Generasi terdahulu amat me­­nyayangi dan menghargai ke­merdekaan kerana pernah me­lalui zaman susah di bawah penjajahan dan juga berhadapan ancaman komunis. Sebenarnya, Jalur Gemilang bersaiz kecil sentiasa berada di dalam kereta saya manakala bendera kebangsaan bersaiz besar berkibar megah di halaman rumah saya apabila Ogos menje­lang.

Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya setiap kali menjenguk ke luar tingkap dan melihat bendera Malaysia berkibar megah. Rasa bangga adakalanya berbaur perasaan sedih apabila memikirkan nasib Jalur Gemilang pada masa ini. Ini kerana setiap tahun semakin kurang Jalur Ge­milang yang berkibar terma­suk di kawasan perumahan saya. Diharapkan ia akan berubah apabila kita semakin menghampiri 31 Ogos.

Adakah penting untuk kita mengibarkan Jalur Gemilang dan apakah signifikannya ia de­ngan Hari Kebangsaan? Bagi saya, se­tiap rak­yat Malaysia seha­rusnya mempu­nyai kesedaran mengenai kepen­tingan Hari Kemerdekaan tambahan pula kita akan me­nyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-61 pada 31 Ogos ini.

Secara jujur saya agak sedih melihat tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kereta masing-masing berbanding keghairahan mengibarkan bendera parti dan poster ketika kempen pilihan raya. Ini sedikit sebanyak menggambarkan kurangnya semangat mengibarkan bendera negara kita dalam kalangan orang ramai. Tetapi perlu ditekankan bahawa semangat patriotik tidak boleh dipaksa melalui undang-undang tetapi harus lahir dari hati yang ikhlas.

Mungkin bagi sesetengah pi­hak, terutamanya generasi muda lebih selesa menggunakan media sosial untuk menzahirkan semangat patriotik mereka dan sudah tentu ia perlu digalakkan. Bagaimanapun, kita harus menerima hakikat bahawa kita bukannya hidup di alam maya atau virtual world dan perlu menunjukkan rasa cinta kita kepada negara di alam nyata.

Sebagai contoh, iklan dan juga cerita pendek berkaitan Ke­merdekaan yang dapat kita tonton di media sosial dan Internet tidak akan memberi erti jika semangat dan nilai positif yang cuba diketengahkan itu tidak diamalkan di alam nyata.

Begitu juga dengan Jalur Gemilang yang kita pamerkan di media sosial kerana ia hanya akan berkibar di alam maya. Sudah pasti impaknya lebih besar jika kita turut sama-sama mengibarkan bendera sebenar di premis dan kenderaan masing-masing.

Semangat patriotik itu harus datang dari hati yang ikhlas dan bukan paksaan atau sebab-sebab lain seperti menerima imbuhan atau bendera percuma. Jika kita benar-benar sayangkan negara dan Jalur Gemilang yang adalah simbol kemerdekaan dan kedau­latan Malaysia, sudah tentu kita tidak keberatan untuk membeli bendera yang menjadi kebanggaan kita.

Di sesetengah negara termasuk di negara-negara jiran, mereka amat berbangga dan menghormati bendera kebangsaan sehingga menganggap ia sebagai sesuatu yang suci. Rakyat mereka akan mengibarkan atau memasang gambar bendera bersama potret raja atau pemimpin mereka tanpa paksaan dan ia juga tidak terhad hanya ketika musim perayaan atau sambutan kemerdekaan.

Rakyat mereka diajar untuk menyayangi negara dan menghormati simbol kedaulatan negara seperti bendera bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Di Malaysia, antara perkara yang amat menyedihkan dan memalukan bagi saya adalah ketika terlihat Jalur Gemilang yang lusuh dan koyak dibiarkan berkibar lesu.

Ini menunjukkan sikap ‘acuh tak acuh’ masyarakat kita. Mungkin ada yang langsung tidak sedar bahawa Jalur Gemilang tersebut pernah dipasang di premis mereka sehinggakan ia terbiar lusuh dan koyak. Ubahlah sikap kerana ia turut menggambarkan kelemahan aspek penyelenggaraan dalam sesebuah organisasi.

Saya difahamkan tema Sa­yangi Malaysiaku dipilih bagi meraikan dan mempertingkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Logo rasmi sambutan yang membawa simbol rakyat melakukan gerakan mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan pula membawa maksud rakyat Malaysia berbilang bangsa perlu hidup bersatu padu dan menyayangi negara.

Ia seolah-olah mengajak setiap rakyat Malaysia bersatu dan me­nentang semua jenis ekstre­mis­me serta sentiasa berdiri atas prinsip kesederhanaan. Walaupun terdapat ideologi politik dan pandangan berbeza, kita perlu kekal menghormati dan menghargai satu sama lain seperti kebiasaan kerana jalan yang harus ditempuhi masih panjang selepas PRU-14.

Tidak kira parti politik mana yang disokong, kita harus bersatu sebagai rakan karib kerana kita berkongsi harapan, impian dan tujuan yang sama sebagai rakyat pelbagai kaum yang mendiami bumi Malaysia yang bertuah ini.

Justeru, kita harus pastikan Jalur Gemilang dipasang bukan sahaja di pejabat-pejabat kerajaan tetapi juga di rumah, premis swasta dan perniagaan serta institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah seorang aktivis masyarakat