Di negara kita, walaupun hukuman sebat telah diamalkan lama dulu sebelum penjajahan, ia hanya diamalkan Mahkamah Syariah setelah pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada tahun 1984.

Sebatan lebih awal diamalkan 
di mahkamah peringkat Persekutuan. Akta Pentadbiran Keadilan 1953 (Akta 345) (Criminal Justice Act 1953), melalui peruntukan di bawah seksyen 4 menyatakan, antara lain, tiada seorang pun boleh dihukum oleh mahkamah untuk disebat dengan menggunakan tali yang diikat dengan sembilan simpulan (cat-o’-nine tails) dan sebatan hanya boleh dikenakan dengan rotan.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) membenarkan undang-undang dibuat di negeri-negeri bagi memberikan Mahkamah Syariah kuasa untuk mengenakan hukuman sebat ke atas mereka yang disabitkan bagi kesalahan-kesalahan tertentu.

Ekoran daripada itu, Dewan Undangan Negeri secara keseluruhannya telah meletakkan hukuman sebatan ke atas beberapa kesalahan yang sebahagian besarnya adalah kesalahan berkaitan seksual.

Justeru, sekiranya seseorang itu disabitkan Mahkamah Syariah atas suatu pertuduhan kesalahan yang membenarkan hukuman sebatan, maka, Mahkamah Syariah, secara sah, boleh menjatuhkan hukuman tersebut dan seterusnya membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut pada suatu tempat yang ditentukannya.

Menurut peruntukan Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah sebatan hendaklah menggunakan alat sebatan yang diperbuat daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 meter. Sebagai contoh, lihat seksyen 125 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Dari perspektif Undang-Undang Syariah, hukuman sebat adalah satu bentuk hukuman yang dibenarkan dalam perundangan Islam dan ia dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran dan sunah bagi kesalahan-kesalahan tertentu seperti zina, menuduh zina dan juga minum arak. Sebatan juga boleh dikenakan ke atas pesalah kesalahan takzir.

Oleh itu, setakat perbahasan ini, hukuman sebat dilaksanakan dalam sistem pentdbiran keadilan di Mahkamah Syariah adalah tidak bercanggah dengan Syariah dan ia juga tidak bercanggah dengan perundangan negara.

Walaupun pelaksanaan atau cara hukuman sebat dilaksanakan dalam kedua-dua sistem pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia itu amat jauh perbezaannya, isu sebat di Mahkamah Syariah tetap dipersoal sesetengah pihak.

Dikatakan kesalahan yang disabitkan itu tidak perlu dihukum dengan sebat dan memadai sekadar memberikan hukuman-hukuman lain termasuk nasihat. Persoalan ini timbul kerana perbezaan kefahaman tentang falsafah hukuman dalam perundangan jenayah mengikut hukum Islam.

Bahkan ada segelintir yang menganggap perbuatan seksual songsang atau moral itu tidak perlu dijadikan kesalahan jenayah atas hujah kebebasan diri. Perbuatan itu disifatkan hanya sebagai dosa, bukan satu jenayah.

Piawaian

Fahaman sebegini adalah tidak menepati falsafah perundangan jenayah syariah. Perbuatan berkaitan seksual atau moral juga boleh dijadikan jenayah dan seterusnya boleh dihukum, terutama apabila perbuatan tersebut dilakukan ditempat terbuka dan dibuktikan melalui proses keadilan di mahkamah.

Ini adalah seumpama clash of civilizations, yang disuarakan Samuel Huntington, pertembungan antara kefahaman tentang falsafah, dalam konteks ini, pertembungan falsafah perundangan– antara Syariah dan bukan Syariah.

Oleh itu, sayugia diingat sesuatu sistem itu perlu dilihat atau ditafsir dengan menggunakan kaca mata sistem itu sendiri atau menurut pandang alamnya sendiri. Hukum hakam dan sistem perundangan Syariah tidak boleh dilihat dengan menggunakan kacamata lain.

Piawaian Syariah hendaklah terpakai dalam memahami falsafah perundangan Syariah. Nilai hukum hakam Syariah yang sempurna tidak akan dapat diinsafi sekiranya ia dipandang dengan menggunakan skala penilaian atau piawaian dari luar sistem Syariah.

