Menurut laporan akhbar hanya tiga buah sekolah dan dua buah tadika terlibat dan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran ditangguhkan selama beberapa hari bagi menjalankan kerja pembersihan dan mengenal pasti punca kejadian tersebut berlaku.

Persoalan sama ada selamatkah persekitaran Pasir Gudang bukanlah isu yang mudah untuk dijawab. Sudah tentu hanya golongan pakar berwibawa boleh menentukannya berdasarkan kajian mendalam dan terperinci dari semua aspek.

Malah jika didapati tidak selamat untuk tinggal di kawasan Pasir Gudang sekalipun ia tidaklah semudah mengarahkan penduduk berpindah ataupun menutup kilang begitu sahaja.

Ini kerana sejak Majlis Bandaran Pasir Gudang ditubuhkan pada 1 Julai 1977 bilangan industri dan penduduk yang tinggal di kawasan sekitarnya juga meningkat dengan mendadak. Dianggarkan jumlah penduduk Pasir Gudang kini melebihi 300,000 orang dan jumlah kilang pula dianggarkan lebih daripada 300 buah.

Malah jumlah ini pasti bertambah dengan pembinaan kawasan perumahan baharu dan kawasan industri yang baharu seiring dengan keperluan semasa.

Mungkin tidak salah jika dikatakan penduduk dan industri di Pasir Gudang sama-sama bersaing untuk survival kelangsungan kehidupan masing-masing. Malah penduduk dan industri juga saling memerlukan satu sama lain.

Lebih membimbangkan apabila Pelabuhan Pasir Gudang turut mengendalikan kargo berbahaya yang terdiri daripada bahan api, petrokimia, gas dan produk petroleum yang lain. Ini sekali gus menambah jumlah industri hiliran berkaitan kimia dan bahan api di sekitar Pasir Gudang.

Lebih daripada itu, apa yang lebih perlu diutamakan ialah kaedah penyampaian maklumat yang tepat dan telus perlu segera diwujudkan terutama apabila terjadi sesuatu musibah yang tidak diingini.

Pihak berwajib dicadangkan supaya menyediakan suatu mekanisme penyampaian maklumat efektif demi maslahat penduduk setempat. Ini dapat mengelak penularan maklumat-maklumat tidak tepat atau palsu yang kemungkinan mencetuskan suasana panik dan huru-hara dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat Pasir Gudang juga patut diberi pendidikan bagaimana untuk menghadapi situasi cemas. Ini termasuklah dengan mengadakan aktiviti ceramah di sekolah-sekolah, masjid dan surau serta komuniti setempat agar semua cakna bagi menghadapi situasi kecemasan.

Malah dengan kemudahan ICT dan media elektronik serta aplikasi seperti Whatsapp, Instagram dan lain-lain boleh dijadikan wadah penyampaian maklumat rasmi, cepat dan berkesan. Dengan ini juga maklumat-maklumat seperti penutupan jalan, kerosakan lampu isyarat, banjir kilat dan lain-lain secara berkala juga dapat disampaikan kepada masyarakat dengan sistematik.

Dalam pada itu, kalangan penduduk diingatkan supaya tidak mudah menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan. Malah ini juga boleh menyebabkan penduduk merasa tidak selamat dan dihantui dengan pelbagai maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Selain itu, untuk menjadi selamat hidup di dunia dan di hari akhirat, seluruh masyarakat diajak kembali ke jalan yang lurus dan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian diri kepada Ilahi. Pada masa yang sama usahlah pula terlibat dengan gejala dosa dan kemungkaran.

Kerana dibimbangi menjadi punca tercetus pelbagai musibah dan malapetaka akibat kemurkaan Ilahi. Masyarakat diajak memperbanyakkan doa semoga selamat dan dipelihara daripada mala petaka.

Allah SWT berfirman maksudnya; “Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu). (Asy-Syura,30)

Akhirnya penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, keselamatan, kakitangan perubatan dan sukarelawan yang bertugas siang dan malam demi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara terutama ketika pencemaran Sungai Kim Kim berlaku.

Malah tindakan pantas bagi mengawal kes gas bocor di Pasir Gudang amat dipuji. Semoga Pasir Gudang terus gemilang, lestari dan sejahtera di bawah lembayung rahmat-Nya.

DR. MOHD. ALI MUHAMMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.