Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

DETIK yang menceriakan! Hari yang dinanti-nantikan. Menjimatkan masa dan meringankan beban ke­hidupan atau perbelanjaan. Tiada tekanan. Tidak perlu keluar awal pagi. Simpan kereta di rumah atau parkir saja di tempat yang disediakan. Tidak perlu fikir soal turun naik harga minyak untuk ke tempat kerja, tidak perlu mengharungi kesesakan di atas jalan dan plaza tol.

Begitulah harapan terhadap perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) sejauh 51 kilometer (km) yang beroperasi sepenuh­nya mulai hari ini. Diharapkan hari pertama ini tidak menimbulkan masalah sebaliknya melegakan semua pengguna yang selama ini terpaksa melalui perjalanan yang menyesakkan terutama bagi yang berulang alik dari Kajang dan kawasan sekitarnya ke Kuala Lumpur atau Sungai Buloh ke Kuala Lumpur.

MRT melengkapkan sistem pengangkutan rel di Lembah Klang dan kesalinghubungan pinggir bandar dan bandar selepas Express Rail Link (ERL), Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter, Monorel dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS). MRT, infrastruktur bertaraf dunia ini amat dinanti-nantikan. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak baru-baru ini: “Kepada semua yang terlibat, berbanggalah dengan pencapaian anda, imbas kembali segala pengorbanan tenaga, masa beristirahat bersama keluarga dan sahabat handai. Inilah hasil keringat dan air mata anda! Saya sendiri amat bangga dengan anda semua,”. Kejayaan ini harus dikongsi bersama. Walaupun ada pihak yang ‘tumpang semangkuk’ mendakwa MRT itu cetusan idea mereka tetapi biarlah puak-puak itu syok sendiri. Rakyat tahu situasi sebenarnya. Bersyukurlah, projek ini dapat dilaksanakan dengan baik.

Terima kasih kepada mereka yang banyak berkorban untuk menjayakan projek ini terutama pemilik tanah dan premis perniagaan sepanjang laluan yang terlibat. Pastinya, sepanjang pembinaan itu berjalan, sedikit sebanyak perniagaan dan perhubungan terjejas. Memang be­narlah setiap kawasan pembinaan yang melibatkan laluan awam akan tertera papan tanda berbunyi: Kesulitan amat dikesali. Kesulitan hari ini adalah untuk kemudahan masa depan. Kini peniaga atau pemilik premis perniagaan terutama di stesen-ste­sen MRT boleh menarik nafas lega. Begitu juga penduduk sekitarnya. Suasana muram bertukar ceria.

Sesuatu yang amat penting dalam sistem pengangkutan awam ini termasuklah kekerapan perjalanan, ketepatan waktu, tambang, kemudahan tempat letak kereta dan sistem pengangkutan pengantara. MRT mempunyai kadar frekuensi tren yang tinggi iaitu kira-kira 3.3 minit pada waktu puncak untuk setiap tren dan melalui tren empat gerabak ini, ia berupaya membawa 1,200 orang pada satu-satu masa.

Dianggarkan 400,000 penum­pang akan menggunakan laluan SBK setiap hari. Sebelum ini, laluan SBK fasa pertama yang melibatkan Sungai Buloh ke Semantan sejauh 21 km yang beroperasi pada Disember 2016 mencatatkan pengguna hampir dua juta orang. Difahamkan, pembukaan laluan ini juga akan membantu me­ngurangkan kesesakan lalu lintas apabila ia dapat mengurangkan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari. Semoga angka ini tepat supaya Kuala Lumpur tidak sesak.

Kesesakan boleh diatasi jika masyarakat tanpa mengira ke­du­dukan mengambil sikap menggunakan pengangkutan awam yang cekap. Jangan sekadar mengga­lakkan orang ramai menggunakannya tetapi diri sendiri masih selesa memandu ke tempat kerja. Mereka yang berkedudukan atau berpendapatan tinggi harus menjadi contoh kepada orang lain. Sama-samalah memanfaatkan perkhidmatan ini.