Piawaian hukuman Syariah hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Syariah itu sendiri yang dirangkum dalam dua lipatan, iaitu amr bil maaruf dan nahy ‘anil munkar –mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam konteks dakwah, prinsipnya mengajak ke arah kebaikan dan 
perlu pendekatan nasihat berhikmah.

Namun dalam konteks mencegah kemungkaran, pelaksanaan hukuman perlu dilaksanakan. Tetapi dalam pelaksanaan hukuman itu juga perlu dilakukan dengan hikmah.

Pendekatan berhikmah ini ialah dengan mengadakan prosedur keadilan yang sempurna dan pelaksanaan seimbang antara hak pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawabnya bagi pihak awam dengan tujuan menjaga hak Allah dan hak individu disabit, iaitu sebagai manusia yang mempunyai kehormatan atau maruah.

Pertembungan kefahaman ini bukan kecil kesannya. Dalam jangka masa panjang ia mampu menyebabkan perundangan jenayah Syariah yang bertujuan menjaga maruah, moral dan keturunan sebagaimana diperkenal dalam harakat maqasid syariah akan terpadam daripada sistem perundangan negara.

Perkara kedua ditimbulkan berkaitan pelaksanaan hukuman sebat dalam sistem Syariah ialah ia menampakkan sistem perundangan Islam tidak bersifat belas ihsan atau tiada belas kasihan.

Perlu diambil perhatian juga bahawa pelaksaan hukuman Syariah adalah bertujuan mengembalikan seseorang yang mengaku kepada kesalahannya untuk mendapatkan keredaan Allah sebagaimana berlaku dalam kes seorang lelaki bernama Muaz di zaman Rasulullah SAW.

Kes Muaz ini melibatkan pengakuan melakukan zina. Kes ini telah dirakamkan dalam pelbagai dimensi yang menunjukkan bahawa hukuman rejam telah diarahkan pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW setelah tiga kali Muaz datang kepada baginda dan memohon disucikan dosanya.

Dengan lafaz thohhirni ya Rasulullah, atau sucikanlah aku wahai Rasulullah; setelah tiga kali pengakuan, maka pelaksanaan hukuman rejam telah dilaksanakan demi menyucikan dosa orang yang membuat pengakuan atau ikrar.

Selain itu, dalam hal penghukuman kuasa budi bicara terletak pada hakim. Jawatan hakim bukan calang-calang pentingnya. Secara perundangan, hakim berhak menjatuhkan hukuman sebagaimana tertera dalam undang-undang.

Sekiranya suatu undang-undang membenarkan hakim menjatuhkan hukuman sebat, maka hakim berhak untuk berbuat demikian dalam kuasa budi bicaranya yang dilaksanakan dengan bijaksana.

Kebijaksanaan hakim adalah dengan mengambil kira fakta-fakta kes, termasuklah keadaan pesalah, pengakuannya atau juga keinsafannya. Peranan budi bicara ini adalah milik hakim dalam kes-kes takzir, bukan kes hudud.

Penting juga untuk ditegaskan bahawa kuasa budi bicara yang dilaksanakan dengan kebijaksanaan kehakiman adalah kekuatan badan kehakiman. Berkaitan, keupayaan hakim untuk menjalankan budi bicara adalah antara aspek utama kebebasan kehakiman dalam konsep pengasingan kuasa.

Penghukuman adalah antara komponen yang sangat sukar dalam pentadbiran keadilan. Pelbagai prinsip diperkenalkan, seperti keseimbangan-kesimbangan antara kesalahan dan hukuman dan keseimbangan antara kesannya ke atas individu dan masyarakat.

Dengan kata lain, hukuman hendaklah seimbang atau setara dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman hendaklah mencapai hasrat atau tujuan perbuatan itu dijadikan perbuatan jenayah.

Tugas menimbang segala 
perkara ini amat rumit. Ia bersifat abstrak dan sering bersaing dengan tujuan mencapai sesuatu yang sukar difahami. Ia juga bersifat subjektif. Ia juga mungkin berbeza dan tiada nilai universalisme.

Ia seumpama abstrak atau subjektif dengan maksud perkataan "keadilan". Untuk tujuan ini, para hakim secara tradisional mengamalkan kebijaksanaan mereka untuk memilih hukuman sesuai dengan merujuk kepada fakta kes dan hukuman yang disediakan dalam undang-undang.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (UIAM).