Hakikatnya, seseorang itu akan kekal positif berdasarkan kepada bersihnya hati yang dimiliki. Yakinlah kalau seseorang itu tertekan, kita akan berasa stres dan tidak bahagia. Semuanya ini disebabkan hati masih kurang bersih kerana ada kotoran dosa, sama ada dosa dengan Allah SWT atau dosa dengan manusia. Kita berdosa kepada Allah kerana tidak patuh dengan perintah-Nya. Melakukan suruhan-Nya tidak sepenuh hati, secara terpaksa, sambil lewa, asal buat atau melambat-lambatkan. Dosa dengan manusia pula kerana gagal menjaga hubungan silaturahim sesama insan.

Hati bagai telaga. Peribahasa Melayu mengatakan `dari telaga yang jernih, tidak akan mengalir air yang keruh’. Manusia boleh berubah untuk bersikap baik atau buruk pada bila-bila masa berdasarkan di mana kita berada dan dengan siapa kita berdamping. Sebab itulah kekuatan `dalaman’ amat penting untuk menempuh kehidupan ini.

Satu kajian pernah dilakukan oleh Brucelipton, seorang doktor pakar sel. Beliau meletakkan sel dalam persekitaran yang berbeza iaitu dalam patrij (alat untuk meletakkan sel). Dari segi fakta, sel boleh berubah-ubah mengikut persekitaran sel itu diletakkan. Jika diletakkan pada lutut, sel itu akan menjadi organ lutut. Jika diletakkan pada jantung sel itu akan menjadi organ jantung. Hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa manusia boleh berubah sikapnya bergantung kepada persekitaran di mana dia berada.

Kajian yang dilakukan oleh pakar sel tersebut juga mendapati sel-sel yang diletakkan dengan hormon berlainan akan menyebabkan sel itu berubah mengikut jenis hormon. Bayangkan dalam tubuh manusia ini ada 50 trilion sel, yang ditutup oleh kulit. Hal ini diibaratkan nisbahnya satu peratus untuk kulit atau luaran dan 99 peratus lagi untuk dalaman seluruh tubuh manusia. Berasaskan fakta tersebut, yang mana satu lebih penting luaran atau dalaman? Jawapannya susah tentu dalaman.

Selain kekuatan dalaman terletak pada hati, minda juga merupakan benteng utama untuk mengimbangi manusia dalam memilih kehidupan yang baik atau buruk. Atas sebab itulah dalam hidup ini setiap tindak-tanduk akan dinilai dengan pahala dan dosa, syurga dan neraka.

Minda yakni akal fikiran berfungsi mengawal tindak-tanduk manusia. Justeru hati dan minda akan bertindak melakukan penilaian terhadap diri tuannya. Adakah hari ini lebih baik daripada semalam atau sebaliknya. Oleh sebab itu setiap hari perlu ada empat senarai semak mengenai diri sendiri.

Pertama, tentukan diri kita ini seorang yang sangat menghormati semua orang, sama ada melalui bahasa percakapan dan bahasa badan. Apabila seseorang itu menghormati setiap orang, walaupun dia orang yang berkedudukan pasti sedia akan mendengar pendapat atau nasihat orang lain tanpa mengira siapakah mereka, sama ada yang memberi pandangan itu orang yang lebih muda daripada atau orang yang rendah status kehidupannya.

Menghormati orang lain juga bermakna seseorang itu memberi ruang kepada mereka yang bertemu dengannya untuk berkata sesuatu. Bukan sibuk bercakap tentang diri sendiri, bercakap mengenai kehebatan dan kejayaannya, hingga orang bertemu dengannya tenggelam dalam keegoannya sendiri. Jadilah kita pendengar yang baik. Jika yang bercakap itu sedang meluahkan masalah atau kesedihan tunjukkan reaksi bahawa kita turut sama merasa apa yang sedang dialaminya itu sekali gus memahami situasinya serta empati terhadapnya. Ini boleh membuatkannya berasa lega dan tenang kerana dapat berkongsi masalah atau kesedihan dengan kita. Bukan berasa kecewa dan menyesal kerana meluahkan isi hati kepada orang yang salah.

Kedua, apabila melakukan sesuatu hendaklah ikhlas. Ikhlas ertinya melakukan sesuatu tanpa mengharapkan ganjaran atau penghargaan. Maksudnya, jika orang tidak kenang dan berterima kasih akan kebaikan yang telah dilakukan kepadanya tidak mengapa. Kita tidak akan mengungkit kembali segala kebaikan dan pertolongan yang telah diberikan.

Ikhlaskan diri iaitu melakukan sesuatu bukan untuk orang sayang atau orang sanjung tetapi untuk mendapat keredaan Allah. Juga jangan sesekali berasa berjasa kepada sesiapa. Meskipun adakalanya seolah-iolah seperti `melepaskan anjing tersepit’. Apabila berasa sudah selamat, selesa dan tidak lagi sakit orang yang diselamatkan itu akan menggigit orang yang melepaskannya.

Ketiga, hendaklah menjadi seorang yang lemah lembut, hati dan sikap. Keempat, jadilah orang yang bermanfaat. Jika kita pekerja jangan berkira mengenai masa dan tenaga dalam pekerjaan. Insya-Allah dengan membuat empat senarai semak ini. kita dapat membetulkan salah dan silap ketika mendepani cabaran kehidupan.

Yang penting, sama ada sesuatu itu dianggap satu masalah atau peluang, semuanya bergantung pada cara berfikir, menjiwainya, melihatnya serta menanganinya. Oleh itu, jika kita berjaya mengubah cara melihat sesuatu peristiwa dan kejadian, perkara yang negatif boleh menjadi positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.