Acara tahunan ini memang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar apatah lagi bagi yang terbabit secara langsung dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Aktiviti-aktiviti yang lazim diadakan seperti mendeklamasi sajak patriotik, koir, melukis poster, pengisahan sejarah dan sebagainya secara tidak langsung boleh meningkatkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda.

Golongan inilah yang ­penting diberi pendedahan dengan semangat cinta akan tanah air kerana jika disemai sikap tersebut bermula di bangku sekolah, mereka akan memahami dengan lebih jelas tentang pentingnya kemerdekaan bagi sebuah negara dan betapa nikmatnya hidup dalam sebuah negara yang merdeka serta bebas daripada kongkongan asing.

Oleh hal demikian, sekolah bolehlah dianggap sebagai sebuah institusi penting untuk menyemai nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana mereka ini mudah dilentur.

Malah, dengan adanya subjek Sejarah yang dipelajari oleh mereka, kefahaman mereka tentang sejarah tanah air, perjuangan dan usaha-usaha memperoleh kemerdekaan dan sebagainya boleh diketahui dengan mendalam.

Selain menyemai sema­ngat cinta akan tanah air sejak di bangku sekolah, tujuan sambutan Bulan Kebangsaan di sekolah adalah untuk mendidik pelajar atau generasi muda menghargai kemerdekaan negara.

Dengan nikmat yang dirasai selepas negara mencapai kemerdekaan, mereka dididik agar berusaha mengekalkan keamanan dan kemerdekaan. Di sam­ping itu, mereka juga dilatih agar menghargai pejuang-pejuang yang bersusah-payah memperjuangkan ta­nah air sehingga mencapai kemerdekaan.

Sejak pelancaran Bulan Kebangsaan awal bulan ini, kita melihat Jalur Gemilang sudah mula dikibarkan di sana-sini. Di sekolah-sekolah dan di tadika-tadika pun dikibarkan Jalur Gemilang kerana ini adalah satu asas mengenalkan generasi awal ini tentang kemerdekaan tanah air.

Walaupun bermula awal bulan ini sekolah sudah bermula dengan ‘demam’ peperiksaan terutama­nya peperiksaan percubaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pihak sekolah mesti bijak mencari waktu untuk mengadakan aktiviti untuk pelajar.

Bagi pelajar yang bakal me­nempuh UPSR, Pentaksiran Ting­katan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) penglibatan mereka boleh dihadkan tetapi bagi pelajar-pelajar lain, mereka mesti digalakkan menyertai sebarang aktiviti yang diadakan di sekolah.

Seperkara yang penting, peng­libatan pelajar berbilang kaum sangat mustahak untuk menterjemah perpaduan di negara kita menerusi sambutan Bulan Kebangsaan.

Secara tersiratnya, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia akan dapat melahirkan pelajar yang kreatif dalam menjalankan acara-acara yang diadakan. Contohnya, bagi aktiviti ke­ceriaan kelas dan sekolah, daya kreativiti pelajar sangat penting untuk mewujudkan suasana yang melambangkan kecintaan kepada tanah air.

Selain itu, sambutan ini juga memupuk budaya kerjasama da­­lam kalangan pelajar ketika menjayakan sesuatu aktiviti. Contohnya, bukan mudah menjayakan sesetengah aktiviti se­perti persembahan drama dan pantomim kerana ia memerlukan kerjasama untuk menghasilkan persembahan yang menarik dan bertepatan dengan kehendak dan tema sambutan.

Sambutan Bulan Kebangsaan juga dapat memupuk budaya membaca dan membuat kajian dalam kalangan pelajar teruta­manya aktiviti-aktiviti yang bersifat akademik seperti kuiz sejarah dan pengisahan tokoh.

Apa-apa pun, sambutan Bulan Kebangsaan sebagai satu petanda atau cerminan masa depan ge­nerasi muda ke arah melahirkan generasi yang mencintai tanah air dan mengekalkannya dalam jangka masa yang panjang.