Bagi kemudahan pengguna juga, sebanyak 14 tempat letak kereta bertingkat dan terbuka dengan kapasiti 8,000 petak disediakan di stesen-stesen sepanjang Laluan SBK itu. Perjalanan berulang alik ke pusat bandar kini menjadi semakin mudah terma­suk di lokasi yang terkenal de­ngan kesesakannya seperti Bukit Bintang, Pasar Seni, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught. Suntex, Batu 11, Cheras, dan Kajang. Perbelanjaan harian akan lebih jimat jika pengguna mendapat akses per­khidmatan bas pengantara yang membawa penumpang dari kawasan kediaman atau pejabat dan lokasi tertentu ke stesen berhampiran. Sebanyak 300 buah bas pengantara disediakan dengan kekerapan setiap 10 minit.

Diharapkan bas pengantara benar-benar cekap. Perbaikilah per­khidmatan ini supaya ia lebih menyeluruh demi kemudahan pengguna yang ‘menyimpan’ kereta di rumah.

Berkaitan tambang, kadarnya setakat ini amat berpatutan, le­bih murah berbanding membawa kenderaan sendiri yang melibatkan minyak, tol dan parkir.

Kadar tambang serendah RM1.20 hingga RM6.40 bergantung kepada penggunaan tunai, kad Touch ‘n Go atau pas bulanan. Satu tinjauan yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan seorang penumpang mampu menjimatkan RM200 sebulan untuk perjalanan dari Sungai Jernih ke Muzium Negara.

Perjalanannya juga hanya mengambil masa 40 minit berbanding dua jam jika memandu.

Menyelak kembali pengalaman tinggal di Kajang sebelum ini, beberapa lokasi jalan raya yang se­ring menghantui pengguna ialah di kawasan Cheras iaitu antara Batu 11 hingga ke Leisure Mall.

Ketika itu, sebut Plaza Phoenix (kini Cheras Sentral), ramai yang tahu di situ akan berlaku kesesakan. Kenderaan bergerak perlahan. Diharapkan MRT SBK yang melibatkan kos RM23 bilion ini dapat membawa keselesaan kepada masyarakat terutama yang melibatkan perkhidmatan sepanjang koridor yang mempunyai kepadatan 1.2 juta penduduk itu. Hakikatnya, sistem pengangkutan rel ini tidak akan berhenti di laluan SBK sahaja. Laluan MRT Kedua (MRT-2) melibatkan Su­ngai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP), sepanjang 52.5km. yang dijangka siap pada suku kedua 2022. Pada masa yang sama, bagi mempertingkatkan kecekapan sistem rel ini, KTM Berhad (KTMB) juga diharap dapat mengambil langkah tertentu bagi mengurangkan beban penumpangnya yang terpaksa me­nunggu antara 45 minit hingga satu jam (bukan waktu puncak) untuk mendapatkan tren.

Tidak dinafikan, KTMB sentiasa berusaha mengambil langkah untuk meningkatkan per­khidmatannya. Hari ini juga KTM Komuter me­ngadakan Promosi Wow! 100,000 Kad Komuter Link (Dewasa) Percuma. Penumpang boleh memiliki kad itu secara percuma tetapi untuk mengaktifkannya perlu membuat tambah nilai serendah RM5.

Ini adalah inisiatif KTMB untuk menggalakkan penum­pang komuter beralih kepada pembayaran tiket tanpa tunai.Bagaimanapun satu keadaan yang amat mendesak ialah harapan pengguna supaya kekerapan komuter ditingkatkan. Disebabkan kerja-kerja naik taraf landasan, KTMB menghadapi masalah untuk mengurangkan tempoh me­nunggu itu.

Mungkin sesuatu boleh dilakukan di kawasan yang menggabungkan stesen KTM Komuter dengan MRT. Contohnya di Kajang. Adalah dijangka, ramai pengguna komuter akan beralih kepada MRT yang lebih cepat dan kerap. Dalam hal ini, mungkin KTMB dapat membantu meningkatkan kekerapan laluan Kajang - Seremban atau sebaliknya.

Melalui kaedah ini, pengguna di laluan berkenaan tidak perlu menunggu lama untuk ke Kuala Lumpur atau Sungai Buloh ke­rana mereka dapat menyambung perjalanan menggunakan MRT di Kajang. Begitu juga sebalik­nya pengguna dapat meneruskan perjalanan ke Seremban dengan lebih cepat. Langkah ini juga dapat mengurangkan kesesakan di dalam komuter yang berpunca daripada jadual kekerapan tren.

Semoga KTMB dapat melakukan sesuatu bagi merancakkan lagi sistem pengangkutan rel.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain