Semenyih merupakan kawasan DUN disandang Bersatu dengan majoriti 8,964 undi yang diraih dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sembilan bulan lepas.

Ya, majoriti diraih Bersatu yang mana Pakatan Harapan (PH) memakai lambang PKR waktu itu agak besar.

Tapi atas kertas kalau dicampurkan jumlah undi UMNO dan Pas (14,464 + 6,966 = 21,430 ) selain 1,293 dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dijumlahkan bersekali menjadi 22,723, nampaknya tidak jauh beza dengan 23,428 yang diperoleh PH.

Semenyih hakikatnya menjadi piawai benchmark sejauh mana Bersatu mampu mengikis persepsi onar duri yang dipalitkan terhadap sekutu-sekutunya dalam PH sehingga sebahagian orang Melayu berasa cuak sama ada nasib mereka benar-benar diambil berat untuk diperjuangkan di bawah Malaysia Baharu.

Tentu sekali pengundi Melayu di Semenyih yang meliputi 68 peratus daripada 54,503 pengundi berbanding 17 peratus Cina dan 14 peratus India, tidak mahu melihat kelibat wakil rakyat yang mengkritik kedudukan wang zakat dan menuntut wang zakat turut diberikan kepada bukan Islam - bukan untuk orang Islam sahaja.

Sudah tentu pengundi Islam di Semenyih berasa jengkel jika ada lagi penyokong parti tertentu mempertikaikan penggunaan pembesar suara untuk azan subuh dan bacaan ayat al-Quran.

Demikian juga pasti terimbas di fikiran sebahagian pengundi Melayu betapa agresifnya DAP menentang usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disokong oleh Parti Amanah Negara (Amanah) di Parlimen setahun dua lepas. Padahal undang-undang itu cuma untuk memperkasakan mahkamah-mahkamah syariah yang tiada kaitan langsung dengan orang bukan Islam.

Pengundi Melayu di Semenyih pastinya mahu gabungan parti yang diharapkan untuk menjaga ajaran dan agenda Islam ini juga menafikan kod-kod moral dalam pentadbiran mereka. Di negeri tertentu, orang Melayu gusar andai ada lagi pihak yang membenar dan mempertahankan pesta maksiat seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan pesta arak.

Umat Islam menaruh harapan tinggi kepada pakatan parti politik yang berupaya untuk melestarikan agenda kemurniaan akidah, syariat serta akhlak Islam. Mereka menolak parti-parti yang kelihatan membela liberalisme pemikiran dan liberalisme agama.

Di Semenyih dalam tempoh kempen 14 hari bermula esok, isu ‘manifesto PH’ semasa PRU-14 pasti akan dicanang hebat oleh Barisan Nasional (BN). Banyak janji besar dimungkiri, sekali gus menjadikan tugas berat untuk PH memberi pencerahan.

Manifesto adalah pernyataan bertulis yang asasnya perlu realistik, boleh diukur, munasabah, komprehensif, praktikal dan bertanggungjawab.

Kata N. Fairclough dalam tulisannya, New Labour, New Language, manifesto pilihan raya adalah dokumen parti politik. Bagi BN sendiri, manifesto sebagai ‘aku janji’ dan perkara yang serius. Tentu sekali menyedihkan apabila ada sesetengah pemimpin melihat manifesto bukan janji yang perlu ditunaikan.

Semenyih yang menyaksikan PRK kali keenam menjadi gelanggang PH terutama Bersatu dan UMNO-Pas untuk membuktikan sejauh mana agenda Melayu-Islam mampu ditegakkan.

PH pasti ‘teringat-ingat’ bagaimana perhimpunan raksasa #DaulatHimpunan812 tempoh hari men­cipta rekod terbesar mengumpulkan orang Melayu dalam sejarah moden Malaysia.

Meskipun perhimpunan itu cuba diperlekehkan dan digagalkan oleh pihak tertentu termasuk menggunakan bantuan dipercayai daripada Red Bean Army (RBA), itu tidak melunturkan semangat peserta untuk datang dengan pelbagai jenis pe­ngangkutan termasuk berkonvoi demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka yang hadir datang dari setiap pelosok negara tanpa mengira ideologi politik dan dialek bahasa, berhimpun di beberapa kawasan di ibu kota sebelum berarak ke Dataran Merdeka.