bawah seliaan kami.

Bukan setakat itu, antara kekuatan MRA adalah perjuangan kami tentang isu Rohingya sejak awal penubuhan sehingga hari ini, Utusan Malaysia begitu komited membantu MRA menyebarkan isu-isu kemanusiaan mengenai apa yang berlaku di Myanmar khususnya di Arakan dan kisah pelarian Rohingya yang kami bantu di Cox Bazar, Bangladesh dan Komuniti Rohingya yang terpinggir di Malaysia. Warna-warna kemanusiaan ini yang sering diangkat oleh Utusan Malaysia begitu mengharukan saya.

Malah, ketika Yemen sedang bergolak sehingga hari ini, Utusan Malaysia memberi ruang kepada kami untuk memberitahu kepada masyarakat di Malaysia bahawasannya MRA juga turut serta dalam bantuan kemanusiaan yang berterusan dan tidak putus-putus di bumi bergolak Arab itu, begitu juga bantuan-bantuan yang kami salurkan dalam negara , Utusan Malaysia dengan setulus hati sentiasa membawa suara kami kepada pembaca.

TANGAN YANG MENULIS, PASTI BEROLEH MANFAAT

Saya percaya cabaran yang sedang dilalui oleh rakan media dan kemanusiaan kami di Kumpulan Utusan bukan mudah untuk diterima, selain dari simpati kami sentiasa memandang tinggi usaha besar kalian dalam menyumbang kepada masyarakat melalui penulisan yang tulus dan ikhlas.

Kalian juga telah menulis ribuan penulisan yang mencetus rasa sedar kedalam jiwa masyarakat khususnya di Malaysia dan pastinya ada hikmah yang lebih baik dengan kebaikan yang telah dilaksanakan.

Percayalah yang Tuhan Maha Esa itu menguji hamba-Nya dengan sekadar yang mampu dilalui. Kebaikan dan rezeki sentiasa akan bersama-sama dengan mereka ikhlas.

Teruskan menulis untuk ummah dan ganjaran yang lebih mulia pasti akan mendatang.

Harapan kami di MRA agar pihak kerajaan, individu2 yang berpengaruh dan entiti korporat yang prihatin dengan masa depan Utusan Malaysia dapat memberi peluang dan ruang kepada portal media utama sejak 1936 ini untuk terus bernafas dan mewarnai kehidupan rakyat Malaysia yang berjiwa bebas dan merdeka.

“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada yang lain”

Salam Hormat dan Salam Solidariti Kemanusiaan.

* Penulis ialah Presiden Malaysian Relief Agency (MRA)