Tidak pernah terbayang dalam fikiran kita, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun boleh melakukan perbuatan sedemikian. Sebabnya, sebahagian besar kita beranggapan anak-anak pada usia begini masih suci bersih pemikirannya daripada dicemari bahan-bahan porno dan video lucah.

Namun, itulah natijah ketagihan menonton video lucah dan video seks menerusi gajet terutamanya telefon bimbit. Pastinya, hal ini amat membimbangkan para ibu bapa lebih-lebih lagi yang menghantar anak-anak mereka ke rumah pengasuh.

Inilah juga risiko yang terpaksa kita hadapi dalam dunia tanpa sempadan atau maklumat di hujung jari. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) jika diarahkan kepada hal-hal yang baik dan bermanfaat maka kita akan beroleh pelbagai kebaikan daripadanya. Begitulah juga sebaliknya.

Atas sebab itu, sudah tiba masanya pendidikan seks diajar di sekolah. Memanglah bab seks sering dianggap tajuk yang sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.

Justeru, ada ibu bapa berharap anak-anak akan ‘belajar’ atau memahami secara semulajadi, tanpa perlu soal-jawab dengan ibu bapa.

Kerana itulah, ramai yang menyatakan kebimbangan jika cadangan mewujudkan subjek pendidikan seks di sekolah menjadi kenyataan.

Pendidikan seks yang perlu diajar adalah berkaitan penyampaian maklumat bagi membolehkan anak-anak gadis terselamat daripada gangguan seksual dan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.

Ia seperti menjadi mangsa penipuan buaya darat dengan jerat cinta, akibat pengambilan minuman keras, pengambilan dadah, ketagihan bahan lucah dan sebagainya.

Negara seperti Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan mempunyai rangka polisi yang sistematik tentang pengajaran seks di sekolah.

Bagaimanapun, Malaysia dan Thailand melihat pendidikan kesihatan reproduktif adalah lebih sesuai kepada golongan remaja. Di Jepun, pendidikan seks adalah wajib bagi remaja berusia antara 10 ke 11 tahun.

Bagaimanapun topik utama berkisar kepada bab biologi seperti baligh yang melibatkan bab haid dan keluar mani.

Di China dan Sri Lanka, pendidikan seks tradisionalnya adalah membaca buku teks biologi yang berkaitan bab reproduktif. Sri Lanka hanya mengajar bab ini apabila remaja berumur 17 dan 18 tahun.

Seorang tokoh iaitu Dr. Mohd. Aqlah (1990, Jordan) dalam bukunya Tarbiyyatul aulad fil Islam melihat pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan dan pembentukan akhlak. Antara adab-adab yang perlu dipupuk pada anak-anak berkaitan pendidikan ini adalah:

  • Cara duduk dan cara berkomunikasi
  • Memahamkan kanak-kanak tentang perasaan malu, penjagaan kehormatan diri dan pisahkan tempat tidur pada usia 10 tahun adalah permulaan yang baik kepada pemahaman tentang pendidikan seks (walaupun tanpa diberitahu apakah itu hubungan seks).
  • Menyemai adab meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa (surah an-Nur: 58).
  • Pemahaman tentang bab aurat dan rasional kenapa perlu menutup aurat.
  • Memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila usia masuk tujuh tahun (dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak di usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang yang konkrit dan abstrak serta di peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual).

Mengajar pendidikan seks di sekolah jauh lebih baik daripada membiarkan anak-anak melayari tanpa kawalan laman-laman sosial lucah atau menonton video lucah menerusi telefon bimbit.

Di sekolah, sekurang-kurangnya subjek itu diajar secara terkawal oleh guru. Manakala dalam laman sosial, nafsu itu dipandu bisikan syaitan yang mengajak kepada perlakuan maksiat dan zina.

Kajian Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Prof. Dr. Khaidzir Ismail pada 2009 mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Kajian ‘Remaja Berisiko Tinggi’ yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara itu merangkumi kira-kira 600 responden berumur 15 dan 20 tahun.

Usaha mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga. Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia.

Antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat. (Rujuk ayat 5: Al-Mukminun).